Chili Pan Mee Halal di Hot Chili Pan Mee by Pak Raden

Semangkuk chili pan mee bersama sup
Chili pan mee selalunya disediakan dengan bahan seperti minyak cili, daging cincang, sayur, ikan bilis dan telur. Daging yang biasa digunakan pula antaranya ialah khinzir, lembu dan ayam, ataupun digantikan dengan makanan laut seperti ikan dan udang.

Cumanya, tak mudah nak dapatkan chili pan mee yang halal — tak macam mi wantan. Nak cari peniaga melayu yang jual chili pan mee pun tak senang. Di OldTown pula rasanya cuma ada pan mee bersup, bukannya chili pan mee.

HOT CHILI PAN MEE BY PAK RADEN

Kedai Hot Chili Pan Mee by Pak Raden
Sebab tu lah bila pertama kali penulis dapat cuba chili pan mee di restoran Hot Chili Pan Mee by Pak Raden di Bertam, penulis tak tahu macam mana nak ulas sebab tak tahu macam mana rasa chili pan mee yang sepatutnya.

Di Hot Chili Pan Mee by Pak Raden, semangkuk pan mee kering — pedas dan tak pedas — berharga RM10.90. Dalam semangkuk chili pan mee ada daging cincang, daun bawang, ikan bilis, tepung goreng rangup dan telur separuh masak.


Alamat: 63, Persiaran Seksyen 4/7, Bandar Putra Bertam, 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang.
Waktu: Isnin - Ahad (12pm - 10pm).

Setiap bahan tersusun elok, cuma chili oil atau minyak cilinya tak diasingkan dan dah dicampurkan sekali dengan mi — macam mi tarik — yang lebih tebal berbanding mi yang digunakan dalam masakan mi wantan.

HOT CHILI PAN MEE

Semangkuk cili pan mee
Sebelum dimakan, semua bahan perlu digaulkan bersama mi. Rasa chili pan mee agak pedas, untuk kurangkan pedas boleh makan dengan sup yang datang sekali dengan menu ni. Bagi penulis, lebih baik kalau chili oil diasingkan.

Tekstur daging cincangnya yang tak liat pula mengingatkan penulis kepada daging kebab yang penulis biasa makan. Yang menambahkan rasa dan menjadikan makanan ni sedikit masin ialah ikan bilisnya.

Chili pan mee selepas digaulkan bersama bahan
Ikan bilis dan serdak atau kerak tepung gorengnya rangup, rasanya kalau tak ada bahan yang rangup mungkin makanan ni akan jadi sedikit memualkan sebab minya sedikit berlendir selepas digaulkan bersama telur tadi.

Kalau tak dimakan bersama ikan bilis, rasa chili pan meenya mungkin lebih kurang je macam Indomie atau Mie Sedaap yang ditambahkan daging cincang dan chili oil — atau mi samyang, tak pasti nak huraikan macam mana.

Bahan-bahan pada chili pan mee
Secara keseluruhannya memang berbeza dengan mi wantan. Lagipun mi wantan kering hidangan yang lebih ringkas, cuma perlu ada mi, wantan dan kicap. Chili pan mee pula macam bibimbap — gunakan banyak bahan yang perlu digaulkan bersama.

NASI AYAM HONEY POPCORN

Nasi bersama ayam popcorn berperisa madu
Selain daripada chili pan mee, ada juga nasi. Walaupun dalam menu diletakkan di bahagian "fav kid meal", dari saiz hidangannya penulis rasa orang dewasa pun boleh cuba nasi ayam honey popcorn.

Ayam gorengnya manis dengan sedikit sentuhan rasa masam, nak macam ayam goreng lemon pun ada. Tak pastilah ada perahan lemon atau tak sebab pada nama menunya tak ada perkataan "lemon".

Menu kedai Hot Chili Pan Mee by Pak Raden
Di restoran yang sama juga ada nasi ayam gepuk, lagipun pemilik restoran ni juga pemilik kepada restoran Ayam Gepuk Pak Raden yang mempunyai lebih 9 cawangan — termasuk di Bertam — di sebelah utara semenanjung Malaysia.

MAKANAN SEKALI SEKALA

Semangkuk chili pan mee dan sup
Kesimpulannya, sedap tapi bukan makanan yang penulis akan makan setiap hari. Mungkin sebab saiz hidangan di sini lebih besar berbanding yang sepatutnya, sebelum dapat habiskan pun dah mula kenyang.

Selepas ni penulis akan cuba chili pan mee di tempat lain pula supaya penulis dapat buat perbandingan yang lebih terperinci. Kalau ada restoran cina muslim yang menjual chili pan mee, mungkin rasanya lebih autentik.

Sup bersama bebola ikan
Cuma, selama penulis ke restoran cina muslim — termasuklah restoran mee hiris china muslim dan mee tarik warisan asli — seingat penulis tak ada pula nampak menu chili pan mee.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top