KFC Zero Chicken Burger dan Original Recipe Burger. Boleh ke Pengganti Ayam Menggantikan Ayam?

Dah kalau namanya KFC, kita mesti akan ke sana untuk makan ayam kan? Lagipun KFC tu kan "Kentucky Fried Chicken", dan chicken pula bermakna ayam. Tetapi baru-baru ni, KFC ada keluarkan satu menu baru yang bukan daripada ayam tetapi katanya macam ayam.


KFC dah mula berpaling arah ke menu vegeterian ke? Tak juga, sebab tak lama kemudian, KFC keluarkan pula satu lagi menu baharu berasaskan ayam. Kedua-dua menu tersebut ialah KFC Zero Chicken Burger dan Original Recipe Burger


Agak-agaknya mana satu pilihan di hati? Burger ayam tanpa ayam, ataupun burger ayam dengan ayam? Yang diperbuat daripada ayam sudah tentu rasa ayam, yang diperbuat dari pengganti ayam pula rasa apa? Katanya rasa burger Zero Chicken ni sama seperti ayam walaupun bukan ayam, boleh percaya ke?


KFC Zero Chicken Burger

Burger Zero Chicken daripada KFC merupakan hasil kolaborasi antara KFC dan Quorn, sebuah jenama produk pengganti daging yang berasal dari UK. Semua pengganti daging yang dihasilkan oleh Quorn mempunyai mycoprotein yang dihasilkan dari fungus jenis Fusarium venenatum yang tinggi dengan kandungan protein.


Walaupun menu ini menggunakan pengganti ayam, produk ini bukanlah vegetarian ataupun vegan kerana patti yang digunakan oleh burger ni digoreng atau dimasak menggunakan dapur dan minyak yang juga digunakan untuk menu-menu lain yang berasaskan ayam.


Untuk burger Zero Chicken, harganya ialah RM12.99 ala carte. Burger ini menggunakan mayonis dan sos barbeku sebagai perasa. Patti ayam (atau bukan ayam) agak tebal, tetapi bentuknya lebih lonjong berbanding patti ayam yang biasa. Burger ini disediakan tanpa keju.


Rasanya hampir-hampir seperti ayam, tetapi teksturnya lebih homogen. Apabila sejuk teksturnya seakan-akan sukun goreng. Berbanding ayam, patti ni lebih mengenyangkan, mungkin kerana kandungan serat yang lebih tinggi.


KFC Original Recipe Burger

Burger Original Recipe pula berharga RM10.49 ala carte, lebih murah berbanding burger Zero Chicken. Burger ni serupa je dengan burger Zinger, cuma patti ayamnya digantikan dengan patti ayam original berbanding spicy atau crispy.


Dari segi rasa, tak jauh berbeza berbanding Zinger. Saiz pattinya pula nampak sedikit lebih kecil berbanding zinger mungkin kerana perbezaan pada jenis tepung sadur yang digunakan. Kalau suka burger Zinger, mungkin juga akan suka burger Original Recipe ni.


Zero Chicken Burger atau Original Recipe Burger?

Kedua-dua burger tadi menggunakan "11 herbs and spices" kebanggaan KFC, mempunyai mayonis yang sedap, dan juga lettuce yang rangup. Namun, penulis, sebagai salah seorang peminat Zinger; lebih sukakan burger Original Recipe.


Walaupun patti burger Zero Chicken mempunyai rasa yang hampir serupa dengan ayam, bagi penulis pengganti ayam yang digunakan lebih sesuai dijadikan nuget. Selain itu, disebabkan kandungan lemak yang jauh lebih rendah, ia juga mempunyai tekstur yang lebih kering.


Bagi mereka yang cuba untuk kurangkan pengambilan kalori tetapi teringin nak makan burger ayam, boleh cuba makan burger Zero Chicken. Kalau nak kurangkan lagi kalori, boleh makan tanpa mayo dan sos barbeku sebab kedua-dua perasa ni merupakan kalori tersembunyi.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

Post a Comment

To Top