Ikan Temenung atau Kembung dan Janggut Sotong di Warung Kak Yang Gulai Temenung, Kuala Kedah

Menu di warung Kak Yang Gulai Temenung
Satu malam di Alor Setar sempatlah ke Pekan Rabu dan Aman Central, dua pusat membeli belah — tradisional dan moden — yang terletak hanya dalam 1km antara satu sama lain.

Selesai bersarapan dengan nasi lemak, roti bakar dan secawan kopi susu di Hotel Seri Malaysia keesokannya, bolehlah mula mengemas untuk balik. Bermalam di Seri Malaysia memang selesa, berhampiran je dengan KFC, medan selera dan Stadium Darul Aman.

Dalam perjalanan balik ke selatan, melencong sedikit ke Kuala Kedah untuk makan tengah hari di sebuah warung menjual gulai ikan temenung — panggilan lain bagi ikan kembung.

WARUNG KAK YANG GULAI TEMENUNG

Ikan temenung atau kembung goreng
Berhampiran dengan Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah ada beberapa warung yang menjual gulai temenung. Salah satunya — yang paling hampir dengan pasar — ialah warung Kak Yang Gulai Temenung.


Alamat: Bersebelahan Pasar Nelayan Seberang Kota, Jalan Marina Harbour, 06600 Kuala Kedah, Kedah.
Waktu: Sabtu - Rabu (8:30am - 2:30pm).

Sebagai orang luar, penulis awalnya sedikit keliru dengan cara warung ni berurusan. Penulis tak jelas tentang apa yang dijual dan apa yang boleh dipesan walaupun ada dua ke tiga papan yang digantung untuk menerangkan kesemua tu.

Menu warung Kak Yang Gulai Temenung yang ditulis pada papan hitam
Kalau korang — macam penulis — nampak pelanggan lain makan makanan laut seperti ketam masak lemak, sotong goreng kunyit dan gulai kepala ikan, ketahuilah bahawasanya warung Kak Yang tak jual makanan tu.

Walaupun nampak macam makanan yang kita boleh dapat di restoran nasi campur — contohnya warung Kak Eta di Kuala Perlis — yang boleh dipesan cumalah menu-menu yang ada di sebuah papan hitam bersebelahan tempat makan.

Janggut sotong yang diletakkan pada ais
Antaranya, ikan temenung dan bawal sama ada digoreng atau dimasak gulai. Selain daripada tu, bergantung kepada bekalan ada juga menu lain yang boleh dipilih seperti telur ikan, telur sotong, isi udang lipan dan misai/janggut sotong.

PERKHIDMATAN MENYIANG DAN MEMASAK

Caj yang dikenakan untuk menyiang dan memasak makanan laut
Jadi macam mana nak dapatkan ketam masak lemak atau sotong goreng kunyit tadi? Warung Kak Yang Ikan Temenung cuma sediakan perkhidmatan menyiang dan memasak pada harga bermula 70 sen sehingga RM1.80 setiap 100 gram.

Boleh ke Pasar Nelayan Seberang Kota dan beli ketam, sotong, udang atau ikan — kecuali ketam batu atau nipah, ikan temenung dan sembilang. Kemudian, bawa ke warung untuk disiang dan dimasak.

Makanan yang tak boleh dimasak atau dibakar
Jenis masakan yang ada ialah masak sambal atau sos, goreng kunyit, gulai, rebus dan masak lemak. Perkhidmatan membakar, seperti ikan bakar dan sotong bakar tak disediakan. Dulu, warung Kak Yang sendiri ada jual ikan bakar tapi waktu penulis ke sini baru ni dah tak ada.

Kalau datang waktu tengah hari macam penulis, mungkin dah tak banyak pilihan yang ada di pasar — tak pasti boleh bawa bahan dari pasar lain atau tak — jadi penulis cuma makan nasi dengan ikan temenung goreng, gulai temenung dan janggut sotong.

GULAI TEMENUNG KUALA KEDAH

Dua ekor ikan temenung atau kembung yang dimasak gulai
Tak keterlaluan rasanya kalau penulis kata "kena makan gulai ikan temenung kalau datang ke Kuala Kedah" walaupun ikan temenung atau kembung ni antara ikan yang paling senang dapat di pasar.

Apa salahnya, ke Temerloh makan patin tempoyak, ke Seremban makan daging salai masak lemak, ke Kota Bharu makan kerutuk itik serati, ke Banda Hilir makan asam pedas pari, jadi kalau ke Kuala Kedah makanlah gulai temenung.

Ikan kembung goreng
Gulai ikan di sini likat, cukup rasa dan tak terlalu masam macam kari ikan di sebahagian kedai mamak. Ikan yang digunakan pun tak terlalu besar, sesuailah dengan harganya yang cuma antara RM3.50 ke RM4.00 seekor.

Walaupun gulainya sedap, penulis lebih suka makan dengan ikan temenung yang digoreng panas dan tulangnya masih rangup. Ikan goreng, gulai, sambal belacan dan ulam, memang citarasa kampung.

JANGGUT SOTONG RANGUP

Janggut atau misai sotong bakar
Nak tahu apa lagi yang rangup — ataupun lebih rangup — selain ikan temenung goreng tadi? Janggut sotong. Tak sangka, sebab sotong, macam mana lembut sekalipun; selalunya mempunyai tekstur yang kenyal.

Janggut sotong dibakar walaupun daripada rupanya tak nampak macam dibakar. Besar dan tebal, berbeza dengan janggut sotong goreng tepung yang penulis makan di Pantai Penarik, Kuala Terengganu.

Janggut sotong yang disediakan bersama sos thai
Janggut sotong akan dipotong sebelum dihidang di atas daun pisang bersama sos, potongan cili, bawang dan ketumbar. Sosnya manis dengan sedikit rasa masam macam sos thai, sedap juga rasanya kalau dimakan dengan daging bakar — dijual juga di sini.

Bagi penulis janggut sotong tak berapa sesuai dimakan bersama gulai dan nasi, lebih sedap diratah. Mungkin lebih sesuai kalau dimakan dengan kerabu maggi atau somtam — kedua-dua menu ni tak dijual ye.

Laluan ke Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah
Yang datang bercuti di Kedah, bolehlah datang singgah di Kak Yang Gulai Temenung. Kalau datang, wajib cuba semua menu yang penulis cuba tadi — terutamanya janggut sotong bakar.

Di sekitar tempat yang sama — dalam 200 meter dari Kak Yang Gulai Temenung — ada juga beberapa warung lain yang menjual gulai temenung antaranya Kak Yah Gulai Ikan Temenung, Kedai Gulai Ikan Meletop dan Gulai Ikan Temenung Kak Chaq.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top