Texas Chicken: Ayam Goreng Glazed Herb and Garlic, dan Seaweed and Wasabi Loaded Fries

Texas Chicken Glazed Herb and Garlic
Sebagai pesaing KFC, Texas Chicken merupakan yang paling hampir dari segi gaya dan menunya yang terdiri daripada ayam goreng, burger, dan wrap. Dalam tempoh 8 tahun sahaja, lebih daripada 50 cawangan Texas Chicken telah dibuka.

Dua perkara tentang Texas Chicken yang sering dipuji ialah saiz ayamnya yang lebih besar berbanding pesaingnya, dan juga rasa "honey-butter biscuit" yang mengiringi setiap set ayam goreng.

Bagi penulis, rasa ayam goreng di Texas Chicken, walaupun saiznya lebih besar; agak pudar berbanding ayam di KFC kecuali untuk menu promo yang dikeluarkan secara bermusim.

Sewaktu penulis ke Kuala Lumpur baru-baru ni, sempat juga penulis singgah di Texas Chicken Suria KLCC untuk mencuba menu baharu ayam goreng Glazed Herb and Garlic, dan Seaweed and Wasabi Loaded Fries.

Lama juga beratur, sebab hanya satu kaunter sahaja yang dibuka walaupun kunjungan penulis adalah ketika waktu puncak. Makanan juga mengambil masa yang lama untuk disediakan, kurang kakitangan agaknya.

Glazed Herb and Garlic

Untuk ayam goreng Glazed Herb and Garlic, kita boleh pilih antara set bersama nasi atau kentang putar. Seperti biasa, ia datang dengan "biscuit" dan air yang boleh diisi semula secara percuma.

Cuma, "biscuit" yang datang dengan set ayam goreng Glazed Herb and Garlic adalah sedikit berbeza. "Biscuit" yang diberikan disaluti dengan perisa herba dan bawang putih yang sama.

Bahagian ayam yang penulis dapat ialah kepak dan peha. Untuk peha, saiznya biasa-biasa sahaja, tetapi untuk kepak saiznya memang besar sebab disekalikan dengan bahagian isi.

Dari segi rasa, rasanya seperti garlic bread. Tak pelik pun, sebab bahan asasnya sama sahaja — bawang putih dan herba seperti oregano atau parsley. Sebagai seorang peminat garlic bread, rasanya memang sedap.

Cuma penulis tak pasti sama ada glazing atau salutan yang digunakan pada ayam goreng Glazed Herb and Garlic tadi diperbuat daripada mentega ataupun madu.

Seaweed and Wasabi Loaded Fries

Penulis juga ada memesan Seaweed and Wasabi Loaded Fries, sebab ada promosi "buy 1 free 1" pada hari penulis ke sana. Untuk RM6.99 dapat dua mangkuk loaded fries, memang berbaloi-baloi.

Tak menghampakan, memang puas hati makan Seaweed and Wasabi Loaded Fries. Sos tak kedekut, potongan atau cebisan ayam yang digunakan juga masih rangup dan tidak kering.

Cuma penulis tak jumpa rasa wasabinya di celah mana, ada lah sedikit bayang-bayang rasa rumpai laut. Tetapi rasanya masih sedap, cuma penulis nasihatkan untuk makan ketika masih panas atau suam.

Herb Garlic vs Soy Garlic

Texas Chicken Glazed Herb and Garlic
Walaupun penulis sukakan ayam goreng perisa herba dan bawang putih tadi, penulis lebih sukakan gabungan bawang putih dan kicap, atau soy garlic seperti yang penulis makan di 4 Fingers dulu.

Kalau dibandingkan pula dengan menu bermusim yang dikeluarkan Texas Chicken sendiri, penulis lebih sukakan ayam 8 Lada Bersaudara yang penulis makan beberapa tahun yang lepas, kaya dengan rasa.

Jadi macam mana? Nak kena cuba atau tak ayam goreng Glazed Herb and Garlic ni? Tak rugi pun cuba, lebih-lebih lagi untuk peminat bawang putih, khususnya peminat garlic bread.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top