Tiga Perkara Tentang Hari Raya

Ntah bila rasanya kali terakhir penulis pulang ke kampung. Dalam kesibukan hidup zaman sekarang ini, adalah penting untuk kita ambil kesempatan pada hari raya ini untuk tinggalkan sebentar kesibukan kita dan luangkan masa bersama keluarga. Tidak ada apa yang lebih penting daripada sebuah keluarga, apatah lagi mak ayah kita.

Penulis masih ingat lagi suasana hari raya sewaktu penulis masih kecil, amat berbeza dengan suasana hari raya pada waktu sekarang. Mungkin ada yang berpendapat bahawa perbezaan yang dirasai penulis adalah disebabkan oleh faktor umur, tetapi bagi penulis walaupun umur boleh menjadi antara faktor kepada perbezaan suasana yang penulis rasai, yang lebih memainkan peranan adalah peredaran waktu dan zaman.

DSC_1649
Ada tiga perkara yang penulis percaya menjadikan hari raya sebagai hari raya, dan penulis harap tidak akan hilang ditelan zaman.

Mengumpul duit raya

Kalau dulu, adalah satu kebiasaan jika rumah kita dikunjungi kanak-kanak yang memberi salam hendak beraya. Sekarang ia merupakan suatu perkara yang jarang berlaku. Mungkin ibu bapa sekarang lebih peka atau risau tentang keselamatan anak-anak ataupun kerana tidak mahu anak belajar meminta-minta. Bagi penulis, tidak ada salahnya, malah tidak sepatutnya menimbulkan sangkaan bahawa ia seolah-olah mengajar anak meminta-minta. Tetapi penulis mengaku, dahulu penulis dan rakan-rakan akan membanding-bandingkan rumah mana yang beri lebih banyak duit raya, dan agak kecewa bila beraya di rumah yang hanya menjamu kuih atau biskut tanpa memberi duit raya, maklumlah masih kanak-kanak waktu tu tetapi itulah yang menjadikan hari raya suatu yang istimewa.

Pelita, Bunga Api dan Mercun


-via Pixabay by ihsanadity
Bukan hendak menggalakkan sesuatu yang merbahaya, tetapi tidak dapat dinafikan bunga api dan mercun adalah antara perkara yang memeriahkan suasana hari raya. Keselamatan perlu diutamakan dan langkah-langkah keselamatan haruslah diambil, mercun-mercun yang merbahaya juga hendaklah dielakkan seperti mercun bola. Pemasangan pelita juga penulis perasan makin berkurangan, banyaknya telah digantikan dengan lampu. Kalau dulu, mudah je nak cucuh bunga api, sentiasa ada pelita berdekatan, itulah kegunaan pelita yang paling utama yang penulis tahu selain daripada memeriahkan persekitaran kawasan perumahan.

Menziarahi Saudara Mara dan Jiran

Selain daripada duit raya dan bunga api, yang menjadikan hari raya ini istimewa adalah amalan ziarah-menziarahi sesama saudara dan jiran. Pada waktu inilah kita dapat berjumpa dengan saudara mara yang sudah lama kita tak jumpa, mungkin kali terakhir jumpa pun pada hari raya tahun yang lepas. Kiranya hari raya merupakan hari kita semua berkumpul dan update (kemaskini) maklumat tentang saudara-mara dan jiran kita.

Sekian sahaja tiga perkara daripada penulis. Agak-agak apa lagi ye yang menjadikan Hari Raya cukup istimewa di hati kita? Dikesempatan ini, penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Post a Comment

To Top