Amazon Kindle 10th Gen: Fungsi, Kelebihan dan Kekurangan

Telefon pintar dan tablet sudah semestinya menjadi pilihan ramai pengguna untuk dijadikan sebagai peranti bacaan bahan pembacaan digital seperti e-buku. Selain daripada ciri utamanya yang membolehkan panggilan telefon dan pelayaran internet, ia juga bersifat mudah alih, dan boleh didapati pada harga yang mampu milik.

Tetapi, kelebihan itu datang dengan beberapa kekurangan yang membuatkan ianya kurang sesuai digunakan sebagai pengganti bagi bahan bacaan seperti buku, nota dan sebagainya. Antara kekurangannya ialah penggunaan kuasa yang tinggi dan kesilauan.

Bagi mengatasi masalah yang menjadikan ia kurang mesra pembaca, alat pembaca e-buku, contohnya Kindle 10th Gen dari Amazon; dihasilkan menggunakan teknologi e-ink yang menggunakan tenaga jauh lebih rendah berbanding teknologi LCD atau LED.

Kindle 10th Gen boleh dibeli pada harga serendah RM333, antara yang termurah penulis pernah jumpa di Shopee. Untuk setiap pembelian, kita akan diberikan sebuah kindle bersama dengan kabel pengecasan.

Reka Bentuk

Kindle 10th Gen meragakan paparan e-ink bersaiz 6 inci, agak kecil tetapi ia datang dengan beberapa kelebihan seperti mempunyai lampu hadapan, anti silau, dan penggunaan tenaga yang rendah.

Untuk pilihan warna pula, ada pilihan antara putih dan hitam. Kalau minat warna lain, boleh cari selongsong atau penutup yang sesuai dengan warna kegemaran masing-masing.

Anti Silau

Salah satu masalah pada tablet atau telefon pintar ialah kesilauan. Dengan paparan e-ink, pembacaan pada Kindle 10th Gen boleh dilakukan di bawah cahaya matahari atau lampu tanpa silau.

Lampu Hadapan

Kindle 10th Gen juga mempunyai lampu hadapan yang boleh digunakan ketika melakukan pembacaan di kawasan gelap. Tahap kecerahannya boleh dikawal secara manual untuk disesuaikan dengan tahap pencahayaan persekitaran.

Penggunaan Tenaga Rendah

Paparan e-ink pada Kindle 10th Gen juga menggunakaan tenaga yang rendah. Dengan teknologi e-ink, juga dikenali sebagai "bistable"; penggunaan tenaga hanya berlaku apabila sesuatu pada paparan berubah (cnth. menukar halaman).

Jadi, tak peliklah kalau alat seperti Kindle 10th Gen boleh bertahan selama dua minggu tanpa pengecasan semula. Namun, ini bergantung pada corak penggunaan, seperti tempoh bacaan setiap hari dan penggunaan lampu hadapan.

Sokongan Audible

Walaupun ianya sebuah pembaca e-buku, ia mempunyai sokongan buku audio dari Audible. Untuk mendengar buku audio, perlu gunakan peranti audio yang menggunakan sambungan bluetooth.

Experimental Browser

Bacaan pada Kindle 10th Gen tidak terhad hanya pada bahan bacaan seperti e-buku, ia juga boleh digunakan untuk melayari artikel di internet menggunakan "experimental browser" yang disediakan.

Send to Kindle

Dokumen, nota dan e-buku boleh dihantar ke Kindle 10th Gen tanpa menggunakan kabel dengan menggunakan perisian Send to Kindle yang boleh dimuat turun pada komputer atau telefon pintar.

Fail-fail tadi juga boleh dihantar melalui e-mail ke alamat kindle yang disediakan selepas pengaktifan produk, boleh semak alamat kindle ([email protected]) di bahagian "My Account" melalui menu tetapan Kindle.

Sokongan Fail

Antara format fail atau dokumen yang disokong peranti Kindle 10th Gen ialah .doc, .docx, .html, .htm, .rtf, .jpeg, .jpg, .mobi, .azw, .gif, .png, .bmp, dan .pdf. Untuk format .epub, boleh gunakan perisian "Calibre" untuk mengubah format .epub kepada .mobi sebelum dihantar ke peranti Kindle menggunakan "Send to Kindle" ataupun e-mail.

Tetapan Bacaan

Dokumen selain pdf mempunyai tetapan bacaan yang boleh diubah mengikut kesesuaian. Jarak antara baris, saiz dan jenis fon, dan saiz birai muka surat merupakan antara tetapan yang boleh diubah.

Kekurangan Kindle 10th Gen

Walaupun teknologi e-ink menjimatkan penggunaan tenaga, pelayaran dan penatalan pada Kindle 10th Gen adalah jauh lebih perlahan berbanding alat berpaparan LCD. Paparan bersaiz 6 inci juga kurang sesuai untuk sebahagian bahan bacaan berformat PDF.

Tulisan pula kurang tajam dan berpiksel disebabkan oleh resolusi (600x800px) dan piksel per incinya yang rendah (167ppi). Latar belakangnya juga tidak sepenuhnya putih, tetapi sedikit kekuningan atau kekelabuan.

Untuk peranti yang kalis air, bertulisan lebih tajam, latar belakang yang lebih putih, dengan resolusi (1448x1072px) dan piksel per inci yang lebih tinggi (300ppi) boleh pertimbangkan Kindle Paperwhite pada harga yang lebih tinggi.

Tuntasnya, Kindle 10th Gen merupakan peranti dari Amazon dengan ciri-cari asas cukup sekadar membolehkan pembacaan dilakukan. Walaupun ada kekurangan, ianya sesuatu yang penulis, dan mungkin juga pembaca lain yang tidak mempunyai masalah penglihatan yang serius; dapat sesuaikan selepas suatu tempoh penggunaan.

Post a Comment

To Top