Maggi Pedas Giler 2X Pedas Tahap Gaban Perisa Ayam Bakar
Sebelum ni, dah banyak kali sebenarnya penulis makan Maggi Pedas Giler. Tiga-tiga perisa semua penulis dah rasa, perisa ayam bakar, tomyam dan seafood berapi. Bagi penulis, antara tiga-tiga tu, tomyam paling pedas, diikuti dengan seafood berapi dan ayam bakar.
Bagi penulis, yang membuatkan penulis kerap makan Maggi Pedas Giler ni sebab harganya yang murah dan rasanya yang sedap. Berbanding dengan Samyang dan Mamee Daebak yang dijual lebih daripada RM5, Maggi Pedas Giler ni boleh beli dengan harga semurah RM3.30. Malah kita juga boleh dapat Maggi Pedas Giler variasi paket dengan harga RM7 lebih. Walaupun demikian, penulis lebih gemar pada variasi mangkuk kerana mi yang digunakan lebih nipis.
Kita boleh lihat bahawa sebahagian pengeluar mi segera seakan-akan berlumba mengeluarkan mi segera yang lebih pedas. Bermula dengan fenomena Samyang, Samyang Nuclear 2x, kepada Maggi Pedas Giler. Yang terkini pula ialah Mamee Daebak Ghost Pepper dan Maggi Pedas Giler 2X.
Beberapa hari yang lepas, penulis telah cuba Mamee Daebak Ghost Pepper yang bagi penulis hanya Samyang Nuclear boleh tandingi tahap kepedasannya. Kali ini penulis hendak cuba Maggi Pedas Giler 2X, walaupun penulis sudah dapat jangkakan yang kepedasannya mungkin tidak setanding Mamee Ghost Pepper.
Tekaan penulis tepat, kepedasannya tidak setanding dengan Mamee Ghost Pepper. Tetapi, ia tetap jauh lebih pedas daripada Maggi Pedas Giler yang biasa, penulis dapat rasa pedasnya seawal suapan pertama. Walaupun demikian, bagi penulis, ia masih merupakan mi yang jauh lebih mudah untuk dinikmati kerana kepedasan dan rasanya yang lebih seimbang.
Post a Comment