Mencari Telefon Pintar yang Murah Untuk Tujuan Pembelajaran atau Pekerjaan? Jangan Terlalu Murah, Ini Spesifikasinya.

Dalam sepuluh tahun yang lepas, teknologi dengan bantuan internet telah berkembang dengan begitu pesat. Sebahagian besar dari perkembangan teknologi tersebut pula tidak lain tidak bukan ialah telefon pintar.

Tak pelik juga apabila lebih ramai dapat dihubungkan dengan telefon pintar berbanding komputer disebabkan oleh fungsi asal telefon pintar — telekomunikasi. Bayangkan dunia tanpa telefon pintar sekarang, mustahil.

Bahkan, telefon pintar juga telah mengubah corak dan cara kita berkomunikasi sejak kewujudannya lebih sedekad yang lalu. Fungsi SMS, MMS, dan Panggilan Video contohnya telah pun digantikan dengan Whatsapp dan Telegram.

Tidak terhad kepada komunikasi secara panggilan dan teks, telefon pintar juga boleh digunakan untuk melayar web, memasang audio, menonton video, menghantar e-mel, mengambil gambar, merakam video, dsb.

Disebabkan fungsinya yang pelbagai, ditambah pula harganya yang semakin mampu milik, telefon pintar menjadi peranti utama bukan sahaja untuk tujuan komunikasi atau hiburan, tetapi untuk tujuan belajar dan bekerja juga

Tetapi, bukan semua telefon pintar, khususnya yang menggunakan Android; diciptakan sama, masing-masing dengan kelebihan, ciri-ciri dan spesifikasi yang berbeza. Sudah tentu, lebih tinggi spesifikasi, lebih mahal harganya

Dalam menentukan spesifikasi yang sesuai untuk telefon pintar, kita perlu tahu tujuan penggunaan peranti tersebut. Kita perlukan bateri yang tahan lama ke? Kamera yang cantik ke? Atau kuasa pemprosesan yang tinggi?

SPESIFIKASI TELEFON UNTUK PEMBELAJARAN DAN KERJA?

Antara salah faham yang kita sering dengar adalah hanya "gaming" perlukan spesifikasi peranti yang tinggi. Jadi macam mana dengan mereka yang gunakan telefon pintar untuk tujuan pembelajaran atau bekerja?

Kalau ada yang fikir 1GB RAM dan 8GB ROM atau storan dalaman cukup untuk tujuan pembelajaran atau kerja, mungkin mereka masih hidup di tahun 2015. Cuba buat carian dalam internet, berapa banyak telefon pintar yang dikeluarkan dengan 1GB RAM sejak tahun 2018?

Pembelajaran, seperti bekerja, memerlukan peranti yang berfungsi tanpa gangguan — lebih RAM, lebih ROM. Spesifikasi minima hanyalah untuk telefon pintar yang digunakan untuk tujuan asas seperti membuat panggilan dan mesej teks menggantikan telefon bimbit.

Untuk pengetahuan, sehingga 2021; peranti dengan RAM kurang daripada 2GB akan menggunakan sistem operasi Android Go. Android Go adalah sebuah versi Android yang direka untuk peranti berspesifikasi rendah, ia menggunakan kurang RAM dan storan.

Selain itu, aplikasi pada telefon pintar juga berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan spesfikasi perkakasan. Aplikasi yang sama pada tahun ini mungkin memerlukan lebih sumber dalam beberapa tahun yang akan datang.

RAM

Mungkin ramai yang belum tahu, tetapi bukan semua RAM yang tertulis boleh diakses oleh aplikasi. Sebabnya sebahagian daripada RAM telah pun digunakan oleh proses-proses yang lain seperti sistem operasi Android itu sendiri, untuk paparan skrin, dsb.

Maka, untuk memastikan aplikasi berjalan dengan lebih lancar, membuka dan menukar aplikasi juga lebih lancar, kita perlukan RAM yang mencukupi. Berapa yang dikatakan cukup?

Untuk tujuan asas, penulis nasihatkan 2GB. Untuk tujuan pembelajaran dan sebagainya, penulis nasihatkan sekurang-kurangnya 3GB. Jangan terkejut kalau penulis kata 3GB pun sebenarnya masih dibawah piawaian atau standard untuk tahun 2021.

4GB RAM adalah standard untuk tahun 2019, untuk tahun 2021 pula dalam 6GB, 4GB RAM untuk tahun 2021 sudah termasuk kategori bajet. 1GB boleh dikira sudah terkebelakang.

Ruang Storan Dalaman

Walaupun kebanyakan aplikasi tidak memerlukan ruang storan yang banyak untuk dipasang, apa yang membimbangkan adalah apa yang berlaku pada ruang storan selepas aplikasi tersebut dipasang.

Kebanyakan aplikasi seperti Whatsapp dan Telegram secara tidak sedar akan memakan banyak ruang storan disebabkan oleh gambar-gambar dan video yang dimuat turun. Jika tidak diselenggara, aplikasi seperti Whatsapp secara mudah akan menggunakan ruang storan lebih daripada 3GB.

Sebab itulah penulis nasihatkan untuk menggunakan peranti dengan sekurang-kurang 16GB ruang storan, lebih baik jika 32GB. Perkara ni penting kerana kebanyakan aplikasi akan dipasang pada storang dalaman, dan akan menyimpan data hanya pada storan dalaman juga.

Saiz Skrin

Saiz skrin amat penting bagi memastikan tahap kebolehbacaan dan kebolehnampakan yang tinggi. Kriteria ini penting dalam memastikan maklumat sampai dengan lebih jelas, terutamanya apabila melibatkan paparan maklumat pada skrin.

Dapatkan paparan bersaiz sekurang-kurangnya 6 inci untuk memastikan tahap penglihatan yang lebih jelas. Walaupun saiz tulisan dan menu boleh diubah pada tetapan peranti atau aplikasi, perkara yang sama tidak boleh dilakukan apabila melibatkan rakaman atau panggilan video.

Kapasiti Bateri

Bergantung kepada spesifikasi telefon, kita mungkin perlukan kapasiti bateri yang lebih tinggi, dan mungkin juga tidak. Walaupun secara kasarnya kapasiti bateri yang tinggi bermakna tempoh hidup telefon yang lebih lama, secara realitinya mungkin tidak.

Semuanya bergantung kepada perkakasan dan perisian yang digunakan oleh setiap telefon. Dengan saiz transistor yang semakin kecil, pemproses mempunyai kuasa pemprosesan yang lebih tinggi menggunakan tenaga yang lebih rendah.

Walaupun demikian, nasihat penulis cuba dapatkan telefon dengan kapasiti bateri tidak kurang daripada 2800mAh.

Cadangan Spesifikasi

Cuba jadikan spesifikasi ini sebagai tanda aras: 4GB RAM, 64GB ROM, 6.5 inci skrin, dan 5000mAh bateri. Contoh telefon yang mempunyai spesifikasi ini ialah Samsung Galaxy A02s (RRP RM529). Kalau bajet lebih rendah, boleh turunkan spesifikasi, mungkin 3GB RAM, 32GB ROM contohnya seperti Samsung Galaxy A02 (RRP RM399).

Jangan mulakan pencarian telefon dengan spesifikasi terendah kalau mahukan spesifikasi telefon kita kekal relevan walaupun selepas 3 tahun.

BAJET ≠ PRODUKTIVITI

Jangan korbankan spesifikasi dengan alasan untuk mengelak salah guna telefon pintar. Spesifikasi telefon pintar yang baik memastikan kerja dan pembelajaran berlaku dengan lebih jelas dan lancar, secara langsung meningkatkan produktiviti.

Untuk mengawal tingkah laku pengguna telefon pintar, khususnya anak-anak; boleh gunakaan aplikasi seperti Google Family Link atau alternatif lain seumpamanya.

Penulis tak letakkan tumpuan kepada kamera, kuasa pemproses dan sebagainya sebab penulis tak nak artikel ini menjadi terlalu teknikal. Kalau pembaca lebih fokuskan kamera dan kuasa pemproses, penulis rasa dia mampu untuk dapatkan spesifikasi yang lebih baik daripada apa yang penulis cadangkan.

Harap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam memilih telefon pintar yang sesuai untuk tujuan pembelajaran atau kerja, terutamanya kepada mereka yang memerlukan spesifikasi terbaik untuk harga yang masih boleh dikira murah

Jangan mudah terpengaruh dengan harga telefon pintar yang murah tanpa melihat terlebih dahulu spesifikasi yang diberikan. Membeli telefon pintar adalah satu pelaburan, jadi kita perlu fikirkan kesan jangka panjangnya.

Post a Comment

To Top