Cara Mendaftar Domain Khas untuk Blogger Menggunakan Perkhidmatan Namecheap.

Sebagai pengguna blogger, kita mesti dah biasa dengan pautan URL yang diakhiri dengan blogspot.com. Contoh mudahnya ialah https://hari3aku.blogspot.com. Sebagai permulaan, mari kita kenal apa yang dipanggil sebagai domain peringkat atas, domain, dan subdomain.


Merujuk kepada contoh tadi, iaitu https://hari3aku.blogspot.com; com ialah domain peringkat atas, blogspot pula ialah domain, dan hari3aku pula ialah subdomain. Setiap pengguna blogger diberikan subdomain pilihan masing-masing secara percuma.


Tidak ada salahnya penggunaan subdomain pada blogspot. Walaupun demikian, atas sebab-sebab tertentu; seperti tujuan branding dan profesionalisme; mungkin ada di antara kita yang memerlukan domain kita sendiri, contohnya seperti yang digunakan pada https://www.hari3aku.com.


Kalau korang adalah antara pengguna Blogger yang memerlukan domain sendiri, boleh teruskan membaca sebab penulis akan kongsikan langkah-langkah yang penulis ambil untuk dapatkan domain penulis sendiri.


Mencari Perkhidmatan Pendaftaran Domain

Sebelum menggunakan domain sendiri, kita perlulah membeli domain tersebut daripada pendaftar domain (domain registrar). Antara pendaftar domain yang penulis syorkan ialah Namecheap, GoDaddy, Bluehost, Domain.com, dan Google Domains.


Setiap pendaftar domain mempunyai servis dan tawaran harga yang tersendiri, pastikan kita tinjau setiap pendaftar domain sebelum membuat keputusan. Untuk penulis, penulis menggunakan perkhidmatan Namecheap.


Semak Ketersediaan Domain

Sebelum kita membeli dan mendaftar domain, kita perlu membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan domain yang kita hendak beli masih belum didaftarkan. Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang pendaftar domain.


Kalau domain yang kita beli telah pun didaftarkan oleh orang lain, kita perlu menggunakan domain yang lain, ataupun kita boleh pilih untuk menggunakan domain peringkat atas yang lain, contohnya '.net' atau '.me'. 


Disebabkan penulis menggunakan Namecheap, jadi penulis akan kongsikan cara untuk mendaftar domain menggunakan Namecheap. Asas tetapan untuk pendaftar domain lain adalah hampir sama. Boleh juga rujuk artikel berbahasa Inggeris dari Namecheap berkenaan cara pengaktifan domain untuk Blogger. Kalau perlukan rujukan berbahasa Melayu, teruskan membaca.


Membeli Domain dari Namecheap

Dengan Namecheap, sama juga seperti pendaftar domain lain; membeli domain adalah semudah ABC. Semak domain, pilih dari senarai domain yang ada, masukkan ke 'cart' sama macam kita membeli belah secara online.


Pada bahagian 'cart', pastikan privasi domain (Domain Privacy) dibolehkan, perkhidmatan ini diberikan secara percuma oleh Namecheap. Boleh semak semula domain dan harga, kalau dah puas hati bolehlah teruskan dengan pembayaran.


Sebelum melakukan pembayaran, pastikan kita isi semua maklumat dengan betul. Setiap maklumat yang kita isi sebagai pemilik domain akan direkodkan ke dalam direktori Whois untuk diakses secara umum. Ertinya, setiap maklumat pemilik domain boleh diakses dan disemak melalui direktori Whois, ini termasuklah alamat surat menyurat, no telefon, dan alamat emel.


Tetapi jangan risau, sekiranya kita membolehkan 'privasi domain' sewaktu membeli domain, maklumat kita pada direktori Whois akan digantikan dengan maklumat pendaftar domain. Jadi, maklumat peribadi kita tidak akan diperlihatkan kepada orang awam. 


Perekodan maklumat pemilik domain ini bertujuan untuk mengelakkan salah guna, jadi perlu diingatkan bahawa maklumat peribadi kita masih boleh diperolehi dari pendaftar domain atas sebab tindakan undang-undang.


Dapatkan CNAME dari Blogger

Selepas selesai pembelian domain, kita boleh mulakan penetapan domain khas untuk Blogger. Pertama sekali, apa yang kita perlukan ialah dua maklumat CNAME dari Blogger. Untuk dapatkan maklumat CNAME kita perlu ke bahagian tetapan atau 'settings'.


Pada tetapan, cari bahagian "Menerbit" (Publishing). Tekan "Domain Khas" (Custom Domain) di bawah bahagian "Menerbit", kemudian masukkan domain yang kita beli tadi. Sewaktu melakukan simpanan (save), kita akan melihat mesej ralat yang memberikan kita maklumat kedua-dua CNAME yang diperlukan.


Boleh lihat contoh mesej ralat di bawah:

We have not been able to verify your authority to this domain. On your domain registrar's website, locate your Domain Name System (DNS) settings and enter the following two CNAMEs: (Name: www, Destination: ghs.google.com) and (Name: ####, Destination: @@@@). See https://support.google.com/blogger/answer/1233387 for detailed instructions.


Penetapan A Record dan CNAME Record pada Namecheap

Dari dashboard Namecheap, pergi ke bahagian "Domain List". Di bahagian "Domain List", kita akan nampak alamat domain yang kita dah beli tadi. Klik "Manage" di sebelah kanan, kemudian pilih opsyen "Advanced DNS". Cari bahagian "Host Record", kita perlu masukkan enam rekod, empat rekod A dan dua rekod CNAME seperti berikut:


  1. Untuk keempat-empat rekod A, masukkan input hos "@", dengan nilai 216.239.32.21, 216.239.34.21, 216.239.36.21, dan 216.239.38.21 untuk setiap satu rekod berasingan.
  2. Untuk rekod CNAME yang pertama, masukkan input hos "www" dengan nilai  "ghs.google.com". Untuk rekod CNAME yang kedua pula, lihat semula mesej ralat tadi. Merujuk kepada "Name: ####, Destination: @@@@", masukkan input hos "####" dengan nilai "@@@@".


Untuk TTL pula, boleh pilih "Automatic" untuk kesemua rekod tadi. Selepas keenam-enam rekod telah diisi, boleh lakukan simpanan dengan menekan tanda rait di sebelah kanan.


Penetapan Domain Khas pada Blogger

Setelah selesai kesemua langkah-langkah tadi, boleh pergi semula ke bahagian tetapan Blogger. Di bawah "Menerbit", tekan "Domain Khas" kemudian masukkan domain yang dipilih tadi dan simpan. Andai semua langkah-langkah tadi dilakukan dengan betul, mesej ralat tidak akan keluar. Kalau semuanya dah betul, tetapi mesej ralat masih keluar, berikan sedikit masa sebelum mencuba semula.


Setelah melakukan simpanan, kita boleh cuba gunakan domain khas tadi untuk masuk ke laman blog. Domain yang baru dibeli perlukan sedikit masa sebelum ianya aktif, jadi kalau domain khas kita tadi menunjukkan ralat, uji semula selepas setengah jam.


Selepas domain khas telah ditetapkan, setiap pautan URL yg menggunakan subdomain akan dibawa ke domain khas yang kita tetapkan. Contohnya, kalau kita gunakan URL https://hari3aku.blogspot.com, ia akan dibawa ke https://www.hari3aku.com secara automatik.


Penetapan HTTPS

Selepas kita dah pastikan yang domain kita tadi berfungsi dengan baik, kita perlu lakukan tetapan HTTPS. Sebagai pengguna Blogger, kita diberikan sijil SSL secara percuma, ini bermakna kita boleh gunakan protokol "https://" tanpa perlu keluarkan satu sen pun.


Protokol "https://" adalah lebih selamat digunakan berbanding "http://". Perkataan "http" merupakan singkatan bagi "Hypertext Transfer Protocol", ataupun dalam bahasa melayunya Protokol Pemindahan Hiperteks. "s" pada "https" pula merupakan singkatan bagi "Secure" yang bermakna selamat.


Walaupun penggunaan "https://" tidak begitu penting untuk sebuah blog yang tidak melibatkan pendaftaran maklumat sensitif seperti kata laluan dan maklumat perbankan, penggunaan "https://" ada kelebihannya. Antara kelebihannya ialah enjin carian seperti Google dan Bing lebih cenderung untuk mengindeks domain yang menggunakan protokol "https://",  secara tidak langsung dapat menghasilkan trafik organik yang lebih tinggi.


Untuk membolehkan "https", pergi ke tetapan Blogger dan cari bahagian "HTTPS". Bolehkan "Ketersediaan HTTPS" (HTTPS Availability), tetapi biarkan "Pengubahhalaan HTTPS" dalam keadaan asal. 


Sedikit masa diperlukan sebelum status "Ketersediaan HTTPS" menjadi "Tersedia" (Available), boleh semak setiap 30 minit atau sejam. Setelah status "Ketersediaan HTTPS" kita bertukar kepada "Tersedia", barulah kita bolehkan "Pengubahhalaan HTTPS".


Penetapan pada Google Search Console

Bagi membolehkan domain baharu kita diindeks oleh Google. Kita perlu tambahkan properti baharu di Google Search Console menggunakan domain yang dipilih tadi.


Tahniah

Setelah semua perkara di atas selesai, kita dah boleh guna dan kongsikan laman blog kita menggunakan domain khas yang baru. Semoga dengan pencapaian ini, kita akan lebih bersemangat untuk menulis dan berkongsi lebih banyak perkara. Mulai hari ini orang akan lihat Hari3Aku sebagai Hari3Aku, bukan lagi Blogspot.


Sebarang pertanyaan atau perkongsian boleh komen di bawah.

16x16-instagram azizinet00 | facebook hari3aku

2 Comments

To Top