Nescafe Cold Brew Latte dan Nescafe Cold Brew Citrus, Sebuah Ulasan

Penggemar kopi seluruh Malaysia mesti dah tahu Nescafe ada keluarkan dua minuman baharu iaitu kopi susu Cold Brew Latte dan juga kopi kosong Cold Brew Citrus. Sejujurnya penulis bukan seorang penggemar kopi, tetapi ada sesuatu yang membuatkan penulis tertarik tentang produk terbaharu dari Nescafe ni, iaitu kopi citrus.

Seperti yang kita sedia maklum, Nescafe merupakan satu jenama dibawah syarikat Nestle. Syarikat yang sama juga memiliki jenama Maggi yang telah mengeluarkan Maggi Pedas Giler, sebuah produk yang menjadi kegilaan masyarakat Malaysia sebelum ini kerana ia dapat menandingi kepedasan Mi Samyang.

Sehingga 29 Julai 2019, dengan pembelian 1 tin Nescafe Kopi O ataupun Nescafe Cold Brew Latte di 7-eleven, kita boleh dapatkan 1 Nescafe Cold Brew Citrus pada harga hanya RM1. Promosi ini terhad untuk cawangan 7-eleven di semenanjung sahaja kecuali Langkawi. Atas sebab promosi ini, semalam penulis telah ke 7-eleven untuk mencari sendiri minuman berperisa citrus tersebut. 

Jumlah harga selepas promosi untuk Nescafe Cold Brew Latte dan Citrus di 7-eleven ialah RM4.90. Penulis tak pasti sama ada setiap 7-eleven menjual pada harga yang sama, tetapi yang penulis pasti harganya tetap mahal walaupun dengan promosi. Memandangkan buat masa ini penulis cuma jumpa kopi ni di 7-eleven, tak ada pilihan lain lah nampaknya.

Bila kita sebut sitrus, kita akan kaitkan dengan rasa masam seperti oren dan lemon yang merupakan antara contoh buah-buahan sitrus. Perkataan sitrus diambil dari perkataan asid sitrik yang terdapat pada buah-buahan sitrus yang memberikannya rasa masam. Walaupun demikian, tidak ada sedikit pun rasa masam sitrus pada Nescafe Cold Brew Citrus yang penulis cuba, hanya pahit seakan-akan kulit oren atau lemon. Kalau perasan, bahasa inggeris yang diggunakan bukannya 'citrusy', tetapi 'zesty' yang merujuk kepada kulit buah-buahan sitrus.

Berbanding variasi Citrus yang merupakan kopi kosong, Nescafe Cold Brew Latte pula lebih manis dan berlemak kerana ia merupakan kopi susu. Jadi kepada sesiapa yang lebih gemarkan kopi yang manis, penulis syorkan untuk cuba Latte. Bagi penulis, tidak ada apa-apa yang istimewa dengan Cold Brew Latte.

Maklumat Pemakanan, Latte (kiri) dan Citrus (kanan)
Walaubagaimanapun, bagi mereka yang peka dengan kandungan gula dan kalori, dan hanya inginkan kafein, mungkin lebih sesuai untuk mencuba Citrus. Jelas kerana ia hanyalah kopi kosong, manakala Latte pula mempunyai susu. Penulis tidak pasti sama ada perbezaan kandungan gula pada gambar di atas mencerminkan 100% 'natural sugar' seperti lactose yang ada pada susu ataupun 'added sugar'.

Sebagai seorang yang jarang-jarang sekali minum kopi, penulis tak dapat nak bezakan rasa kopi biasa dan kopi yang dibru sejuk. Walau bagaimanapun, bagi sesiapa yang hendak mencuba Cold Brew Citrus dan menjangkakan rasanya ada sedikit manis dan masam seperti oren ataupun lemon, harap tidak kecewa. Rasa Cold Brew Citrus merupakan rasa yang agak unik berbanding rasa yang ada pada kopi-kopi tin yang lain.

Nescafe Cold Brew Citrus
Rating: ⭐⭐⭐☆☆

Nescafe Cold Brew Latte
Rating: ⭐⭐⭐⭐☆

Post a Comment

To Top