Review Sunglo Low Fat Greek Yogurt bersama Mangga dan Muesli
Hari ini penulis nak kongsikan tentang makanan yang lebih sihat sedikit berbanding kebiasaan. Selalunya penulis kongsi tentang fast food, western, mi segera, tetapi hari ni penulis nak kongsikan tentang Greek Yogurt perisa mangga daripada Sunglo.
Selain daripada mempunyai probiotik yang baik untuk usus dan penghadaman, yogurt juga mempunyai pelbagai khasiat lain seperti mempunyai protein dan calcium untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga kesihatan tulang.
Memandangkan jenama Sunglo bukan jenama yang sinonim dengan yogurt di Malaysia berbanding dengan jenama seperti Nestle, Dutch Lady, Marigold dan juga Farm Fresh, penulis pun rasa terpanggil untuk cuba. Kebetulan pula petang tadi penulis berada di Jaya Grocer, penulis beli dengan harga RM2.95.
Apa yang membuatkan penulis tertarik untuk cuba yogurt jenama Sunglo ni adalah kerana ia disediakan bersama dengan Muesli. Apakah itu muesli? Muesli ialah campuran oats bersama dengan bahan-bahan lain seperti gandum, kacang dan juga buah-buahan kering. Muesli yang disediakan bersama dengan yogurt Sunglo ini pula mempunyai oats, kelapa dan juga kismis.
Apa yang membuatkan Greek yogurt berbeza dengan yogurt biasa adalah pada teksturnya yang lebih pekat dan rasanya yang lebih kuat berbanding yogurt biasa. Ia juga bermakna Greek yogurt mempunyai kandungan protein yang lebih banyak berbanding yogurt biasa.
Terus terang, penulis cuma pernah rasa Greek yogurt jenama Nestle. Jika dibandingkan dengan Sunglo, Greek yogurt Sunglo jauh lebih masam, dan Greek yogurt Nestle jauh lebih manis. Mungkin sebab Greek yogurt Sunglo ni 'low fat' dan kurang kandungan gula.
Bagaimana dengan muesli? Mueslinya pula lebih kepada rasa kelapa, rasanya seperti kelapa pada coklat berisi kelapa berjenama bounty. Menarik juga sebenarnya kombinasi rasa antara yogurt yang masam, mangga yang tidak terlalu manis, dan juga kismis. Muesli yang disediakan telah memberi tekstur tambahan kepada yogurt tersebut.
Beginilah keadaan yogurt selepas ditambah muesli dan mangganya digaul. Secara keseluruhannya, penulis boleh katakan penulis suka dengan kepekatan Greek yogurt Sunglo bersama dengan rasa kelapa dan kismis daripada muesli. Walaupun demikian, penulis lebih gemar sekiranya jem perisa mangganya sedikit lebih manis.
Konklusinya, Greek yogurt Sunglo bersama mangga dan muesli ini sebuah yogurt yang pekat dan kurang manis.
3.7/5 🌟
Post a Comment