Soi 55 Thai Kitchen: Siakap Stim Limau dan Tomyam Resepi Asli Siam yang Pekat dan Memikat

Sejak kes siakap kayangan di Langkawi baru-baru ni, setiap kali makan ikan siakap mesti nak dibandingkan dengan harga siakap kayangan di sana. Mana taknya, di mana lagi ada jual ikan siakap berharga RM16 untuk 100 gram?

Tak pernah terfikir harga sebuah hidangan ikan siakap boleh mencecah lebih RM1000, walaupun untuk seekor ikan seberat 7 kilogram.

Sebabnya untuk makan siakap dengan rasa kayangan, tak perlu pun berbelanja harga kayangan. Di Soi 55 Thai Kitchen kita boleh makan setiap hidangan ikan siakap dengan hanya berbelanja sebanyak RM55.

Soi 55 Thai Kitchen

Soi 55 Thai Kitchen menyediakan pelbagai hidangan siam atau thai seperti siakap stim limau, somtam, pulut mangga, kari hijau, pad thai, dan tomyam yang merupakan hidangan signature mereka.

Kunjungan kali pertama penulis ke Soi 55 Thai Kitchen di cawangan Bukit Jelutong, Shah Alam adalah pada Khamis malam. Tak terlalu ramai, jadi tak perlu nak menunggu terlalu lama.

Honey Lemon with Peaflower

Kalau teringin teh siam, milk tea atau green tea; bolehlah datang ke sini. Untuk minuman penulis cuba air honey lemon with peaflower, rasanya sedap, menyegarkan, dan warnanya juga sangat menarik.

Ikan Siakap Stim Limau dan Tomyam

Kita boleh pesan makanan secara ala carte atau atau kombo. Untuk kombo CB1, kita akan dapat seekor siakap kukus limau, tomyam, sepinggan sayur kailan masak sos tiram, dan ayam goreng pandan

Untuk kombo CB2 pula, kita akan dapat seekor siakap goreng masak sos cili, kari hijau ayam, kangkung goreng sos tiram, dan sotong goreng tepung.

Ayam goreng pandan habis, jadi Soi 55 gantikan dengan sotong goreng tepung. Sedikit kecewa sebab penulis memang sukakan ayam, tetapi bila difikirkan semula berbaloi juga dapat tukar ayam dengan sotong.

Kesemua makanan dalam menu tadi memang sedap, terutamanya ikan siakap stim limau. Kuahnya tak ceroi, memang likat dan pekat dengan rasa limau dan bawang putih. Hirup saja pun dah sedap.

Tomyam pun sama pekat juga, dipenuhi udang, sotong, dan ikan. Rasanya masam, manis, berlemak, dan tak menjemukan. Selagi belum kenyang, selagi tu lah kita akan hirup tomyam di Soi 55 Thai Kitchen ni.

Untuk set kombo CB1 dan CB2, cukup untuk dimakan 4 ke 5 orang. Kalau cuma datang berdua atau lebih ramai, boleh cuba set kombo yang lain. Kalau rasa tak cukup, pesan je secara ala carte.

Butter Prawn dan Somtam

Selain daripada menu-menu tadi, penulis berkesempatan juga mencuba udang mentega, somtam, dan tomyam seafood bersama mi segera. Serunding telur pada butter prawn memang sedap dimakan dengan nasi.

Sotong dan udang di Soi 55 Thai Kitchen tidak liat, tidak lembik, dan rasanya agak segar. Sotong yang digunakan untuk hidangan sotong goreng tadi juga agak besar, dan yang paling penting gorengnya rangup.

Somtam rasanya seperti biasa lah, sedikit masam, pedas, dan rangup. Mi tomyam seafood pula bukan biasa-biasa, ada udang, ikan, sotong, dan lala. Tomyamnya pekat juga sama macam tomyam signature Soi 55.

Harga Menu Soi 55 Thai Kitchen

Penulis memang berpuas hati dengan kesemua menu yang penulis cuba, walaupun harganya bukanlah dalam kategori murah. Berikut merupakan senarai harga menu yang penulis cuba:

Menu Harga
Combo CB1
Siakap Steam Fish Garlic,
Signature Tom Yum Seafood,
Stir-fried Kailan with Oyster Sauce,
Fried Chicken Wrapped in Pandan Leaf.
119.00
Thai Style Butter Prawn 32.00
Thai Green Mango Spicy Somtum 20.00
Thai Mama Mee Seafood 20.00
Coffee 5.00
Thai Green Tea 7.00
Cincau in Pandan Water 4.00
Fresh Orange Juice 8.00
Honey Lemon with Peaflower 8.00
Harga pada Disember 2021

Untuk menu-menu lain boleh ke laman facebook Soi 55 Thai Kitchen.

Bagi penulis memang berbaloi dengan harga yang penulis bayar, dan penulis boleh jamin yang penulis akan ke sini lagi untuk cuba menu-menu lain — cuma bukan dalam masa terdekat.

Ada banyak lagi menu yang penulis belum cuba contohnya pad thai, ayam goreng pandan, kari hijau ayam, nasi pad kra pao, dan pulut mangga. Mungkin boleh cuba ikan siakap masak lain pula lepas ni.


Siapa yang berkemampuan, memang rugi kalau tak cuba. Dengan bermodalkan hanya RM119 dah boleh dapatkan empat jenis lauk termasuk seekor ikan siakap. Kalau pandai berjimat untuk minuman, cuma perlu berbelanja tak sampai RM150 pun.

Boleh cuba siakap yang menggiurkan tadi di restoran Soi 55 Thai Kitchen yang terletak di Solaris Mont Kiara, Subang Jaya SS15, Bukit Jelutong, Bandar Sri Damansara, Damansara Perdana, dan Casa Tropicana.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top