Ada Lebih Daripada 50 Jenis Pameran dan Permainan di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Alor Setar

Permainan cantum bina dengan pilihan butang x, y dan z
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, secara mudahnya bermaksud mengajar atau mendidik orang biarlah dari kecil. Kalau dah tua — dah banyak ideanya banyak pegangannya — makin susah nak dibentuk.

Jadi ada baiknya juga kalau percutian anak-anak diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berkualiti dan bermanfaat seperti melawat zoo, taman rekreasi, taman botani, muzium, ladang atau pusat sains.

KUNCI KEPADA PEMBELAJARAN

Blok dengan corak polkadot
Tak ada salahnya ke taman tema air seperti Taman Tema Air A'Famosa untuk masa yang berkualiti bersama keluarga. Tapi, sekali-sekala ke pusat sains pun penting juga untuk memupuk dan mewujudkan rasa minat dan ingin tahu — antara kunci kepada pembelajaran.

Apabila ada yang bertanya "siapa?", "apa?", "bila?", "mana?" "kenapa?" atau "bagaimana?" itulah tandanya ingin tahu. Jawapan kepada soalan-soalan tadi menjadi penghubung antara "ingin tahu" dan "tahu".

Cumanya, walaupun soalan yang sama boleh ditujukan kepada banyak perkara yang ada dan berlaku setiap hari, hakikat yang ia berlaku setiap hari membuatkan kita mengambil mudah dan tak terlintas sedikit pun untuk bertanya.

Voltmeter dengan bacaan analog
Berapa ramai yang bertanya bagaimana internet berhubung atau bagaimana lampu mengeluarkan cahaya? Kita cuma akan bertanya kenapa — ataupun cuma merungut — apabila internet dan lampu berhenti berfungsi.

Sebab itulah kita perlu pergi ke tempat-tempat yang memberikan kita satu pengalaman yang sedikit berbeza, mencabar pengetahuan dan pemahaman kita ke tahap kita mula bertanya soalan-soalan tadi.

PUSAT SAINS NEGARA CAWANGAN WILAYAH UTARA, ALOR SETAR

Papan tanda Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara
Lagipun, belajar menjadi lebih seronok apabila kita berinteraksi dengan subjek melalui teka-teki, permainan dan simulasi. Sampai ke hari ni akan ada perkara baru yang penulis belajar apabila ke pusat sains.

Antara pusat sains yang ada di Malaysia ialah Pusat Sains Negara. Rasanya ramai dah tahu tentang Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi kalau pernah ikut lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh sekolah.

Pameran sains panjang gelombang dan frekuensi
Yang ramai mungkin belum tahu, Pusat Sains Negara ada satu lagi cawangan di sebelah utara semenanjung Malaysia — Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU) — yang terletak bersebelahan Gunung Keriang di Alor setar.


Alamat: Gunung Keriang, 06570 Alor Setar, Kedah.
Waktu: Sabtu - Khamis (9am - 5pm).

Orang utara bolehlah datang ke sini sebelum ada kesempatan ke cawangan Kuala Lumpur. Tiket masuk pun murah, cuma RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak 7 ke 12 tahun. Kanak-kanak 6 tahun ke bawah, warga emas dan OKU boleh masuk secara percuma.

LEBIH DARIPADA 50 PERMAINAN

Pameran Cybernetics di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara
Walaupun tak sebesar Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur, permainan dan alat yang ada di sini cukup untuk membuatkan kita leka selama satu ke dua jam. Tak mustahil ada lebih daripada 50 jenis permainan di sini.

Penulis yakin akan ada satu dua permainan atau teka-teki yang akan buatkan orang dewasa pun — apatah lagi kanak-kanak — terkedu. Penulis sendiri habiskan masa hampir 10 minit cuba selesaikan teka-teki tangram.

Simulasi gempa bumi
Di sini kita boleh belajar tentang buruj, benua, kelikatan cecair, kaitan antara frekuensi dan panjang gelombang, perkembangan sains dalam dunia islam, dan banyak lagi perkara berkaitan mekanikal dan robotik.

Antara yang menarik ialah simulasi gempa bumi, sebab penduduk Malaysia yang bebas daripada bencana gempa bumi tak pernah — dan harapnya tak akan — rasa bagaimana keadaannya apabila terjadi gempa bumi.

PERMAINAN DISERTAKAN PENGENALAN DAN ARAHAN

Kanak-kanak sedang bermain permainan menara hanoi di pusat sains
Pada setiap permainan disertakan pengenalan dan arahan, cuma bagi penulis perincian yang tertulis belum cukup untuk mewujudkan pemahaman. Ada benda yang penulis sendiri tak faham walaupun berpengetahuan asas dalam ilmu fizik.

Mungkin kalau terlalu banyak yang perlu dibaca orang akan terus berhenti membaca, jadi pengenalan dan arahannya ditulis — secara dwibahasa — seringkas yang boleh. Penulis cadangkan setiap permainan diberikan satu halaman khusus atau rujukan di internet yang boleh diakses melalui kod QR.

Dua contoh buruj, salah satunya buruj biduk
Kalau pihak PSN dah sediakan halaman khusus untuk setiap permainan, langkah seterusnya adalah menyediakan simulasi permainan berkaitan yang boleh dimainkan secara dalam talian pada halaman tersebut. Kalau dibangunkan sebegini, rasanya PSN dah boleh mula wujudkan pameran virtual.

BAHTERA LANGKASUKA DAN TINKERING STATION

Sudut Bahtera Langkasuka Pusat Sains Negara
Ada dua tempat yang penulis tak dapat nak teroka, Bahtera Langkasuka dan Tinkering Station. Bahtera Langkasuka menyediakan permainan bertemakan maritim untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Untuk masuk ke sini, kasut tak dibenarkan dan mesti berstokin.

Sudut kreativiti Tinkering Station
Tinkering station pula sebuah sudut kreativiti. Tak pasti apa aktiviti yang ada di sini, dari jauh penulis nampak bahan-bahan seni seperti keychain dan batang aiskrim. Untuk masuk ke sini, akan dikenakan caj RM3 ketika membeli tiket — hanya untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah, penjaga masuk secara percuma.

Sejujurnya penulis tak teliti pun setiap permainan yang ada di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara ni, sebab terlalu banyak. Lagipun tempatnya sedikit sempit kalau ramai orang.

SESUAI UNTUK KANAK-KANAK

Mesin automata muzikal
Secara keseluruhannya, penulis rasa tempat ni memang dibina secara khusus untuk kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah. Fungsinya sama seperti taman permainan, tempat kanak-kanak bermain — lebih berbanding belajar.

Tak ada sebab untuk tak datang ke sini, harga tiketnya murah dan permainannya pun banyak. Cuma jangan lupa bawakan stokin untuk kanak-kanak yang nak masuk ke sudut Bahtera Langkasuka. Dan, untuk masuk ke Tinkering Station pula perlu tanya di kaunter sewaktu membeli tiket.

Kaunter tiket PSNCWU
Tiket boleh dibeli di kaunter ataupun secara dalam talian di laman sesawang Pusat Sains Negara. Untuk pembelian secara dalam talian, boleh ke pautan https://www.eticketing.psn.gov.my/ atau klik sini.

Satu lagi sebab kenapa kena datang sini, Muzium Padi dah dibuka semula selepas diubah suai. Ada laluan pejalan kaki yang menghubungkan antara Pusat Sains Negara dan Muzium Padi, rugilah kalau tak melawat kedua-duanya sekali kan?

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top