Milani Ayam dan Kambing Bersama Briyani di Restoran Kapitan

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan kepada 4 minggu berbanding 2 sebelum ini sehingga 14 April 2020. Memikirkan tentang semua nikmat yang telah ditarik dalam tempoh ini, kita sedar yang makanan merupakan antara nikmat terbesar yang ada di tanah Malaysia ini.

Dalam keadaan sekarang, mungkin ada antara korang yang dah mula mengidam dan cuba masak sendiri makanan kegemaran korang yang selama ni dapat dibeli di restoran. Tetapi, ada juga sesetengah makanan yang agak istimewa, menjadikan usaha untuk mendapatkan resipinya agak sukar.

Contohnya seperti sebuah makanan yang penulis cuba di Restoran Kapitan sewaktu ke Pulau Pinang sebelum ni. Chicken milani atau milani ayam, kalau dibuat pencarian di Google kita akan tahu yang ia hanya terjual di Restoran Kapitan, dan agak mustahil untuk dapatkan resipinya.

Milani Kambing atau Pasanda Gosht
Selain daripada milani ayam, ada juga milani kambing ataupun, seperti yang tertera pada resit; lebih dikenali sebagai pashanda gosht. Harga milani ayam bersama nasi briyani ialah RM12.50, manakala milani kambing bersama nasi briyani pula RM16.50. Nak makan dengan roti naan pun boleh.

Kali pertama penulis cuba, penulis terus jadikan makanan ni sebagai makanan kegemaran penulis di Restoran Kapitan. Rasa menu milani yang berlemak dan berkrim menjadikannya agak unik apabila disatukan bersama dengan nasi briyani yang selama ini dimakan dengan gulai seperti kari dan masak kurma. 

Dari segi rasa, ia seakan-akan buttermilk tetapi dengan profil rasa yang sedikit berbeza. Rasa lemak dari milani ayam sedikit ringan berbanding buttermilk. Milani kambing pula mempunyai rasa yang lebih kuat dan lebih masin, mungkin disebabkan oleh lemak daripada kambing yang digunakan.

Satu set milani datang dengan coleslaw, kuah dal, bawang dan sambal pudina yang selalunya dimakan dengan roti naan. Kalau korang tak suka makanan yang berlemak dan berkrim, nasi briyani claypot pada harga RM10.50 merupakan pilihan yang lebih sihat.

Salah satu benda yang penulis suka dengan nasi briyani di Restoran Kapitan ni, mereka sediakan bersama dengan kuah dhal dan juga krim masam (sour cream). Kalau korang tak pernah cuba, pergi cuba sekarang, penulis memang suka kombinasi nasi briyani dengan krim masam.

Pada pengetahuan penulis, Restoran Kapitan hanya ada di Pulau Pinang. Malangnya, kena tunggu waktu ke Pulau Pinang semula baru boleh merasa. Restoran Kapitan yang penulis pergi baru ni merupakan cawangan Perda.

Post a Comment

To Top