Aktiviti dan Pertunjukan Haiwan di A'Famosa Safari Wonderland

A'Famosa Safari Wonderland
Tak lengkap rasanya kalau pergi ke Taman Tema Air A'Famosa tetapi tak melawat zoo atau taman haiwan A'Famosa Safari Wonderland. Lagipun tempatnya cuma bersebelahan.

Mula dibuka pada tahun 2001, A'Famosa Safari Wonderland merupakan antara yang terawal, di Malaysia; memperkenalkan konsep safari. Di taman safari, haiwan akan dibiarkan berkeliaran bebas.

A'Famosa Safari Wonderland

Singa jantan dan betina di A'Famosa Safari Wonderland
Dengan keluasan 180 ekar, ada lebih kurang 150 spesis haiwan di A'Famosa Safari Wonderland. Walaupun lebih luas berbanding Zoo Negara Malaysia, kawasan pejalan kakinya jauh lebih kecil sebab sebahagian besarnya ialah taman safari.

Sama seperti Taman Tema Air A'Famosa, A'Famosa Safari Wonderland terletak di A'Famosa Resort di Jalan Kemus, Simpang Ampat, 78000 Alor Gajah, Melaka.


A'Famosa Safari Wonderland dibuka dari hari rabu sehingga isnin bermula 10 pagi sehingga 5 petang. Ditutup pada hari Selasa kecuali waktu cuti sekolah atau cuti umum.

Harga Tiket

Kaunter tiket Taman Tema A'Famosa
Harga tiket A'Famosa Safari Wonderland ialah RM50 untuk dewasa, dan RM40 untuk kanak-kanak berumur 12 taun ke bawah dengan ketinggian melebihi 90cm. Diskaun 50% diberikan kepada warga emas, pemegang kad oku pula akan diberikan harga istimewa.

Untuk harga tiket yang lebih murah, kecuali untuk warga emas dan OKU; boleh gunakan Klook ataupun Shopee.

Boleh juga tambah "add-on" set makan tengah hari pada harga RM18 ataupun "Animal Feeding" pada harga RM30 ketika membeli tiket.

Safari Adventure

Zirafah disebalik batu
Tarikan utama di sini ialah Safari Adventure. Di Safari Adventure, haiwan yang ada akan dibiarkan berkeliaran, cuma haiwan pemangsa seperti harimau dan singa diletakkan dalam kawasan berasingan.

Kita akan dibawa berjalan mengelingi safari dengan trak. Agak melompat jugalah dalam trak, tetapi seronok sebab boleh tengok haiwan seperti rusa, antelope, unta, dan zirafah daripada jarak yang dekat.

Perempuan mengandung tak dibenarkan untuk menaiki trak atas faktor keselamatan.

1) Hippo Feeding

Badak Air di kolam
Kalau bernasib baik, trak akan berhenti di habitat badak air. Kita boleh tengok dan beri makan kepada badak air yang ada di sini. Makanan badak air seperti labu dijual pada harga RM10.

Seekor badak air memerlukan makanan sebanyak 70 kilogram setiap hari. Kalau sekilo labu berharga RM3, kita perlukan RM210 setiap hari hanya untuk memberi makan seekor badak air.

2) Tiger Feeding

Harimau sedang berjalan di Safari Adventure A'Famosa
Kalau ada yang beli "animal feeding" pula, mereka berpeluang untuk memberi makan harimau dari jarak yang dekat di safari. Jangan risau, sebab ada pagar kawat antara kita dan harimau.

Pertunjukan Haiwan

Tak sah kalau datang ke zoo atau taman haiwan tapi tak tengok pertunjukan haiwan. Di sini ada empat pertunjukan haiwan: "Elephant Encounter", "Multi Animal Fun Play", "Colour of the Bird", dan "Wild Wild West".

Kesemua pertunjukan ni, wajib pergi. Memang seronok dan tak membosankan, lagipun dalam perjalanan ke tempat setiap pertunjukan pun kita masih boleh tengok setiap haiwan yang ada.

1) Elephant Encounter (10:45AM & 4:30PM)

Melihat gajah dari jarak dekat
Kalau datang pada waktu pagi, ni lah tempat pertama yang kita akan pergi untuk tengok persembahan dari beberapa ekor gajah sebelum boleh pergi ke Safari Adventure.

Pisang untuk gajah
Sebelum pertunjukan bermula, kita boleh berikan gajah pisang yang dijual pada harga RM5. Sambil-sambil tu bolehlah bergambar.

2) Multi Animal Fun Play (11:45AM & 3:00PM)

Pertunjukan haiwan di A'Famosa Safari Wonderland
Boleh tengok gelagat haiwan seperti monyet, rakun, kerbau, landak, dan ular di sini. Akan ada pertunjukan dari beberapa jenis haiwan, bolehlah tengok macam mana haiwan mendengar arahan.

Selesai pertunjukan, pengunjung dibenarkan untuk turun bergambar bersama haiwan-haiwan tadi. Boleh bergambar dengan ular sawa, besar juga.

3) Colour of The Birds (12:45PM & 3:45PM)

Burung terbang melalui gegelung
Bagi penulis lebih menarik berbanding pertunjukan sebelum ni, sebab penulis boleh dengar burung nuri bercakap dan menyanyi. Ada juga burung yang agak besar seperti helang dan enggang.

Di akhir pertunjukan, kita boleh bergambar dengan sekumpulan flamingo.

4) Wild Wild West (2:20PM)

Boleh tengok pertunjukan ala koboi, lengkap dengan pekan koboinya, kudanya, dan senjatanya. Akan ada yang menggayakan pakaian Red Indians, sama macam kita tengok di TV.

Malangnya, daripada keempat-empat pertunjukan, yang ni je penulis tak dapat tengok sebab ada urusan lain pada waktu petang. Tengok di YouTube jelah nampaknya.

Elephant and Pony Ride

Menunggang gajah besar dan tinggi
Waktu untuk elephant ride bermula 12:00PM, pony ride pula 12:30PM, dan kedua-duanya sampai pukul 4 petang je. Penulis tak tahulah tentang pony ride, tapi untuk naik gajah seorang akan dikenakan sebanyak RM20.

Gajahnya agak besar dan tinggi juga, kalau gayat mungkin boleh skip tempat ni.

Monkey Island Cruise

Bot ke Monkey Island
Berhampiran dengan food court ada sebuah jeti untuk ke Monkey Island atau pulau monyet. Pada waktu penulis ke sini, cuma satu daripada dua bot yang beroperasi.

Disebabkan masih ramai sedang menunggu giliran dan tiada pengawal yang menjaga keadaan dan turutan di jeti, penulis putuskan untuk tak ke Monkey Island walaupun ia nampak menarik.

Orang Utan of Borneo

Orang Utan sedang berehat
Sebelum sampai ke tempat pertunjukan Multi Animal Fun Play, kita akan nampak orang utan di sebelah kiri. Penulis cuma nampak dua ekor, mungkin ada lagi yang tengah tidur.

Reptilia Discovery

Ular Katam Tebu
Datang ke Reptilia Discovery untuk lihat reptilia seperti ular dan buaya. Ada pelbagai jenis ular di sini, cuma penulis rasa penulis dapat tengok lebih banyak di Zoo Negara.

Petzonia

Anak ayam
Terletak di tempat yang sama dengan Reptilia Discovery ialah Petzonia. Di sini ada haiwan seperti tupai, kura-kura, dan anak ayam. Kita boleh pegang anak ayam di sini, budak-budak mesti suka.

Urutan Lawatan

Lemur
Untuk pastikan kita dapat melawat ke semua tempat dan pertunjukan, penulis cadangkan korang datang seawal 10 pagi sebelum persembahan gajah atau Elephant Encounter bermula.

Kalau datang pada pukul 10 pagi, contoh susunan kawasan yang kita akan lawat adalah seperti berikut:
  1. Elephant Encounter
  2. Safari Adventure
  3. Orang Utan of Borneo
  4. Multi Animal Fun Play
  5. Elephant Ride
  6. Colour of The Birds
  7. Monkey Island Cruise
  8. Food Court & Surau
  9. Wild Wild West
  10. Reptilia Discovery
  11. Petzonia

Berinteraksi Dengan Haiwan

Memberi makan unta
Bagi penulis, kelebihan utama apabila datang ke sini kita boleh berinteraksi dengan haiwan pada jarak yang dekat. Di kebanyakan tempat, kita boleh beli makanan untuk diberikan kepada haiwan.

Selalunya kita cuma dapat bagi makan ke arnab dan kambing, tapi di A'Famosa Safari Wonderland kita boleh bagi makan ke gajah, badak air, harimau, dan unta — pengalaman yang sedikit berbeza.

Bergambar dengan flamingo
Selepas pertunjukan haiwan pun, kita akan diberikan peluang turun ke pentas untuk berjumpa dan bergambar dengan monyet, ular dan flamingo pada jarak yang lebih dekat.

Pengalaman Paling Menarik

Badak air menghampiri pengunjung
Bagi penulis, pengalaman paling menarik adalah ketika melihat badak air dan gajah dari jarak yang sangat dekat, pengalaman yang penulis tak dapat kali terakhir penulis ke Zoo Negara.

Kalau nak dibandingkan dengan Zoo Negara, laluan di A'Famosa Safari Wonderland lebih sempit. Tetapi, masih berbaloi untuk datang ke sini sebab kita boleh tengok kebanyakan haiwan dari jarak yang dekat.

Pelican
Ada banyak lagi yang penulis tak ceritakan, lebih-lebih lagi tentang perincian setiap pertunjukan. Kalau nak tahu apa yang menarik korang kena datang sendiri ke A'Famosa Safari Wonderland.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top