Perintah Kawalan Pergerakan Sebagai Langkah Pencegahan Penularan Covid-19, Just Stay at Home

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan satu perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 sebagai langkah pencegahan kepada penularan Covid-19.

Sumber: thestar
Serius sangat ke Covid-19 sampaikan kerajaan perlu membuat keputusan tersebut? Walaupun ada doktor dan pengamal perubatan yang berpendapat bahawa Covid-19 tidaklah seserius penyakit lain seperti denggi dan HIV, pendapat tersebut hanyalah berdasarkan kepada kadar kematian dan kadar kejadian yang lebih rendah.

01 Masih Terlalu Awal. Sebenarnya, masih terlalu awal untuk bercerita tentang kadar kematian Covid-19 kerana masih ramai pesakit yang sedang dirawat dan ramai juga mereka yang mungkin telah dijangkiti tetapi masih belum menunjukkan sebarang gejala.

02 Mudah Berjangkit. Kadar kematian atau 'mortality rate' bukan satu-satunya masalah yang ada pada Covid-19, masalah yang lebih membimbangkan berkenaan Covid-19 adalah pada bagaimana mudahnya penyakit tersebut menjangkiti orang lain.

03 Boleh Berjangkit dalam Tempoh Inkubasi. Tempoh inkubasi ialah jarak masa antara waktu pertama kali seseorang itu terdedah pada satu-satu penyakit dengan waktu orang tersebut mula menunjukkan gejala atau simptom. Untuk Covid-19, tempoh inkubasinya dipercayai selama 2-14 hari. Dalam tempoh inkubasi tersebut di mana pesakit masih belum menunjukkan sebarang gejala atau simptom, Covid-19 sudah mula menjangkiti orang lain. Penularan yang boleh berlaku dalam tempoh inkubasi inilah yang menjadikan Covid-19 sukar dibendung.

Hal ini dapat dilihat melalui perubahan bilangan pesakit baharu dari seminggu ke seminggu di negara lain yang telah dijangkiti Covid-19 seperti Cina dan Itali. Jumlah kumulatif pesakit yang meningkat secara eksponen itu amat membimbangkan sehinggakan kedua-dua negara tersebut mengambil langkah yang drastik melalui perintah berkurung.

Terkini, Cina merekodkan kes baharu kurang daripada 100 orang, dengan lebih 70,000 orang telah sembuh sepenuhnya dari jumlah 80,000 lebih kes.

Sejak daripada perintah kawalan pergerakan, kita dapat lihat 'social distancing' dan 'flattening the curve' menjadi dua topik yang hangat dibincangkan. Apa sebenarnya dua perkara tersebut?

04 Social Distancing. Social distancing, ataupun penjarakkan sosial adalah satu keadaan di mana kita menjarakkan diri kita daripada orang lain sekurang-kurangnya 1 meter. Ini akan mengurangkan kebarangkalian untuk dijangkiti Covid-19 melalui sentuhan atau cecair pernafasan.

05 Flattening the Curve. Ia merujuk kepada satu usaha perataan lengkungan pada graf bilangan jumlah harian pesakit. Dengan perataan ini, jumlah pesakit untuk satu-satu hari dapat dikurangkan dan jangkitan wabak dapat dilambatkan. Hal ini penting untuk mengelakkan jumlah harian kes daripada melebihi jumlah kakitangan perubatan yang dapat berfungsi.

06 Ketiadaan Penawar dan Vaksin. Untuk meratakan lengkungan, ataupun bahasa lainnya mengurangkan dan melambatkan jangkitan virus SARS-CoV-2 punca kepada Covid-19, kita berbalik kepada konsep penjarakkan sosial. Dalam keadaan ketiadaan penawar atau vaksin yang khusus untuk penyakit ini, penjarakkan sosial merupakan kaedah yang paling berkesan.

Walaupun demikian, usaha tersebut amat sukar dilakukan tanpa campur tangan pihak berautoriti. Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan juga Akta Polis 1967.

06 Perintah Kawalan Pergerakan. Ringkasnya, perintah ini dikeluarkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti yang menggalakkan persentuhan dan perkumpulan orang ramai. Oleh itu, melainkan ianya suatu yang penting, mustahak dan diperlukan, sila duduk diam-diam di rumah, just stay at home. Perjalanan keluar masuk negara juga disekat dan dikawal bagi mengelakkan transmisi virus antara negara.

07 Bukan Perintah Berkurung. Perintah Kawalan Pergerakan tidak sama seperti Perintah Berkurung. Pasaraya masih dibuka, restoran juga masih dibenarkan buka untuk pesanan bawa pulang ataupun penghantaran, bank dan jalan raya juga tidak ditutup. Tidak perlu panik, dan bekalan makanan juga masih mencukupi. Namun, amatlah digalakkan supaya hanya seorang sahaja yang keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan.

08 Bukan juga Perintah Makan Angin. Walaupun bukan perintah berkurung, ia juga bukan perintah untuk makan angin, jadi jangan ambil kesempatan ini untuk bersiar-siar atau bawa keluarga pulang ke kampung. Ingat, ini perintah kawalan pergerakan, pergerakan haruslah dihadkan. Kita tidak mahu peristiwa di Lombardy, Itali berulang di Malaysia.

09 Amalkan Langkah Pencegahan. Kerapkan membasuh tangan dengan air dan sabun sebaiknya selama 20 saat, ataupun gunakan hand sanitiser sebagai alternatif apabila melakukan sebarang urusan di luar. Elakkan juga tabiat suka menyentuh muka dan apa-apa yang berkaitan sepanjang berada di luar.

Walaupun penggunaan topeng pembedahan lebih disarankan kepada mereka yang bergejala, penulis berpendapat adalah lebih baik untuk kita memakai topeng tersebut jika berkesempatan walaupun tidak bergejala apabila keluar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Ingat, Covid-19 boleh berjangkit dalam tempoh inkubasi dari pesakit yang belum menunjukkan gejala dan tidak menggunakan topeng muka.

Pada waktu artikel ini ditulis, Malaysia sudah merekodkan kes yang ke 900 dengan 110 kes baharu, yang mana 63 daripada mereka berkait dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Sudah ada lima negara dengan kes Covid-19 melebihi 10,000 iaitu Cina, Itali, Iran, Sepanyol dan Jerman. Diharapkan semua rakyat Malaysia dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang 2 minggu ini supaya nasib yang sama tidak menimpa negara kita. 

Untuk maklumat lanjut berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan dan juga Covid-19 boleh layari laman facebook MKN, JPN dan KKM. Lihat juga Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bacaan tambahan:

Post a Comment

To Top