Haiwan di Zoo Negara Malaysia: Giant Panda, Capybara dan Banyak Lagi

Panda di Zoo Negara
Kali terakhir penulis ke zoo mungkin dalam 7 tahun lepas sewaktu penulis bercuti di Melaka. 3 tahun lepas pula penulis ke safari park di Bukit Gambang untuk tengok haiwan seperti singa dan dubuk dari tingkap trem.

Untuk tahun 2022 pula, penulis ke Zoo Negara Malaysia yang terletak berhampiran sahaja dengan Melawati Mall pada hari yang sama penulis ke Sushiwak untuk cuba sushi berharga RM1.

Monyet di Zoo Negara
Keluasan Zoo Negara (110 ekar) adalah dua kali ganda keluasan Zoo Melaka (54 ekar). Jumlah haiwan yang ada di sini juga jauh lebih banyak. Boleh lihat peta Zoo Negara di sini.

Waktu Operasi Zoo Negara Malaysia

Pintu masuk Zoo Negara
Zoo Negara dibuka pada setiap hari bermula 9 pagi sehingga 5 petang. Dari pengalaman penulis, masa yang diperlukan untuk berjalan sekeliling zoo adalah dalam 3 ke 4 jam.

Jadi kalau datang seawal 9 pagi, boleh balik sebelum 1 petang. Kalau datang pada 1 petang, boleh balik sebelum 5 petang. Untuk mengelakkan cuaca yang panas penulis nasihatkan untuk datang awal pagi.


Parkir Zoo Negara mula dibuka sekitar 8:30 pagi. Jadi bolehlah letak kereta di tapak parkir Zoo Negara dulu, kemudian bersarapan di warung berdekatan. Di hadapan Zoo Negara juga ada gerai menjual nasi lemak dan kuih.

Caj parkir ialah RM10 untuk kereta, RM11 untuk bas, dan RM2 untuk motosikal. Bayaran parkir adalah untuk sekali masuk.

Harga Tiket Zoo Negara

Laluan ke zoo negara
Untuk warganegara Malaysia, harga bagi dewasa, kanak-kanak, dan warga emas masing-masing ialah RM45, RM18, dan RM23. Jangan lupa bawa MyKad dan MyKid sebagai pengesahan kewarganegaraan.

Selain itu, kalau datang secara beramai-ramai, untuk kumpulan yang terdiri daripada sekurangnya 20 orang kita boleh dapat potongan harga sebanyak RM2 daripada harga biasa.

Kanak-kanak membaca peta di Zoo Negara
Harga untuk pelajar adalah lebih murah. Untuk dua orang guru dengan 10 orang murid, harga bagi guru dan pelajar masing-masing ialah RM17 dan RM13. Golongan OKU pula boleh masuk secara percuma.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian di Klook, Ticket2u ataupun Shopee.

Aktiviti dan Tarikan di Zoo Negara

Monyet berkumpul di Zoo Negara
Ada satu kawasan yang dipanggil sebagai "Children's World". Di sini, kita boleh memberi makan kepada haiwan bermula pukul 12 tengah hari sehingga 1 petang. Memang sesuai untuk kanak-kanak membiasakan diri dengan haiwan.

Pada pukul 11 pagi dan 3 petang setiap hari (kecuali pada Jumaat hanya pada pukul 3:30 petang), ada pertunjukan haiwan. Boleh tengok penjaga zoo bermain dengan singa laut dan burung macaw — sejenis burung nuri.

Tarikan utama di Zoo Negara, yang tiada di zoo lain di Malaysia ialah giant panda. Walaupun demikian, setiap pengunjung cuma diberikan masa selama 5 minit untuk melihat panda.

Ini kali pertama penulis melihat panda pada jarak yang dekat. Rasa pelik pula melihat panda yang sedang makan seperti seorang manusia, duduk bersandar dan makan menggunakan kedua-dua belah tangan.

Memancing di tasik Zoo Negara
Untuk pengetahuan semua, sewaktu PKP tahun 2021 Zoo Negara membuka peluang kepada kaki pancing untuk memancing di Tasik Tunku Abdul Rahman dengan bayaran sebanyak RM40 per joran.

Antara ikan yang ada di tasik Zoo Negara ialah tilapia, rohu, lampam, haruan, toman, dan patin. Cuma penulis tak pasti sama ada aktiviti memancing masih dibenarkan selepas Zoo Negara dibuka semula kepada orang ramai.

Haiwan di Zoo Negara

Gajah di Zoo Negara
Dengan keluasan 110 ekar, Zoo Negara Malaysia menempatkan lebih daripada 476 spesis haiwan. Selain daripada Pusat Konservasi Giant Panda, ada juga kawasan yang menempatkan haiwan lain seperti gajah dan beruang.

Hamster di Children's World Zoo Negara
Berhampiran dengan pintu masuk zoo, di laluan sebelah kanan adalah "Children's World" yang menempatkan beberapa haiwan seperti rusa, arnab, dan tikus belanda. Semuanya comel-comel.

Ular di Rumah Reptilia Zoo Negara
Selain itu, di rumah reptilia atau "Reptile House", kita boleh lihat pelbagai jenis reptilia, antaranya ular dan iguana. Ada bermacam jenis ular, berlainan corak yang ditempatkan di sini.

Kura-kura Gergasi di Zoo Negara
Berhampiran dengan rumah reptilia ini juga kita boleh lihat kura-kura dan buaya bersaiz besar. Saiz kura-kuranya membuatkan penulis teringat "Blastoise" dari siri permainan Pokemon.

Singa sedang berehat di Zoo Negara
Ada juga kawasan yang menempatkan singa dan harimau. Penulis perasan ada beberapa haiwan seperti harimau dan beruang yang berjalan mundar-mandir — kelakuan yang biasa dilihat pada sebahagian haiwan yang terkurung. Zoochosis?

Zirafah sedang makan di Zoo Negara
Di "Savannah Walk" pula, kita boleh lihat kuda belang, burung unta, dan zirafah ditempatkan dalam satu taman yang luas. Pengunjung juga disediakan tempat yang tinggi untuk melihat kesemua haiwan tadi.

Burung Merak di Taman Burung Zoo Negara
Jangan lupa juga melawat taman burung. Walaupun tidak sebesar Taman Burung Kuala Lumpur, kita masih boleh lihat pelbagai jenis burung yang cantik. Boleh juga tengok burung merak pada jarak yang dekat.

Kemudahan di Zoo Negara

Tong sampah di Zoo Negara
Walaupun kawasan Zoo Negara agak luas mereka juga menyediakan banyak tempat duduk dan tandas, lebih banyak berbanding yang ditunjukkan pada peta zoo. Surau juga disediakan.

Boleh sewa locker yang terletak berhampiran kaunter tiket pada harga RM2. Kerusi roda dan stroller kanak-kanak juga boleh disewa masing-masing pada harga RM5 dan RM20.

Sebuah laluan di Zoo Negara
Dahaga atau lapar selepas berjalan jauh? Di Zoo Negara juga ada kiosk yang menjual minuman dan makanan seperti jagung cawan dan maggi. Kalau datang pada waktu panas, sedap betul kalau dapat makan aiskrim.

Harga Trem di Zoo Negara

Trem di Zoo Negara
Trem di Zoo Negara terbahagi kepada dua laluan bergantung pada stesen, harganya pun berbeza. Untuk pengguna MyKad, harga menaiki trem ialah RM5.90 atau RM8.90.

Kalau rasa tak mampu nak berjalan, mungkin ada masalah lutut atau kaki bengkak, bolehlah naik trem.

Melawat dan Membantu

Diet panda di Zoo Negara
Dengan harga yang kita bayar untuk masuk ke Zoo Negara, kita bukan sahaja dapat melihat kehijauan alam dan haiwan. Sebenarnya, kita juga secara tidak langsung membantu pihak zoo menjaga haiwan-haiwan tersebut.

Daripada duit tiket kita lah mereka jadikan modal memberi makan dan penjagaan yang terbaik kepada setiap haiwan di zoo. Disebabkan itu jugalah, pihak zoo mencari modal tambahan menggunakan kaedah lain juga.

Rusa bertanduk di Zoo Negara
Selain daripada mencari penaja, mereka juga mengadakan program haiwan angkat. Di mana kita akan diberikan peluang untuk memberi sumbangan serendah RM26 bagi penjagaan haiwan yang kita sendiri pilih.

Sumbangan boleh dilakukan secara dalam talian di Ticket2u. Dengan cara ni, kita dapat membantu Jessy si tapir, Sibol si gajah, Choki si orangutan, dan rakan-rakan mereka yang lain.

Capybara di Zoo Negara
Walaupun Zoo Negara memerlukan pengurusan dan kedudukan kewangan yang baik, kita juga boleh membantu dengan cara lain. Pelajar contohnya boleh membantu dengan menjadi sukarelawan melalui program KeeperKu.

Berbaloi ke Datang ke Zoo Negara?

Savannah Walk di Zoo Negara
Bagi penulis, untuk saiznya dan bilangan haiwan yang ada memang berbaloi. Lebih-lebih lagi kalau kita berjalan kaki, ambil masa untuk melihat setiap haiwan dan info berkenaan mereka.

Ambil peluang ke Zoo Negara untuk mengajar kanak-kanak tentang haiwan. Supaya mereka kenal haiwan mana yang berbisa atau berbahaya, mana yang tidak. Mereka juga perlu kenal haiwan yang diancam kepupusan.

Iguana Zoo Negara
Buat masa ni, masih belum ada perkhidmatan menyewa basikal di Zoo Negara — mungkin untuk menjaga keselamatan pengunjung yang lain di zoo. Kalau boleh bawa basikal seronok juga.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Zoo Negara, boleh ke laman facebook Zoo Negara atau laman sesawang Zoo Negara.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top