Mengail Siakap Putih di Kolam Pancing Siakap Cendol, Kota Kuala Muda
Di pasaraya, kita boleh dapatkan ikan siakap pada harga antara RM10 ke RM30 sekilo — kebanyakannya dalam RM20 ke atas. Di restoran ikan bakar pula, termasuk upah memasak boleh mencecah RM60 sekilo.
Jadi tak peliklah ada yang ke kolam memancing untuk mencuba nasib dapatkan lebih banyak ikan. Sanggup tunggu berjam-jam, bayar sekurang-kurangnya RM15 sejam di kebanyakan kolam memancing.
Kalau di kolam yang letakkan minima 3 jam, sekurang-kurangnya perlu bayar RM45. Dalam masa 3 jam, berapa kilogram ikan yang kita boleh dapat? Bergantung, ada hari kita menang, ada hari kita kalah.
Kolam Pancing Siakap Cendol
Berbeza dengan sebuah kolam memancing yang penulis pergi di Kedah, di sini kita cuma perlu bayar mengikut berat ikan yang kita tangkap. Kali terakhir penulis ke sana, harga seekor siakap ialah RM18 sekilo gram — sebelum tu RM22 sekilogram.
Tambah pula, ikan siakap di Kolam Pancing Siakap Cendol yang terletak di Kota Kuala Muda ni memang banyak, tak mustahil boleh tarik 5 ekor siakap dalam masa hanya sejam.
Kolam Pancing Siakap Cendol beroperasi pada hari Khamis sehingga Isnin, bermula 8 pagi sehingga 7 petang. Sesuai untuk yang datang dengan tujuan nak dapatkan siakap yang masih segar.
Tak Dibenar Melepaskan Semula Ikan
Syaratnya, ikan yang kita dah naikkan tak boleh dilepaskan semula. Dikhuatiri ikan akan mati selepas dilepaskan ke kolam semula akibat daripada kecederaan yang disebabkan oleh mata kail.
Kalau ditangkap atau kantoi melepaskan semula ikan yang kita dah pancing, boleh didenda sebanyak RM50. Denda RM50 ni bersamaan harga lebih kurang 2.27 kilogram siakap putih.
Kolam ni juga ada menjual udang hidup. Memang senang dapatkan ikan siakap kalau gunakan umpan udang hidup di kolam ni, lebih mudah berbanding menggunakan umpan tiruan.
Saiz Siakap Putih yang Sederhana
Saiz siakap yang penulis dapat di sini adalah sederhana — kadang-kadang kecil, tak terlalu besar dan dalam masa sejam bolehlah dapat dalam 5 ke 6 ekor. Cukuplah tu, masak gulai seminggu pun tak habis.
Bagi penulis, RM22 sekilo untuk seekor siakap sangatlah berpatutan. Tambah pula selepas diambil kira keseronokan mengail dan menangkap sendiri ikan siakap, dan membawa pulang siakap yang masih segar.
Bayar Mengikut Hasil Tangkapan
Mungkin ada yang rasa lebih murah memancing di kolam lain yang meletakkan harga berdasarkan jam, sebab kita boleh dapat lebih banyak ikan pada harga yang lebih murah.
Tapi, itupun kalau kita dapat ikanlah. Ada masanya, 3 jam pun belum tentu kita boleh dapat 2 atau 3 ekor ikan. Bukan sahaja kita bergantung pada nasib, malah masa pun banyak terbuang.
Di Kolam Pancing Siakap Cendol, kita cuma perlu bayar sekadar apa yang kita dapat tangkap. Kalau tak dapat tangkap apa-apa, cuma perlu keluar modal membeli umpan.
Berbanding membeli ikan siakap di pasaraya atau pasar malam, rasanya lebih seronok memancing di sini. Cuma jangan terlalu seronok, nanti terkejut pula dengan harga yang perlu dibayar selepas menimbang hasil tangkapan.
Post a Comment