Menilai Foodpanda, Grabfood, dan Lain-lain Sebagai Sebuah Servis Penghantaran Makanan

Servis penghantaran makanan bukanlah suatu yang baharu. Foodpanda contohnya, sebagai salah sebuah syarikat servis penghantaran makanan yang terkenal di Malaysia sudah beroperasi lebih dari 9 tahun.

Dengan adanya servis penghantaran makanan seperti Foodpanda, Grabfood, Delivereat, Bungkusit, Dego dsb, ribuan peluang pekerjaan telah disediakan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada mereka yang mempunyai kenderaan seperti motosikal.

Malah, ada yang beranggapan bahawa penghantar makanan sebagai sebuah kerjaya memberikan pulangan yang lebih lumayan berbanding kebanyakan pekerjaan lain yang hanya membayar gaji minima.

Apa yang dilakukan oleh penghantar makanan bagi memastikan pesanan kita sampai dengan selamat adalah sesuatu yang layak dipuji. Walaupun yang demikian, ini tidak bermakna servis penghantaran makanan itu sendiri bebas dari sebarang isu.

Antara isu berkaitan servis penghantaran makanan yang sudah beberapa kali diutarakan adalah berkenaan komisyen yang diletakkan syarikat pengendali servis tersebut.

BERAPA KOMISYEN YANG DIAMBIL SYARIKAT PENGHANTARAN MAKANAN?

Berapa bilangan komisyen yang diambil oleh setiap syarikat selalunya tidak didedahkan, tetapi menurut pemerhatian penulis rata-ratanya antara 25 ke 30% dari harga jualan.

Mungkin bukan satu masalah yang besar buat peniaga sebelum ni. Tetapi apabila lebih ramai mula bergantung kepada servis penghantaran, perkara ini menjadi satu masalah yang berpotensi untuk memberi kesan kepada keuntungan perniagaan.

Tidak dapat dinafikan, peniaga dan pengendali servis penghantaran mempunyai hubungan yang bersifat simbiotik, peniaga dapat meluaskan perniagaan, menambah bilangan pelanggan, dan pengendali servis penghantaran pula mendapat pengguna yang lebih ramai, dan secara langsung menyumbang kepada pendapatan syarikat.

Namun, kita masih tidak dapat lari daripada persoalan. Keadaan ini lebih menguntungkan siapa? Peniaga atau pengendali servis penghantaran seperti Foodpanda, Grabfood, dsb?

Photo by Cristiano Pinto on Unsplash

Bermodalkan RM1, berapakah harga terendah yang boleh dijual untuk mendapatkan keuntungan kasar melebihi komisyen yang diberikan kepada pengendali-pengendali servis penghantaran makanan tadi jika mereka meletakkan 30% daripada jualan sebagai komisyen?

Jawapannya ialah RM2.50, jadi 75 sen akan diberikan kepada pengendali servis penghantaran sebagai komisyen, manakala 75 sen lagi merupakan keuntungan peniaga. Bayangkan untuk makanan dengan modal yang lebih tinggi.

Senario 1: Keuntungan Sama atau Melebihi Komisyen Dibayar

Kiraannya mudah saja. Kita tahu bahawa keuntungan peniaga (\(P_{sel}\)) adalah selepas ditolak modal (\(C\)) dan komisyen (\(K\)) daripada harga jualan (\(R\)), dan keuntungan pengendali servis (\(P_{ser}\)) pula adalah komisyen dari harga jualan.

Maka, untuk seorang peniaga mendapatkan keuntungan sama atau melebihi pengendali servis penghantaran, menurut kiraan berikut

kita perlu menjual dengan harga sekurang-kurangnya \(\frac{1}{1-2K}\) kali ganda daripada harga modal. Contohnya, jika komisyen yang dikenakan adalah sebanyak 30%, kita perlu menjual sekurang-kurangnya 2.5 kali ganda dari harga modal.

Senario 2: Mengekalkan Margin Keuntungan

Bagi memastikan margin keuntungan, \(\lambda\) kita tidak berkurangan, kiraan di bawah menunjukkan bahawa kita perlu letakkan harga sekurang-kurangnya \(\frac{1}{1-K}\) kali ganda daripada harga jualan asal, ataupun \(\frac{\lambda+1}{1-K}\) kali ganda daripada harga modal.

Contohnya, jika kita menjual pada harga RM1.50 dengan keuntungan 50 sen (\(\lambda=0.5\)), dan pengendali perkhidmatan penghantaran makanan mengambil komisyen sebanyak 30% (\(K=0.3\)), untuk mengekalkan keuntungan 50 sen tadi walaupun selepas membayar komisyen kita perlu menjual pada harga RM2.15.

Margin Keuntungan yang Perlu Dikekalkan Untuk Senario 1

Kemudian, kalau kita hendak kekalkan margin keuntungan, dan dalam masa yang sama mahukan keuntungan melebihi komisyen yang diberikan, merujuk pada kiraan di bawah kita perlu meletakkan margin keuntungan melebihi \(\frac{K}{1-2K}\)

Contohnya, jika komisyen adalah sebanyak 30%, margin keuntungan yang perlu dikekalkan adalah sekurang-kurangnya 75%. Jika 25% pula, margin keuntungan yang perlu dikekalkan adalah sekurang-kurangnya 50%.

Perkara ini sudah tentu menambah beban kepada peniaga. Kalau tidak dinaikkan harga, keuntungan akan berkurangan. Kalau dinaikkan harga pula, pengguna akan beralih ke pilihan lain yang lebih murah.

Untuk bersaing dengan peniaga mapan yang mempunyai lebih ramai pengikut dan pelanggan setia, peniaga kecil atau sambilan terpaksa berniaga dengan margin keuntungan yang lebih rendah.

Dan bagi kita pula sebagai pengguna, sudah tentu juga turut sama terkesan dengan kenaikan harga makanan pada aplikasi servis penghantaran makanan. Burger Ramly yang kebiasaannya RM3, perlu dijual pada harga RM4.30 untuk mengekalkan keuntungan. Nak salahkan pengendali servis secara total pun tak ada guna — willing buyer willing seller.

UNTUK PENIAGA

Photo by Gor Davtyan on Unsplash

Apa yang kita boleh lakukan sebagai peniaga, cuba untuk menyediakan kemudahan bawa pulang dan penghantaran secara sendiri disamping menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan daripada luar.

Kembali kepada contoh tadi, 75 sen akan diberikan kepada pengendali servis sebagai komisyen. Jika dalam satu hari terjual sebanyak 50 bungkus secara penghantaran, ini bermakna dalam sebulan sebanyak RM1125 akan diberikan kepada pengendali servis. Jumlah itu sudah hampir kepada gaji minima RM1200 yang ditetapkan kerajaan untuk tahun 2021.

Bagi penulis, peniaga boleh gunakaan laman sosial seperti facebook dan instagram, dan perkhidmatan penghantaran Foodpanda, Grabfood, dsb sebagai langkah awal mendedahkan perniagaan kepada umum.

Setelah mendapat pendedahan yang cukup, bilangan pelanggan pun semakin ramai, ada baiknya mula mengupah seorang penghantar makanan walaupun masih menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.

Kalau masih belum yakin untuk mengupah seorang penghantar, boleh gunakan perkhidmatan penghantaran berkomisyen sifar, contohnya Lalamove; yang hanya meletakkan caj mengikut berat barang, jenis kenderaan, jarak penghantaran, dan bilangan destinasi tambahan.

Kalau penghantaran dilakukan mengikut slot masa tertentu, peniaga sendiri boleh hantar makanan tanpa perlu mengupah orang lain. Servis penghantaran pula digunakan untuk pesanan yang memerlukan penghantaran segera.

Ikut kreativiti masing-masing sebagai peniaga, kiraan penulis mungkin agak kasar, tetapi sedikit sebanyak dapat memberikan idea dalam membuat perancangan yang lebih teliti. Semua ini boleh dilakukan bagi memastikan keuntungan dan kepuasan pelanggan pada tahap yang optimum.

UNTUK PENGGUNA

Photo by Dan Burton on Unsplash

Sebagai pengguna pula, perlu difahamkan bahawa perkhidmatan penghantaran makanan pada asalnya adalah sebuah keistimewaan melebihi kemudahan, bukannya keperluan. Jadi, kita sebagai pengguna seharusnya menjadikan Foodpanda, Grabfood, dsb sebagai alternatif terakhir.

Dalam situasi ia menjadi keperluan, pastikan sama ada peniaga menyediakan perkhidmatan penghantaran mereka sendiri. Biasakan membuat perbandingan kos untuk mendapatkan perkhidmatan yang termurah — tak perlu setia hanya pada satu servis penghantaran.

Bagi penulis, dengan menggunakan servis penghantaran Foodpanda, Grabfood, dsb, kita bukan sahaja membayar untuk servis penghantaran, tetapi untuk kemudahan pembayaran dan platform yang disediakan kepada peniaga juga.

Sebagai tugasan, penulis cadangkan untuk membuat perbandingan kos antara perkhidmatan servis penghantaran makanan. Lihat perbezaan kos antara perkhidmatan yang meletakkan komisyen terhadap makanan, dengan perkhidmatan yang tidak meletakkan komisyen.

Dari tugasan tersebut, boleh simpulkan sendiri sama ada Foodpanda, Grabfood, dan sebagainya masih boleh dikira sebagai satu servis penghantaran, ataupun sebuah platform e-dagang dengan servis penghantaran tersendiri.

4 Comments

To Top