Cara Mudah Menukar Unit Suhu Daripada Fahrenheit kepada Celsius tanpa Kalkulator

Thermometer

Photo by Maksim Goncharenok from Pexels

Masih ingat lagi topik haba dan suhu dalam kelas Sains waktu sekolah dulu? Ingat lagi unit-unit untuk mengukur suhu seperti darjah Celsius (\(^\circ \mathrm{C}\)), darjah Fahrenheit (\(^\circ \mathrm{F}\)), dan Kelvin (\(\mathrm{K}\))?

Dalam urusan seharian, agak jarang untuk kita dengar atau gunakan unit Kelvin. Unit Kelvin mempunyai penggunaan yang meluas dalam komuniti saintifik, dimana \(0 K\) merujuk kepada sifar mutlak, suhu terendah yang boleh dicapai sebuah objek dengan nilai entropi minimum.

Hubungan antara suhu dalam Kelvin (\(T_K\)) dengan suhu dalam celsius (\(T_C\)) ialah \(T_K=T_C+273.15\), mudah bukan? Tetapi bukan penukaran Celsius ke Kelvin yang kita nak tahu sekarang ni, yang kita nak tahu sekarang ialah penukaran Fahrenheit kepada Celsius.

Celsius, ataupun Centigrade merupakan unit metrik bagi suhu yang digunakan majoriti negara. Walaupun yang demikian, masih ada negara yang menggunakan unit Fahrenheit seperti Amerika Syarikat yang entah kenapa masih berdegil hendak menggunakan unit imperial.

Namun, disebabkan oleh pengaruh Amerika Syarikat yang kuat dalam ekonomi dan internet, sering kali kita akan terjumpa unit Fahrenheit digunakan dalam artikel-artikel atau video-video berkaitan.

Penukaran Unit Fahrenheit kepada Celsius

Sebagai contoh, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menetapkan \(165^\circ F\) sebagai suhu minima daging ayam yang perlu dicapai dalam masakan sebelum ianya selamat dimakan.

Jadi berapa pula suhunya dalam Celsius? Secara saintifiknya hubungan antara suhu dalam Fahrenheit (\(T_F\)) dan suhu dalam Celsius (\(T_C\)) ialah \[T_C=\frac{5}{9}(T_F-32),\] tetapi siapa yang boleh selesaikan \(\frac{5}{9}\) dengan cara mencongak?

Oleh itu, disebabkan hampirnya nilai antara \(\frac{5}{9}=0.55\dot{5}\) dan \(\frac{1}{2}=0.5\), kita boleh anggarkan penukaran unit Fahrenheit kepada Celsius menggunakan formula \[T_C\approx\frac{T_F-30}{2}.\]

Dengan formula ini, kita boleh rumuskan \(165 ^\circ F\approx 67.5 ^\circ C\), hanya \(6.388\dot{8} ^\circ C\) lebih rendah berbanding suhu sebenar \(73.88\dot{8} ^\circ C\). Kelemahan anggaran ini ialah ia akan menjadi lebih rendah daripada suhu sebenar apabila melibatkan suhu yang lebih tinggi.

Untuk anggaran yang lebih tepat kita perlu ubah sedikit formula tadi, kita boleh gunakan formula \[T_C\approx\frac{T_F-30}{2}+\frac{T_F-30}{20}-1.\] Dengan formula yang kedua ini, kita akan dapat \(165 ^\circ F\approx 67.5+6.75-1\) \(= 73.25 ^\circ C\), lebih hampir kepada suhu sebenar.

Untuk memudahkan lagi kiraan, boleh bundarkan angka yang kedua, contohnya \(165 ^\circ F\approx\) \(67.5+7-1 =\) \(73.5 ^\circ C\).

Penukaran Unit Celsius kepada Fahrenheit

Untuk anggaran kasar, kita boleh gunakan formula \[T_F\approx 2T_C+30.\] Kalau mahukan anggaran yang lebih tepat, boleh gunakan formula \[T_F\approx 2T_C-\frac{2T_C}{10}+32.\] Sama seperti tadi, boleh bundarkan angka kedua untuk memudahkan kiraan.

Contohnya, \(74 ^\circ C\) dalam Fahrenheit menurut anggaran pertama ialah \(148+30=178 ^\circ F\). Menurut anggaran yang lebih tepat pula ialah \(148-14.8+32\approx\) \(148-15+32=\) \(165 ^\circ F\).

Bila Perlu Gunakan Anggaran Kasar?

Image by Heiko Koppenhagen from Pixabay

Anggaran kasar penukaran unit Fahrenheit kepada Celsius boleh digunakan apabila kita membaca artikel atau arahan bagi mendapatkan gambaran julat suhu. Namun, ia tidak sesuai untuk perkara atau maklumat yang sensifif dengan perubahan suhu.

Menggunakan anggaran kasar, suhu \(400^\circ F\) boleh diterjemahkan sebagai \(185^\circ C\) sedangkan suhu sebenarnya adalah dalam \(204.5^\circ C\). Suhu yang dikategorikan sebagai demam ialah \(99.5^\circ F\) atau \(37.5^\circ C\) ke atas, tetapi dengan anggaran kasar kita akan dapat suhu yang lebih rendah iaitu \(34.75^\circ C\).

Yang penting untuk kita tahu ialah anggaran kasar penukaran suhu daripada Fahrenheit kepada Celsius untuk \(50^\circ F\) ke atas akan memberikan kita suhu yang lebih rendah daripada suhu sebenar. Manakala anggaran kasar penukaran daripada Celsius kepada Fahrenheit pula akan memberikan kita suhu yang lebih tinggi daripada suhu sebenar untuk suhu melebihi \(10^\circ C\).

Jadi, hanya gunakan anggaran untuk dapatkan gambaran julat suhu. Untuk tujuan memasak, pertukangan, atau apa-apa yang lebih sensitif pada perubahan suhu, boleh gunakan anggaran yang lebih tepat.

Tak Perlu Kalkulator

Sekarang dah tahu kan cara mudah nak tukar daripada unit Fahrenheit kepada Celsius? Semua kiraan boleh dilakukan secara mental menggunakan sifir dua, sepuluh, dan teknik membundar je. Dah tak perlu capai kalkulator, telefon, atau membuat carian Google hanya untuk menukar unit suhu.

Atau Gunakan Kalkulator Ini

Penukaran Unit Celsius - Fahrenheit

Masukkan salah satu nilai Fahrenheit atau Celsius yang hendak ditukar:

Fahrenheit
Celsius



Post a Comment

To Top