Mencuba Kopi Vietnam di Gerai Kopi Saigon. Robusta Lebih Pahit Berbanding Arabica?

Bukan peminat tegar kopi, tetapi sekali-sekala teringin juga minum kopi yang sedap. Cuma kalau boleh, taknaklah terlalu mahal macam di Starbucks atau The Coffee Bean & Tea Leaf.

Selesai makan nasi ayam gepuk baru ni, ternampak pula gerai Kopi Saigon. Dalam keadaan pedas dan panas, siapa yang dapat menolak godaan air kopi sejuk berais? Lagipun, rasanya macam dah lama tak minum kopi Vietnam.

Saigon ialah nama lama bagi bandar terbesar di Vietnam, Ho Chi Minh. Vietnam juga merupakan penghasil biji kopi kedua terbesar di dunia — yang terbesar dalam penghasilan kopi jenis Robusta.

Kopi Vietnam di Kopi Saigon menggunakan biji kopi Robusta, dan dihasilkan dengan kaedah "dripping" menggunakan Phin Filter. Katanya inilah kaedah tradisional Kopi Vietnam dihasilkan.

Jadi apa bezanya rasa kopi Vietnam dengan kopi biasa? Rasa kopi Vietnam, walaupun selepas dibancuh dengan susu atau krimer pekat manis; agak kuat. Rasa pahitnya pun sedikit berbeza.

Berbanding biji kopi Arabica, Robusta mempunyai kandungan kafein yang lebih tinggi, dengan rasa pahit yang lebih menonjol. Robusta juga lebih mudah ditanam, oleh itu harganya lebih murah berbanding Arabica.

Untuk dapatkan rasa asli kopi Vietnam, penulis cuma pesan kopi Saigon. Tetapi sebenarnya, di Kopi Saigon kita boleh dapatkan 10 pilihan kopi, 1 pilihan air coklat, dan 1 pilihan teh matcha.

Untuk kopi Saigon, harganya RM5 untuk saiz kecil, dan RM7 untuk besar. Harga bagi minuman lain tidak lebih RM8 untuk saiz kecil, dan tidak lebih RM10 bagi yang bersaiz besar.

Dari segi harga, saiz, dan rasa, memang puas hati. Walaupun selepas ais sudah cair, rasa kopinya tak pudar. Cuma bagi penulis, penulis lebih sukakan kopi jenis Arabica.

Bagi sesiapa yang berminat dengan kopi Vietnam, bolehlah ke gerai Kopi Saigon. Buat masa ni, cuma ada 15 cawangan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, dan hanya satu cawangan di Pulau Pinang.

Untuk lihat kesemua lokasi gerai Kopi Saigon, boleh tekan pautan ini.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top