Pak Mat Western Bukit Minyak Pulau Pinang, Citarasa Hotel Harga Warung

Citarasa Hotel, Harga Warung, itulah tagline satu restoran yang semakin tular di media sosial sekarang. Disamping menyediakan makanan-makanan barat dengan harga yang berpatutan, restoran ini juga telah membuktikan kualiti yang dijanjikan. Dalam satu dua tahun ini, restoran ini telah diulas oleh beberapa channel youtube yang terkenal seperti vocket, laparpo, padubeb dan juga kchup.

Oleh yang demikian, alang-alang minggu lepas ada di Pulau Pinang, penulis sendiri pun rasa tertarik untuk mencuba sendiri makanan di Pak Mat Western untuk tengok sendiri memang betul-betul power ke seperti yang diuar-uarkan oleh orang lain.

Pertama kali sampai ke restoran ni, masalah paling utama ialah tempat parking, keduanya orang memang ramai. Tapi apalah sangat berjalan sedikit jauh dan menunggu sedikit lama untuk mencuba makanan yang dikatakan citarasa hotel ni kan? Mungkin juga kebetulan kerana bertepatan dengan cuti tahun baru cina. Tapi jangan risau kerana kita tidak perlu berebut tempat, ada krew yang bertugas untuk mengendalikan masalah ni, kita cuma perlu beratur.

Salah satu tanda untuk kenal restoran Pak Mat Western yang terletak di Gerai Simpang Tiga Juru, Pulau Pinang ni adalah dengan mencari papan tanda berbentuk bulat berwarna hijau dengan tulisan 'Pak Mat Western Cafe'. 

Penulis berpuas hati dengan chicken chop yang dipesan. Walaupun tidak dihidang bersama dengan french fries, ia dihidang bersama dengan kentang putar, coleslaw dan juga garlic bread. Untuk harga RM8.90, saiznya agak tebal dan mereka menggunakan bahagian thigh dan peha yang jauh lebih 'juicy' berbanding dada. Chicken grill pun sedap juga, cuma penulis lebih gemar kepada chicken chop yang lebih rangup, rasanya juga ada ala-ala KFC.

Untuk lamb chop pula, penulis hanya cuba sedikit sahaja dan bagi penulis dagingnya agak lembut. Sos blackpepper yang digunakan juga memainkan peranan yang amat penting dalam menjadikan lamb chop tersebut lebih lazat.

Selain itu, walaupun hanya dikategorikan sebagai makanan sampingan di restoran tersebut dan dipanggil sebagai Fish Fillet berbanding Fish n Chip, rasanya juga sedap dan segar. Tidak pasti ikan apa digunakan kerana rasa dan tekstur isinya agak berlainan daripada ikan dory, tetapi ia mengingatkan penulis kepada Yellow Sole.

Kalau nak makan pasta, boleh cuba spaghetti bolognese, carbonara dan lain-lain. Memang ada bermacam pilihan di sini cuma penulis kurang gemar dengan spaghetti carbonara yang disediakan kerana agak tawar dan bagi penulis amat sihat.

Kalau tak gemar makanan barat, bersama dengan restoran Pak Mat Western ni ada satu restoran yang menyediakan masakan panas seperti Mee Goreng, Nasi Goreng dan sebagainya. Selain itu ada juga kedai yang menjual Sate. Jadi tak perlulah runsing memikirkan apa yang hendak dimakan kalau memang tak gemar dengan makanan barat tetapi masih perlu ke sini bersama keluarga atau rakan-rakan.

Harga memang berpatutan, boleh lihat pada resit. Dalam keadaan ekonomi sekarang, memang tempat macam inilah yang kita patut cuba kalau hendak makan beramai-ramai bersama keluarga tetapi dalam masa yang sama masih hendak berjimat cermat. RM101.85 tidak termasuk air untuk seramai 11 orang, bagi penulis memang berbaloi.

Bagi sesiapa yang masih belum ke Pak Mat Western, kalau singgah di Pulau Pinang dan alang-alang dah berdekatan dengan Bukit Minyak, bolehlah segera buka aplikasi Google Maps dan cari sahaja Pak Mat Western. Rugi kalau tak cuba, memang persis lirik lagu Obat ciptaan arwah P Ramlee, 'Gerenti puas hati'. Secara keseluruhannya memang puas hati.

p.s. ini bukan restoran atau warung untuk orang yang mahukan persekitaran yang tenang dan kondusif.

Post a Comment

To Top