Isu Keselamatan WhatsApp: Penyerang Boleh Menyekat Akaun Pemilik Berbekalkan Hanya Nombor Telefon

Dengan 2 bilion pengguna aktif, aplikasi WhatsApp sudah tentu tidak terkecuali daripada kontroversi berkaitan privasi dan keselamatan. Pada awal Januari 2021, WhatsApp terpalit dengan isu privasi apabila diketahui aplikasi tersebut menyalurkan data dan maklumat kepada laman sosial popular Facebook seawal 2016 lagi.


Terbaharu, WhatsApp mengejutkan pengguna dengan isu keselamatan yang membolehkan pengguna disekat daripada menggunakan akaun masing-masing. Lebih buruk, penyerang siber boleh mengeksploit kelemahan ini  hanya dengan menggunakan nombor telefon pemilik akaun.


Laporan dari Forbes menyatakan bahawa penyerang boleh melakukan percubaan log masuk ke akaun pemilik secara berulang sehingga percubaan seterusnya disekat oleh WhatsApp selama 12 jam. Penyerang kemudiannya akan membuat permintaan penyekatan akaun tersebut melalui e-mel yang dihantar kepada WhatsApp.


WhatsApp secara automatik akan menyekat dan menyahaktifkan akaun, dan pemilik perlu mendaftar semula nombor mereka untuk menggunakan WhatsApp. Tetapi, ini adalah mustahil sehinggalah sekatan 12 jam tadi tamat.


Photo by Zak Doffman from Forbes

Lebih teruk lagi, penyerang juga boleh melakukan taktik yang sama sebanyak tiga kali setiap 12 jam yang mana pada akhirnya WhatsApp, mungkin atas sebab keselamatan atau pepijat pada aplikasi; akan mula menyekat percubaan secara kekal.


Ini bermakna, jika penyerang membuat permintaan kepada WhatsApp untuk menyahaktifkan akaun selepas tiga kali serangan, pemilik tidak akan dapat mendaftarkan semula nombor walaupun selepas 12 jam. Pada peringkat ini, pemilik hanya boleh menghubungi WhatsApp dan berharap isu ini diselesaikan.


Lihat laporan penuh di Forbes untuk maklumat yang lebih terperinci. Diharap dengan penemuan ini, WhatsApp dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera. Isu keselamatan ini, jika tidak diselesaikan; boleh dieksploitasi dan memberi kesan yang mendalam kepada golongan berkepentingan khususnya pemilik perniagaan.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top