Chicken Grill, Fish and Chip dan Macaroni and Cheese di Gerai The Mantul, Port Rilek Bandar Puncak Alam
Semakin tahun harga barang mentah pun semakin meningkat, untuk kekalkan keuntungan peniaga akan menaikkan harga makanan ataupun mengurangkan saiz atau bahan dalam penyediaan makanan.
Walaupun peniaga kurangkan saiz hidangan untuk jual makanan pada harga yang lebih murah, tak bermakna tak ada kualitinya. Samalah juga, saiz yang besar tak bermakna ianya berkualiti — walaupun lebih mengenyangkan.
Dah berlalu zaman chicken chop bajet rm5, sekarang kalau dapat chicken chop rm8 pun dah dikira sebagai bajet. Cuma kalau dah cari yang bajet, tak bolehlah cerewet dengan saiz yang kita dapat.
THE MANTUL, PORT RILEK DAN MEDAN SELERA MPKS PUNCAK ALAM
Nak makan chicken chop bajet boleh ke Port Rilek di Medan Selera MPKS Bandar Puncak Alam. Terletak di Jalan Samudera 9/1, cuma 50 meter je dari pintu kedua Masjid Puncak Alam.
Kalau nak datang ke sini selepas solat Jumaat, tak dapatlah. Sebab kedainya dibuka selepas 5 petang, jadi boleh datang selepas Asar, Maghrib ataupun Isyak.
Alamat: Gerai UPEN-MPKS, Jalan Samudera 9/1, 42300 Bandar Puncak Alam, Selangor.
Waktu: Khamis - Selasa (5pm - 11pm).
Waktu: Khamis - Selasa (5pm - 11pm).
Cuma parkir di medan selera agak sempit. Jadi akan ada yang letakkan kereta di tepi jalan. Di seberang jalan ada sebuah tapak yang boleh digunakan untuk letakkan kereta, kalau tak ada yang gunakan untuk ke masjid, bolehlah guna.
Antara menu yang ada di Port Rilek ialah makanan barat seperti chicken chop, lamb chop, fish n chip dan pasta, dan juga nasi seperti nasi goreng, nasi ayam kicap dan nasi kambing.
AYAM PANGGANG DAN FISH N CHIP
Makanan yang penulis cuba ialah chicken grill, fish n chip dan mac & cheese. Tak pesan chicken chop sebab baru je makan di Laman Kopi dalam seminggu sebelum ke Port Rilek.
Untuk harga tak sampai RM12, boleh dipuji cara makanannya disediakan — tersusun elok, nampak menyelerakan. Sos untuk ayam panggang dan ikan disediakan asing, ikutlah nak tuang ataupun cicah.
Kalau dibandingkan dengan saiz ayam dan ikan yang penulis dapat, sosnya — sos lada hitam untuk ayam panggang dan sos bijan untuk fish n chip — agak banyak juga.
Dari segi rasa memang sedap, tak ada masalah dengan ayam. Cuma isi ikan — mungkin dory — senang terkoyak atau pecah selepas dipotong, mungkin sebab isinya lebih nipis selepas dibelah dua sebelum dimasak untuk jadikan ikan lebih lebar.
Walaupun lebih sukakan kentang yang lebih tebal macam di kafe Mizukicakes, kentang goreng yang nipis pun penulis telan je asalkan tak digoreng sampai kering, keras atau berminyak.
MAC AND CHEESE
Antara makanan yang penulis tak sangka dapat makan pada harga yang murah ialah makaroni dan keju. Semangkuk macaroni and cheese cumalah RM6.50, memang susah nak dapat pada harga tu sekarang ni.
Nampak ringkas, tapi rasanya memang berkeju dan berlemak. Kalau pernah makan hidangan sampingan mac n cheese di Kenny Rogers, lebih kurang macam tu lah rasanya, cuma lebih likat.
BAJET ATAU MEWAH
Nak bajet boleh, nak mewah pun boleh. Kalau rasa tak kenyang makan sebab saiz hidangan yang kecil, jangan risau sebab di Port Rilek kita boleh juga pesan nasi goreng bersama chicken chop, chicken grill atau meatball.
Ada juga set berkembar, dalam set ni korang boleh sekalikan chicken chop atau chicken grill bersama dengan pasta — pilihan antara spaghetti salted egg, carbonara atau aglio olio.
Untuk nasi goreng chicken chop, ada pilihan antara bajet dan biasa — masing-masing berharga RM8.90 dan RM12.50. Kalau orang macam penulis, tak cukup makan yang bajet.
Hidangan diakhiri dengan secawan ice blended berperisa mocha — cuma RM5.50. Kalau rasa teringin nak makan makanan barat tapi tengah sengkek, sementara tunggu gaji masuk bolehlah datang ke Port Rilek.
Di medan selera yang sama ada juga makanan lain, antaranya burger, donut gebu, nasi ayam dan masakan panas. Bolehlah cuba setiap gerai yang ada, cuma waktu operasi berbeza-beza jadi mungkin ada yang tak buka pada waktu malam.
Post a Comment