Lihat Bagaimana Google Memperkenalkan Headphone Jack 3.5mm pada Pixel 5a sambil Menyindir Apple

Kurang beberapa bulan sebelum Google mengeluarkan Pixel 6 ke pasaran, Google terlebih dahulu memperkenalkan Google Pixel 5a. Sebagai iklan untuk Pixel 5a, Google juga telah mengeluarkan sebuah video yang menarik.

Video tersebut memperkenalkan jek fon kepala atau "headphone jack" bersaiz 3.5mm. Namun, bukanlah headphone jack yang membuatkan video tersebut menarik, tetapi bagaimana ciri tersebut dipersembahkan.

Ianya sebuah parodi yang ditujukan kepada Apple, khususnya kepada pereka produk Apple, Jony Ive yang berpengalaman 27 tahun bersama Apple bermula dari tahun 1992 sehingga 2019.

Jony Ive merupakan jejaka berloghat Essex, jadi setiap video produk Apple yang bersuara latarkan beliau mempunyai sebutan British yang dikatakan "fancy". Cuba lihat video parodi dari Google:

Perasan bagaimana video tersebut beri penekanan pada sebutan "Aluminium" dan menceritakan perincian ciri headphone jack 3.5mm seolah-olah ianya sesuatu yang amat canggih atau "cutting edge"?

Mari kita bandingkan dengan video dari Jony Ive sendiri:

Apa yang membuatkan parodi ini menarik bagi pengguna Android? Pengguna Android tahu bahawa kebanyakan ciri yang ada pada iPhone sudah lama ada pada Android, contohnya seperti "fast charging" dan CPU empat teras.

Namun, Apple selalunya akan memperkenalkan ciri tersebut seolah-olah ianya suatu yang baru dan terkehadapan walaupun selepas dua atau tiga tahun ciri yang sama diperkenalkan pada telefon Android.

Adakah pengguna Apple akan terjejas dengan parodi atau sindiran dari pengguna Android? Pada pendapat penulis tidak, sebabnya pengguna Apple dan Android berada dalam dua dunia yang berbeza.

Apple dan Android mempunyai sasaran dan strategi pemasaran yang berbeza. Android melibatkan banyak syarikat pembuat telefon, dan untuk bersaing mereka berlumba-lumba memperkenalkan ciri-ciri baharu.

Photo by Pixabay from Pexels

Apple pula merupakan satu-satunya syarikat yang mengeluarkan iPhone dengan sistem operasi iOS. Apa yang penting bagi Apple ialah kestabilan dan ekosistem yang akan merangkap pengguna untuk terus menggunakan produk Apple.

Selain itu, walaupun Apple lewat dalam memperkenalkan suatu ciri pada produk mereka, mereka selalunya memperkenalkan dan melaksanakan ciri tersebut dengan cara yang lebih baik berbanding Android.

Walaupun pengguna Apple mungkin tak pernah kisah apa yang pengguna Android kata tentang mereka atau produk yang mereka guna, penulis tetap rasa video parodi dari Google suatu yang menarik dan kelakar.

Lagipun, pengguna Android pun tak kisah apa yang pengguna Apple kata tentang mereka. Seperti yang penulis katakan tadi, pengguna Android dan Apple berada dalam dua dunia yang berbeza.

azizinet00 | Hari3aku

1 Comments

To Top