Bukit Batu Putih di Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan, Port Dickson

Di puncak Bukit Batu Putih, Port Dickson
Port Dickson sememangnya terkenal dengan pantainya seperti Pantai Saujana, Pantai Teluk Kemang, Pantai Blue Lagoon, Pantai Cermin, dan Pantai Tanjung Tuan yang tak pernah sunyi dengan pengunjung.

Ramai juga yang melakukan aktiviti perkhemahan, sama ada bermalam ataupun tidak; di pantai-pantai Port Dickson. Penulis sendiri waktu kecil dulu selalu berkhemah di Port Dickson, cuma dah tak ingat di pantai mana satu.

Pemandangan laut dari Hutan Simpan Tanjung Tuan
Namun, selain perkhemahan; Port Dickson juga menjadi tempat tumpuan pelancong yang gemarkan aktviti pendakian. Tempat pendakian yang paling terkenal di Port Dickson ialah Bukit Batu Putih.

Bukit Batu Putih, Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan

Taman Rekreasi Tanjung Tuan
Bukit Batu Putih yang terletak di Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan sangat terkenal dengan puncaknya yang terdiri daripada batuan kuarza. Sangat cantik, ramai yang datang semata-mata untuk bergambar di sini.

Jangan keliru dengan Bukit Batu Putih yang terletak di Gopeng, Perak. Di Bukit Batu Putih Gopeng pun boleh lakukan aktiviti pendakian juga, cuma Bukit Batu Putih di Port Dickson lebih terkenal.

Rekod Garmin pendakian Bukit Batu Putih
Terletak hanya dalam 18 kilometer dari pekan Port Dickson, ketinggian bukit di Tanjung Tuan ni lebih kurang 90 meter dari paras laut. Laluan ke puncak bukit batu putih (lebih kurang 30 meter dari paras laut) pula pelbagai dengan tahap kesukaran yang berbeza.

Penulis ke puncak Bukit Batu Putih dengan laluan yang paling mudah, di mana separuh daripada laluannya berturap dan selebihnya ialah tanah. Laluan ni sangat sesuai untuk pendakian yang santai.

Rumah Api Tanjung Tuan
Laluan yang santai ni juga akan bawa kita ke Rumah Api Tanjung Tuan (86 meter dari paras laut), atau Rumah Api Cape Rachado. Ada tangga disediakan untuk kita naik dan lihat rumah api ni dengan lebih dekat.

Pemandangan Dari Puncak

Pemandangan dari puncak Bukit Batu Putih
Untuk sampai ke puncak, kita perlu memanjat sebuah bukit yang agak curam. Walaupun tali disediakan, perlu ambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kita memakai kasut yang sesuai untuk mengelakkan kegelinciran.

Pemandangan di puncak Bukit Batu Putih sangat cantik sebab kita boleh nampak lautan biru yang sangat luas, sampaikan pekan Port Dickson pun kelihatan sangat kecil.

Mendaki ke puncak Bukit Batu Putih
Cuma kalau datang pada hari cuti, memang ramai walaupun pada waktu tengah hari. Penulis sendiri tak ada banyak ruang untuk bergerak sewaktu di puncak, jadi penulis terus turun lepas ambil beberapa gambar.

Pukulan Ombak di Sebuah Tanjung

Tobi di Bukit Batu Putih
Ke depan sedikit ialah laluan ke sebuah tanjung. Walaupun jauh lebih rendah berbanding puncak Bukit Batu Putih, pemandangan di sini juga agak hebat disebabkan kedudukannya yang lebih hampir dengan laut.

Di sebuah tanjung di Bukit Batu Putih
Ombak di sini lebih ganas, nampak seperti tempat pertemuan ombak yang berlawanan haluan dari arah kiri dan kanan. Bunyi ombak yang memukul kaki bukit juga sangat menenangkan.

Laut di Pantai Batu Putih
Ada juga laluan untuk turun lebih dekat dengan laut, tetapi sedikit bahaya ketika pukulan ombak sedang kuat. Hati-hati kalau tak pandai berenang sebab kawasannya bukan seperti pantai, mudah hanyut kalau jatuh ke dalam air.

Gambar berlatar belakangkan laut
Waktu penulis sampai di kawasan ni memang takde orang lain, cuma penulis dengan kawan-kawan; jadi memang best lepak ambil gambar berlatar belakangkan laut di sini.

Sebenarnya Terletak di Melaka

Laut di Tanjung Tuan
Kalau perasan, sebelum sampai ke Hutan Rekreasi atau Taman Eko-Rimba Tanjung Tuan; kita akan nampak papan tanda sempadan negeri Melaka. Sebab Bukit Batu Putih sebenarnya terletak di daerah Alor Gajah, Melaka.

Tetapi, disebabkan ia cuma sebuah kawasan kecil yang berada di hujung sebuah kawasan di daerah Port Dickson yang besar, ia lebih terkenal sebagai sebahagian daripada Port Dickson.

Pendakian Yang Santai

Di puncak Bukit Batu Putih
Jarak perjalanan pergi dan balik dalam 3.2 kilometer, dan mengambil masa kurang daripada satu setengah jam. Pendakian yang santai dan mudah, walaupun ada kawasan yang agak curam dengan sudut kecondongan antara 10 ke 12%.

Penulis sarankan kepada yang baru nak berjinak dengan aktiviti pendakian untuk datang ke sini, atau mana-mana bukit lain yang sama santai seperti Bukit Broga dan Panorama; terlebih dahulu, sebelum ke tempat yang lebih sukar dan tinggi.


Sesiapa yang ke Port Dickson untuk berkhemah, bolehlah masukkan Bukit Batu Putih ke dalam jadual aktiviti lepas ni. Boleh berkhemah sehari lebih awal, kemudian lakukan pendakian keesokannya.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top