Berdikit-dikit, Lama-lama Menjadi Bukit: The Power of Tiny Gains, Rahsia Menjadi Hero Daripada Zero

Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Peribahasa ini sering dijadikan kata-kata semangat, motivasi, atau dorongan, tetapi berapa ramai daripada kita yang betul-betul menjiwai peribahasa ni?

Dan tahukah kita sebenarnya peribahasa yang terakam bukanlah apa yang kita baca tadi, tetapi "berdikit-dikit, lama-lama menjadi bukit". Namun, tidak menjadi kesalahan menggunakan perkataan "sedikit", ia membawa maksud yang sama.

Dalam bahasa inggeris, peribahasa atau proverb yang membawa maksud yang serupa ialah "many a little makes a mickle".

Ertinya, usaha yang sedikit sekalipun jika diulang-ulang atau dilakukan terus-menerus, pasti akan memberikan hasil yang banyak. Persoalannya sekarang, berapa sedikit? Dan berapa banyak?

The Power of Tiny Gains

Dalam dunia matematik, "The Power of Tiny Gains" juga membawa dan menekankan idea yang sama. Dalam kewangan contohnya, sering ditekankan bagaimana sebuah pelaburan yang sedikit boleh membawa keuntungan yang lumayan.

Tetapi, semuanya memerlukan masa. Pelaburan yang membawa pulangan sebanyak 10% setiap tahun contohnya, akan memerlukan masa selama 7 tahun untuk digandakan — Rule of 72.

Bagaimana kalau ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian? Bagaimana kalau kita menjadi lebih baik dari semalam? Tak perlu banyak, cuma 1% lebih baik, apa yang akan jadi?

Jika dilihat dengan mata kasar, 1% memang sedikit. Kita boleh capai 1% dengan mudah, mungkin dengan membaca satu dua artikel, menonton video tutorial selama 5 ke 10 minit, atau belajar resipi yang baru.

1% untuk 3700%

Namun, jika dibiarkan berterusan selama setahun, kita akan menjadi 37 kali ganda lebih baik daripada kita setahun yang lepas. Cuba bayangkan untuk 5 ke 10 tahun yang akan datang.

Berapa banyak artikel yang kita sudah baca? Berapa banyak video tutorial yang kita sudah lihat? Berapa banyak resipi baharu yang kita belajar? Semua ini menjadikan kita manusia yang berkemahiran dan berfikir.

Pilihan di tangan kita, 1% lebih baik atau 1% lebih buruk, tiada paksaan. Cuma perlu ingat, tanpa mengira apa pun pilihan kita, ramai di luar sana sedang menjadikan diri mereka 1% lebih baik.

Jadikan Kebiasaan

Pada awalnya, mungkin agak sukar untuk kita mula belajar pekara baharu setiap hari. Tetapi, jika dilakukan berterusan dalam masa 18 ke 254 hari, bergantung pada individu; ia akan menjadi kebiasaan.

Secara purata, manusia mengambil masa selama 66 hari untuk mewujudkan satu kebiasaan atau habit yang baharu.

Jadi, janganlah kerana kita gerunkan pencapaian yang besar, kita tinggalkan usaha yang kecil. Memang gerun membandingkan diri kita dengan sebuah pencapaian, mana mungkin seorang hingusan seperti kita boleh berjaya.

Oleh itu bandingkanlah diri kita hari ini dan semalam, masih berhinguskah kita? Sampai masa, kejayaan sendiri akan menjemput kita.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top