Mungkin Antara Karnival Paling Menarik di Kuantan, Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Pahang 2019.

Dalam tempoh satu bulan, di Kuantan sudah ada 3 pesta atau karnival yang berlangsung. Antaranya ialah Pesta Orkid dan Flora di Taman Teruntum, Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Taman Tasik Bandar, dan yang terbaru Festival Makanan Thai di Stadium Darul Makmur.

Walaupun penulis belum ke Festival Makanan Thai tahun ini, penulis percaya bahawa Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang telah diadakan merupakan karnival yang paling menarik penulis pernah pergi.

Pertama sekali, lokasinya yang terletak berhampiran tasik menjadikan suasananya lebih dekat dengan alam semula jadi, sesuai dengan tema karnival tersebut. Ia mengingatkan penulis pada karnival yang diadakan di MAEPS Serdang. 

Walaupun karnival ini tidak sebesar karnival yang sama penulis kunjung 2 tahun lepas di MAEPS Serdang, ia tetap menarik kerana terdapat pelbagai jenis produk, aktiviti dan pameran, menjadikannya satu karnival yang sesuai untuk pengunjung dari pelbagai latar belakang. 

Antara buah-buahan yang boleh didapati sudah tentulah durian Musang King yang dijual dengan harga RM45 sekilo dan Durian D24 yang dijual dengan harga RM20 sekilo ataupun RM15 sepeket. Terdapat juga manggis, cempedak dan pelbagai buah-buahan lain.

Terdapat juga pameran yang menunjukkan alatan-alatan, mesin-mesin dan kaedah-kaedah yang digunakan untuk memproses hasil pertanian dan penternakan seperti kelapa dan madu kelulut. Sedikit sebanyak, ia dapat menambahkan lagi pengetahuan pengunjung berkenaan proses disebalik makanan yang diambil.

Bukan itu sahaja, produk-produk seperti serunding, sambal hitam dan daging salai juga boleh didapati di sini. Bagi penulis, penjenamaan produk-produk tersebut merupakan satu langkah yang baik untuk membina identiti dan memperkenalkan produk kepada umum sebelum pergi lebih jauh.

Tetapi, yang lebih menarik perhatian penulis ialah burung puyuh goreng. Dikatakan puyuh pedaging yang digoreng tersebut diternak di Felda Mayam, Bera. Malangnya, penulis tidak dapat merasa kerana terlalu ramai yang ingin mencuba sehinggakan pelanggan harus membuat tempahan. Lihatlah betapa gemuknya puyuh yang digoreng.

Selain itu, antara tarikan utama di karnival ini juga adalah pertandingan lembu sado. Bagi sesiapa yang pernah ke pameran MAHA (Malaysian Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show) ataupun karnival HPPNK (Hari Peladang, Penternak & Nelayan Kebangsaan), mesti dah biasa tengok lembu-lembu sado seperti yang ada di sini. Antara baka lembu sado yang ada ialah Belgian Blue, Limousine dan Charolais.

Itulah sedikit sebanyak yang ada di karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Pahang. Walaupun karnival telah berakhir, mungkin artikel ini dapat memberikan satu keinginan kepada pembaca untuk mengunjungi karnival ini pada tahun yang akan datang. 

Post a Comment

To Top