Ayam Gepuk Pak Gembus, Pedas ke?

Setelah lebih dari sebulan penulis berehat daripada mengemaskini blog, hari ini penulis nak mulakan dengan satu lagi perkongsian tentang makanan yang sedap; dan pedas. Kali ini penulis telah ke Seksyen 7, Shah Alam untuk mencuba satu lagi makanan yang pedas-pedas di gerai Ayam Gepuk Pak Gembus.

Gerai yang berasal dari Jogjakarta ini mula bertapak di Malaysia pada tahun 2018 dan ia telah direview ataupun diulas oleh youtuber-youtuber makanan seperti Aim kchup, Bella vocket, dan Izzat daripada isaac osman. 

Pada waktu penulis berada di gerai Ayam Gepuk Pak Gembus cawangan Shah Alam, pelanggan agak ramai, dan menunggu juga agak lama kerana penulis pergi pada waktu makan tengah hari. Pesanan dibuat pada pukul 1:37PM, pesanan diterima pada pukul 2:20PM. Selain di Shah Alam, Ayam Gepuk Pak Gembus juga mempunyai cawangan di Gombak, Selayang, Keramat dan TTDI. 

Walaupun ada banyak persamaan dengan ayam penyet, dihidangkan bersama tempe dan tauhu; perbezaan yang juga keistimewaannya terletak pada sambal yang digunakan, dan sambal juga diletakkan atau ditempelkan di atas ayam. Pelanggan boleh memilih tahap kepedasan yang sesuai, dan sudah semestinya penulis akan cuba sambal yang pedas iaitu pada tahap 10. Sambal dihasilkan handmade dan dilenyek segar setiap hari. Tahap kepedasan ditentukan oleh bilangan cili pada sambal.

Satu set ayam gepuk bersama dengan tempe dan tauhu berharga RM8.90. Ayam dipotong empat dan digoreng dengan baik, tidak kering dan sedikit lembap. Ia tidak datang bersama dengan sup, dan sudah semestinya bukan juga dengan gulai seperti kari. Walaupun demikian, sambal dan kicap yang disediakan mengelakkan hidangan ini daripada menjadi kering.

Secara keseluruhannya, penulis memang berpuas hati dengan kualiti makanan yang disediakan.  Sambal yang dihasilkan bersama bawang putih dan minyak gorengan ayam juga lebih sedap berbanding sambal ayam penyet yang penulis pernah makan. Untuk menu yang penulis pesan, walaupun ia membuatkan penulis berpeluh, kepedasannya masih tidak dapat menandingi kepedasan Maggi Pedas Giler 2X.

Ayam Gepuk Pak Gembus Cawangan Shah Alam
Rating: ⭐⭐⭐⭐☆

Post a Comment

To Top