Nampak Seakan-akan Berkulat? Ayam Goreng KFC Green Chili Crunch

KFC merupakan sebuah restoran ayam goreng yang sering dijadikan standard atau dasar dalam menentukan sama ada satu-satu ayam goreng itu sedap ataupun tidak. Setiap kali kita makan ayam goreng, baik yang dibeli di pasar malam ataupun di McDonald's, kita akan bandingkan dengan ayam goreng dari KFC.

Walaupun demikian, ia tidak menghalang KFC dari melakukan eksperimen atau menjadi kreatif dalam cubaan mereka menarik perhatian pelanggan-pelanggan mereka. Sebelum ini kita disajikan dengan pelbagai perisa ayam goreng seperti tomyam, kari hijau, salted egg, kicap, keju romano dan parmesan truffle.

Kali ini KFC datang lagi dengan satu menu baharu iaitu ayam goreng green chili crunch, dan seperti dengan menu-menu baharu yang pernah diperkenalkan dahulu, ia mendapat maklum balas yang pelbagai. Reaksi pelanggan yang paling jelas dapat dilihat adalah pada warna ayam gorengnya yang seakan-akan berkulat.

Sejak pertama kali mengetahui tentang menu baharu itu berapa minggu yang lepas, penulis kerap berteka-teki tentang rasa sebenar ayam goreng tersebut. Sudah berapa kali penulis mematahkan hasrat untuk mencuba, menukar fikiran penulis dan akhirnya memesan 'snacker box' yang lebih murah. Harganya yang lebih mahal dari pizza bersaiz regular dari Domino's dengan kod diskaun SMT8 membuatkan penulis berulang kali mempersoalkan keputusan yang penulis bakal buat.

Namun, setelah menerima gaji dari kerja sambilan, penulis lebih mudah untuk membuat keputusan, ada juga peluang untuk penulis mencuba sendiri ayam goreng tersebut. Pada harga RM14.99, penulis diberikan dua ketul ayam yang kehijauan, bersama dengan coleslaw, kentang putar dan air Pepsi black.

Pada pandangan penulis, ia bukanlah kelihatan seakan ayam yang berkulat seperti yang diberitahu ramai orang. Bagi penulis, ia lebih kelihatan seperti ketulan ayam yang ditumbuhi lumut kerana warna hijaunya yang lebih terang berbanding gelap.

Secara peribadi, rasanya seakan-akan tomyam, ia mempunyai rasa masam dari limau yang agak dominan. Rasanya juga lebih kepada rasa yang artificial atau tiruan, mungkin kerana perasanya telah diletakkan secara berlebihan. 

Jika penulis perlu ringkaskan, rasanya seperti keropok Twisties berperisa 'lime chili'. Walaupun perkataan 'green chili' digunakan, penulis tidak dapat rasa sebarang rasa cili atau kepedasan dari cili hijau.

Antara ayam goreng salted egg dan green chili crunch, penulis lebih sukakan salted egg.

Ayam Goreng KFC Green Chili Crunch
Rating: ⭐⭐⭐☆☆

Post a Comment

To Top