Istiwa A'dzam: Bila dan Bagaimana Menentukan Arah Kiblat
Pada setiap tahun, matahari akan berada tegak di atas kaabah sebanyak dua kali sehinggakan bayang-bayang kaabah seakan-akan tidak kelihatan. Peristiwa ini dipanggil sebagai Istiwa A'dzam.
Istiwa A'dzam atau istiwa utama terjadi apabila matahari berada di titik zenith atau titik ghayah kaabah di Mekah. Zenith ialah titik yang berada tepat di atas, berlawanan dengan arah graviti; objek atau pemerhati — dalam hal ni Kaabah.
Waktu Peristiwa Istiwa A'dzam
Lebih menarik lagi, menurut falak dan hisab; peristiwa atau fenomena Istiwa A'dzam akan berlaku pada 28 Mei pukul 5:16 petang, dan 16 Julai pukul 5:28 petang waktu Malaysia setiap tahun.
Ini bermakna umat Islam di serata dunia diberikan peluang untuk menyemak kedudukan arah kiblat sebanyak dua kali pada setiap tahun ketika berlakunya fenomena Istiwa A'dzam.
Dengan syarat, negara di mana kita berada juga sedang siang, ataupun masih boleh terlihat matahari dan bayang-bayang ketika terjadinya Istiwa A'dzam.
Cara Menyemak Arah Kiblat
Ketika Istiwa A'dzam, setiap bayang-bayang yang disebabkan oleh matahari akan menghala ke arah yang bertentangan dengan kiblat. Ini disebabkan oleh kedudukan matahari yang berada tegak di atas Kaabah.
Untuk mendapatkan arah kiblat yang lebih tepat, apa yang kita perlu lakukan ialah memacakkan satu tiang yang lurus atau apa-apa yang mempunyai bentuk yang hampir serupa.
Pastikan tiangnya tegak, dan tak terlindung daripada cahaya matahari. Tepat waktu Istiwa A'dzam, contohnya pada 5:16 petang 28 Mei; arah yang bertentangan dengan arah bayang-bayang itulah arah kiblat
Arah Kiblat Menggunakan Telefon Pintar
Walaupun telefon pintar dibekalkan dengan teknologi kompas, ia amat sensitif kepada faktor-faktor dalaman ataupun luaran seperti gangguan magnet, GPS, dan sebagainya.
Secara umumnya azimuth atau sudut arah kiblat di Malaysia, yang dihisab menggunakan trigonometri sfera; adalah antara 290 ke 293 darjah. Cuma, walaupun sudut yang diberikan aplikasi adalah tepat, kompas pada telefon kita mungkin tidak.
Jadi, adalah lebih baik digandingkan dengan kompas sebenar, ataupun bandingkan dengan kompas pada telefon pintar yang lain. Kemudian, boleh lakukan semakan ketika Istiwa A'dzam.
Bagaimana Kalau Kiblat Tersasar Sedikit?
Bagi rakyat Malaysia yang berada jauh dari Kaabah, cukup sekadar kita menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat (Jihat al-Kaabah), tidak perlu menghadap Kaabah secara tepat (Ain al-Kaabah).
Namun, ini tak bermakna kita boleh mengambil mudah. Kita masih perlu berpandukan ikhtiar ahli falak dalam menentukan sudut kiblat, walaupun melalui aplikasi. Kemudian, kalau tersasar sedikit ke kiri atau ke kanan solat masih dikira sah.
Boleh rujuk pejabat mufti Wilayah Persekutuan dan jabatan mufti Terengganu untuk penjelasan yang lebih tepat.
Main Photo by Ishan @seefromthesky on Unsplash
Post a Comment