Restoran Ehsan's: Nasi Pulao dengan Butter Chicken Masala, dan Beriani Ayam Panggang di Restoran Ehsan's.

Selain daripada restoran mamak atau masakan India, siapa sangka kita juga boleh dapatkan roti naan di restoran masakan Pakistan seperti restoran Ehsan's. Sehingga hari ni, restoran Ehsan's ada empat buah cawangan di Bukit Jelutong, Shah Alam, Puncak Alam, dan Setia Alam.

Siapa masih ingat tentang sebuah restoran di Seksyen 14, Shah Alam yang pernah tular disebabkan roti naan kejunya yang bertali apabila ditarik dan dimakan panas-panas? Restoran Ehsan's lah tu.

Tak dapat dinafikan roti naan keju merupakan menu yang popular di restoran Ehsan, tetapi kunjungan penulis ke restoran Ehsan's kali ni bukanlah untuk mencuba menu tersebut.

Selain daripada naan keju dan ayam tandoori, ada juga makanan lain seperti nasi beriani dan pulao. Penulis juga agak tertarik dengan menu "butter chicken masala", jadi itulah yang penulis nak cuba kali ni.

Bagi penulis, harga makanan di restoran Ehsan's, walaupun lebih mahal berbanding di kedai mamak; masih munasabah. Ini pendapat penulis selepas daripada mengambil kira keadaan restoran dan kualiti makanan yang disediakan.

Cuma bagi penulis, harga minuman agak mahal. Memikir juga nak minum air apa. Teh Ais RM3.40? Kalau macam ni selalunya penulis akan pesan ais kosong je. Syukur ada kawan belanja air oren satu jag (RM38), semoga murah rezeki dia.

Sebelum penulis kongsikan tentang nasi briyani dan pulao, jom tengok dulu "butter chicken masala" (RM10.50). Walaupun warnanya oren terang, rasanya tak pedas. Kuahnya juga agak pekat, tetapi rasanya tak terlalu berlemak sehingga memuakkan.

Ayam yang digunakan juga lembut, tidak terlalu kering walaupun menggunakan bahagian isi. "Butter chicken masala" ataupun masala ayam mentega boleh dimakan dengan roti ataupun nasi.

Penulis pilih untuk makan "butter chicken masala" dengan nasi pulao (RM7.50). Nasi pulao juga dikenali sebagai pilaf, pilao, dan pulav. Perbezaan antara nasi pulao dan briyani adalah pada teknik masakan.

Nasi pulao disediakan dengan acar, kuah, papadum, dan bawang goreng. Bagi penulis, rasanya lebih kurang macam nasi minyak. Dari jauh pun nampak macam nasi minyak

Nasi beriani (RM7.50) nampak lebih menarik berbanding nasi pulao. Di sini, nasi beriani boleh dimakan dengan ayam panggang (RM14) atau "lamb" (RM18.50). Nasi beriani juga disediakan dengan acar dan kuah seperti nasi pulao.

Antara nasi pulao dan nasi beriani, penulis lebih sukakan nasi beriani. Perapan ayam panggangnya pun sedap juga, sampai ada yang kata rasanya persis ayam Kenny Rogers.

Keadaan restoran dan tandas bersih, ada cawangan yang menyediakan surau, ada juga cawangan yang mempunyai penyaman udara. Walaupun harganya lebih mahal dari kebiasaan, penulis tetap berpuas hati.

Datang lagi selepas ni, penulis akan pesan nasi beriani dengan ayam panggang. Mungkin juga penulis akan pesan roti naan keju "special" nanti, nak tengok berapa panjang boleh tarik kejunya tu.

Post a Comment

To Top