Perbezaan Sistem Tol Terbuka dan Tertutup. Boleh ke Masuk RFID, Keluar Touch 'n Go?

Fasa percubaan RFID telah dilaksanakan pada tahun 2018, Kemudian ia dilancarkan secara rasmi pada awal 2019, dan digunakan secara lebih meluas di kebanyakan lebuhraya di Malaysia bermula tahun 2020.

Touch 'n Go pula, sebagai sebuah teknologi pembayaran yang lebih lama berbanding RFID; telah digunakan sejak 1997. SmartTAG pula diperkenalkan dua tahun kemudian sebagai pelengkap kepada TnG.

Namun, masih ada segelintir yang belum faham tentang sistem tol terbuka dan tertutup yang digunakan di lebuhraya. Apa bezanya antara plaza tol sistem terbuka dan plaza tol sistem tertutup?

Sebelum ni kita cuma ada Touch 'n Go, walaupun menggunakan SmartTAG; sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada tunai, jadi kita tak berapa peka tentang kedua-dua sistem yang disebutkan tadi.

RFID & Touch 'n Go/SmartTAG

Tetapi sekarang dah ada RFID, kita mesti tahu mana satu tol yang menggunakan sistem terbuka, dan mana satu tol yang menggunakan sistem tertutup supaya kita tak sewenang-wenangnya ubah kaedah pembayaran.

Kenapa? Sebab RFID menggunakan sumber pembiayaan yang berlainan dengan Touch 'n Go, iaitu Touch 'n Go eWallet. Setiap bayaran akan ditolak dari baki akaun Touch 'n Go eWallet, bukannya Touch 'n Go.

Sistem Tol Terbuka

Untuk sistem tol terbuka, pengguna akan dikenakan bayaran tetap berdasarkan kelas kenderaan tanpa mengambil kira jarak perjalanan. Tak kisahlah kita datang dari mana, keluar ke mana, bayarannya sama je.

Contoh lebuhraya dengan sistem tol terbuka ialah Lebuhraya LATAR E25, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) E15, Lebuhraya MEX E20, Lebuhraya Guthrie E35, dan Lebuhraya KL-Karak E8.

Sistem Tol Tertutup

Sistem tol tertutup pula akan mengenakan bayaran berdasarkan bukan sahaja kelas kenderaan, tetapi juga berdasarkan jarak perjalan. Selalunya tol akan diletakkan pada susur masuk dan keluar lebuhraya.

Contoh lebuhraya dengan sistem tol tertutup ialah Lebuhraya Utara-Selatan E1 & E2, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) E8, sebahagian Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) E32, dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) E21.

Sebelum diwajibkan penggunaan Touch 'n Go, lebuhraya dengan sistem tol tertutup akan berikan tiket pada plaza tol masuk lebuhraya, dan bayaran tunai akan dilakukan pada plaza tol keluar lebuhraya.

Di Mana Perlu Gunakan Kaedah Pembayaran Yang Sama?

Kalau kita gunakan lebuhraya dengan sistem tol tertutup, kita perlu masuk dan keluar menggunakan kaedah pembayaran yang sama. Masuk dengan TnG/SmartTAG keluar dengan TnG/SmartTAG.

Kalau masuk dengan RFID, keluar pun dengan RFID. Kalau masuk dan keluar menggunakan kaedah pembayaran berbeza, contohnya masuk RFID keluar TnG/SmartTAG; kita akan dikenakan bayaran tol maksimum.

Kad Touch 'n Go Juga Perlu Sama

Bukan saja kaedah pembayaran perlu sama, kalau kita masuk ke lebuhraya dengan sistem tol tertutup menggunakan Touch 'n Go, kita juga perlu keluar menggunakan kad Touch 'n Go yang sama.

Kalau kita masuk ke lebuhraya menggunakan kad TnG, dan keluar menggunakan kad TnG yang lain, kita akan dipenalti dengan bayaran tol maksimum juga.

Yakinkah Kita dengan RFID?

Bukanlah teknologi yang baharu, RFID sebagai satu kaedah pembayaran dan kutipan tol sudah pun digunakan sejak lebih daripada 20 tahun. Cuma di Malaysia ni, pelaksanaan dan penerimaannya agak perlahan.

Penulis faham kenapa ada yang masuk dengan RFID, keluar dengan TnG/SmartTAG di plaza tol sistem tertutup. Kadang-kadang ada masalah, lorong RFID pula cuma satu, terpaksa beratur panjang walaupun lorong lain bergerak lancar.

Cuma bila dah tahu tentang sistem tol terbuka dan tertutup ni, kita tahulah sama ada kita boleh suka-suka tukar lorong ataupun tak.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top