DubuYo: Soondubu Jjigae Ayam dan Honey Garlic Bulgogi Daging

DubuYo Rice dan Banchan
Sepanjang 10 tahun pengoperasian restoran DubuYo, dulunya Dubu Dubu; penulis cuma pernah ke sini sebanyak dua kali. Nama Dubu-dubu dan DubuYo pula diambil daripada perkataan Korea "dubu" yang bermaksud tauhu.

Nak dijadikan cerita, kali kedua penulis ke DubuYo sedikit menghampakan sebab kebanyakan menu berasaskan ayam seperti Honey Mustard Wings dan Samgyetang tak dijual walaupun penulis ke sana pada waktu petang.

Mungkin ada masalah dengan bekalan atau harga ayam pada waktu tu, jadi pilihan menu agak terhad. Cuma penulis tak faham kenapa Jjajangmyeon pun tak ada waktu tu.

Soondubu Jjigae

Set dua orang DubuYo
Walaupun jarak Sopoong cuma beberapa kaki, penulis teruskan juga, walaupun bermasam muka; untuk makan di DubuYo dan pesan set Soondubu Jjigae ayam dan Honey Garlic Bulgogi daging.

Sebenarnya, dalam satu set Soondubu Jjigae untuk dua orang, kita akan dapat:

  • Soondubu Jjigae (Seafood/Ayam/Daging)
  • Honey Garlic Bulgogi (Ayam/Daging) ATAU Korean Spicy/Honey Mustard/Buldak/MayoYo Wings
  • 2 DubuYo Rice
  • 2 Roasted Barley/Green Tea
  • 2 Desserts
  • Banchan (Free Flow)

Menu pertama yang sampai ialah Citron Dubu, pencuci mulut yang dibuat dengan tauhu lembut dengan jem berperisa citrus. Terlalu lapar, tak sempat ambil gambar dah habis.

Soondubu Jjigae ayam di DubuYo
Sebelum ni penulis dah rasa Soondubu Jjigae daging, kali ni penulis cuba ayam pula. Bagi penulis, rasa Soondubu Jjigae ayam lebih ringan dan mudah diterima berbanding daging.

Soondubu Jjigae daging yang penulis makan sebelum ni agak berminyak, dengan sedikit rasa hanyir daging; mungkin sebab gunakan bahagian daging yang mempunyai banyak lemak.

Selain ayam dan daging, dalam semangkuk Soondubu Jjigae juga ada telur dan tauhu lembut (soondubu). Banyak juga tauhu lembut dalam ni, rasa supnya juga sedikit pedas.

Honey Garlic Bulgogi

Bulgogi daging di DubuYo
Antara makanan kegemaran orang Korea, belum pernah lagi penulis makan bulgogi yang tak sedap. Bulgogi daging di DubuYo agak manis, daging yang digunakan juga lembut.

Tak berapa minat dengan kacang pis, lobak dan jagung yang digunakan, agak-agak sejuk beku ke bukan? Tetapi, penulis memang suka makan bulgogi daging dengan bawang yang disediakan.

Di atas bulgogi daging juga diletakkan sebiji telur mata yang tak berapa menjadi, dan sedikit garing. Boleh dimaafkan, lagipun rasanya sedap apabila dimakan bersama nasi DubuYo atau heukmi bap.

Banchan di DubuYo
Banchan yang diberikan kali ni agak berbeza, kimchi, lobak putih dan timun; berbanding kimchi, ikan bilis dan kangkung (tak berapa ingat) sebelum ni.

Gimbap Ayam

Gimbap dan Bulgogi di DubuYo
Sedikit mengecewakan, penulis pesan gimbap daging tetapi yang datang pula ayam. Kalau dilihat pada gambar, boleh nampak yang isinya tak banyak, nisbah antara nasi dan ayam tak berapa cun.

Rasa nasi terlalu menonjol dan sos pencicahnya pula terlalu masam atau berasid, mungkin terlalu banyak gunakan cuka. Terus terang lebih sukakan gimbap yang penulis beli di CU Mart sebelum ni.

Kualiti dan Konsistensi Servis

Green Tea DubuYo
Pesaing semakin banyak, sepatutnya DubuYo perlu tingkatkan lagi kualiti servis dan perbanyakkan promosi. Servis juga perlu konsisten, jangan pula selalu ada menu yang tak ada, atau rasa makanan berubah-ubah.

Jangan sampai pelanggan setia DubuYo selama ni mula beralih arah ke Mr Dakgalbi, Myeongdong Topokki, Seoul Garden Hotpot ataupun Sopoong. Sangat malang kalau terjadi, sebab DubuYo dah ada lebih 10 tahun di Malaysia.

Penulis pula fikir ini mungkin masalah dengan pengurusan cawangan ataupun staf semasa, dan akan cuba DubuYo di cawangan lain pula selepas ni untuk dapatkan Honey Mustard Wings mereka yang sangat sedap.

Kalau korang datang ke sini untuk makan Kimchi Jjigae, di DubuYo cuma ada Soondubu Jjigae dan Samgyetang.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top