Sekitar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019)

Pada 3 Mac, penulis telah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 yang diadakan di PWTC. Jadi penulis hendak kongsikan sedikit sebanyak pengalaman penulis sepanjang waktu berada di Kuala Lumpur.

Baca juga:
Cara ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dengan LRT/MRT/KTM.

01 Di Terminal Bersepadu Selatan (0500)

Penulis tiba di TBS (Terminal Bersepadu Selatan) seawal jam 5 pagi. Kalau daripada jauh datang ke Kuala Lumpur dengan bas, semua ataupun sebahagian besar bas akan tiba di TBS, jadi perkara lain yang kena tau juga ialah tren LRT dan KTM yang paling awal tiba di stesen Bandar Tasik Selatan adalah pukul 6 pagi. Walaupun demikian, kita tak perlu risau sebab di TBS disediakan banyak tempat duduk, perkhidmatan WiFi dan juga ada kedai 24 jam seperti KK dan 7 Eleven.

02 Sekitar PWTC (0650)

Penulis sampai stesen LRT PWTC pada pukul 7 pagi, pesta buku bermula seawal 9 pagi (secara rasminya 10 pagi). Daripada stesen LRT PWTC ada jalan berbumbung yang menghubungkan stesen ke PWTC, Sunway Putra Mall dan juga laluan ke KTM Putra. 

Untuk mereka yang tidak mahu tiba awal di PWTC, mungkin boleh pilih untuk berhenti di Stesen Masjid Jamek atau Bandaraya terlebih dahulu. Mungkin boleh berjalan-jalan di sekitar kawasan stesen Plaza Rakyat atau Masjid Jamek sehingga ke stesen Bandaraya sebelum menyambung perjalanan dengan menaiki LRT ke Stesen PWTC.

Bagi mereka yang bercadang untuk ke PWTC awal, berhadapan dengan laluan keluar/masuk LRT PWTC ada satu medan selera yang diberi nama Medan Selera Putra Laut. Seingat penulis seawal 7 pagi lagi ada beberapa gerai yang sudah memulakan perniagaan. Walau bagaimanapun, penulis telah membuat keputusan untuk ke KFC yang jaraknya dalam 5 ke 10 minit perjalanan untuk bersarapan dan menggunakan WiFi di sana selama 2 jam sehingga pukul 9 lebih.

Penulis ke PWTC dengan melalui medan selera tadi yang terletak di sebelah Sungai Gombak. Boleh tanya pekerja atau pengunjung lain berkenaan jalan masuk ke PWTC dari medan selera, ataupun masuk sahaja ikut pintu hadapan. Medan selera tersebut mempunyai pilihan gerai yang banyak dan dipenuhi ramai orang seawal 9 pagi.

Disini penulis kongsikan hantaran facebook daripada page 'i Luv Quran' yang menunjukkan arah ke medan selera daripada PWTC. Pengunjung yang datang ke pesta buku boleh pilih untuk makan di sini ataupun di dalam PWTC, kerana di dalam PWTC juga terdapat jualan makanan dan minuman tetapi pada harga yang lebih mahal.

03 Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (0930)

Pesta Buku dimulakan dengan doa, nyanyian dan juga pelancaran komik Doraemon oleh Popular di pentas utama. Pengunjung boleh memuat turun jadual aktiviti sepanjang pesta buku diadakan dari pautan ini. Sewaktu di pesta buku, penulis agak bingung, jadi penulis hendak tekankan kepada pengunjung untuk cari dan lihat peta dewan, senarai pempamer dan juga lokasi setiap pempamer pada peta. Senarai pempamer boleh dimuat turun dari pautan ini. Peta dan lokasi pempamer pula boleh dimuat turun dari pautan ini.

Jumlah pengunjung juga semakin ramai apabila semakin tengah hari, dan kebanyakan pengunjung yang datang terdiri daripada pelajar sekolah. Penulis dapat lihat ramai pelajar sekolah yang datang untuk membeli buku-buku latihan dan buku cerita. 

Oleh yang demikian, pengunjung harus bersedia untuk mengharungi kesesakan apabila melalui di kawasan pempamer yang popular di kalangan pelajar-pelajar contohnya seperti PTS, Sasbadi dan Ana Muslim.

Terdapat banyak kategori buku yang ada di PBAKL, antaranya komik, novel, akademik dan juga agama. Senang cerita, akan ada buku untuk semua jenis pengunjung dari pelbagai latar belakang dan juga umur. Terdapat juga pempamer antarabangsa seperti Wiley dan Elsevier yang lebih fokus kepada pelajar pengajian tinggi, ahli akademik dan juga golongan professional.

Pesta buku ini juga untuk mereka yang lebih sukakan bahan bacaan yang membuka minda dan membincangkan isu-isu kritikal. Ada satu pempamer yang penulis agak suka iaitu Ilham Books di booth atau reruai bernombor 3286-3293. Penulis agak berminat dengan buku-buku yang dijual, antaranya yang membincangkan tentang perkauman, sejarah darurat tanah melayu, pemikiran, dan polemik-polemik berkenaan negara, agama, ideologi dan juga politik.

Antara lainnya yang turut menyediakan bahan bacaan ilmiah ialah MAPIM. Malangnya, penulis menghadapi kesukaran untuk memilih buku dari banyak-banyak buku yang ada, dan telah pulang dengan tangan kosong. Penulis akhirnya bercadang untuk tidak membeli sebarang buku untuk menghabiskan dahulu membaca buku yang sedia ada. Tujuan utama penulis ke PBAKL adalah untuk mengenali penerbit atau pencetak.

04 Singgah di Sunway Putra Mall (1300)

Sebelum pulang, penulis ambil sedikit masa untuk singgah di Sunway Putra Mall berseberangan sahaja dengan bangunan PWTC. Walaupun bukan untuk berbelanja, bolehlah rehat-rehatkan kaki kerana ada banyak tempat untuk duduk di mall tersebut. 

Sebelum ke stesen KTM Putra, penulis sempat membeli roti pretzel berperisa 'sour cream and onion' berharga RM4.50 daripada Auntie Anne's. Dalam perjalanan ke Stesen KTM Putra, akan nampak pemandangan seperti di atas. Hanya perlu ikut laluan yang berbumbung sehingga ke stesen.

05 Stesen KTM Putra (1323)

Penulis rasa amat penting untuk penulis ingatkan kepada semua pengguna KTM supaya meneliti jadual perjalanan tren KTM sebagai langkah persediaan. Jadual KTM boleh dimuat turun dari pautan ini. Penulis silap kerana penulis tidak mendapatkan jadual yang terbaru daripada laman web KTM. Ada penambah baikan pada landasan yang mengakibatkan pengurangan tren pada stesen Kuala Lumpur, Bank Negara, Putra, Sentul dan juga Segambut bagi laluan Tg. Malim-P. Klang-Tg.Malam sejak 1 Januari 2019.

Jadi penulis harus ke Sg Buloh dengan menaiki MRT. Ada dua pilihan, sama ada (1) ke KL Sentral dengan KTM kemudian ke Sg Buloh dengan MRT yang secara total menelan belanja sebanyak RM4.90 dengan TnG, ataupun (2) ke Stesen LRT Plaza Rakyat dari LRT PWTC kemudian melakukan pertukaran ke Stesen MRT Merdeka untuk ke Sungai Buloh yang secara total menelan belanja sebanyak RM4. Penulis pilih yang pertama kerana penulis dah tak larat nak berjalan jauh.

Sebenarnya perjalanan daripada KTM Putra ke KTM Sungai Buloh hanya menelan belanja sebanyak RM2.40, tetapi buat sementara waktu ini hanya ada 3 tren ke Sungai Buloh dari stesen Putra pada jam 5:54PM, 6:39PM dan juga 7:44PM. Bermakna penulis perlu menunggu selama 4 jam setengah untuk jimat sebanyak RM2.50, tak berbaloi kerana penulis kejar masa.

Aplikasi MyRailtime

Jadi, rancanglah perjalanan dengan baik. Selain daripada memuat turun jadual, boleh juga gunakan aplikasi android rasmi daripada KTMB, MyRailtime untuk mengetahui jadual perjalanan tren. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa aplikasi tersebut masih dalam pembinaan. 

1 Comments

  1. Easy to set up and use, the Mini 2 employs the commonly used open-source Cura printing software program. The Ultimaker S5's twin extruders, good print quality, large build quantity, and straightforward setup and operation make it worthy of our Editors' Choice as a professional-grade filament-based 3D printer. Barely greater than a decade in the past, 3D printers were hulking, costly machines reserved for manufacturing unit flooring and deep-pocketed companies, all however unknown exterior the small circles of pros who constructed and used them. But thanks largely to the RepRap open-source 3D printing motion, these wonderful gadgets have turn out to be inexpensive, viable instruments for designers, engineers, hobbyists, faculties, and consumers alike. Whether you need additive or conventional manufacturing services for rapid prototyping or low-volume sports bras for nursing moms production, we have your back.

    ReplyDelete
To Top