Sate Uncle Bard (Wak Radol) Antara yang Terbaik di Kuantan?

Kalau kita bercakap tentang sate, siapa yang tak suka sate? Ketika kenduri atau jamuan, kalau ada sate, itulah yang akan habis dulu kan? Kalau penulis makan sate, paling kurang mesti 10 cucuk kecuali kalau pergi ke majlis-majlis.

Ingat ye, kalau ke majlis-majlis, bila ambil makanan tu beringat ke orang-orang belakang kita. Penulis pernah rasa macam mana beratur daripada jauh sambil melihat lidi-lidi sate di meja hidang dan berharap masih ada sate bila penulis sampai ke meja tu, paling menyedihkan bila sate habis betul-betul bila dah nak sampai giliran penulis ambil makanan.

Sate Uncle Bard atau Wak Radol
Kalau di Selangor, Sate Kajang antara yang popular, di Kuantan pula ada Sate Zul. Tetapi hari ini penulis tak mahu bercakap tentang Sate Zul, penulis mahu bercakap tentang Sate Wak Radol yang terletak di Laman Teruntum, Kuantan.

Penulis sendiri baru perasan kewujudan restoran ini di Kuantan, itupun rakan penulis yang beritahu ke penulis. Katanya sedap, antara yang terbaik di Kuantan. Persoalannya sekarang, betul ke?

Alang-alang rakan penulis ajak penulis untuk cuba sate di restoran ini yang sekarang dikenali sebagai Sate Uncle Bard, penulis pun bercadang untuk menulis sesuatu tentang pengalaman penulis di sini. Restoran ini menyediakan ruang makan di dalam restoran dan luar yang terletak di belakang restoran.

Penulis telah memesan 10 cucuk sate ayam, 15 cucuk sate daging, 5 cucuk sate kambing, 1 set nasi impit (ada 2 ketul) dan Mi Bandung Muar. Malangnya sate perut tidak ada pada hari penulis ke restoran. Penulis sendiri tidak tahu berapa harga secucuk sate sebenarnya, kecuali kambing iaitu RM1.60.

Tetapi harga total bagi apa yang penulis pesan semuanya RM40.20 bersama dengan secawan sirap ais dan ais batu. Penulis tahu penulis boleh dapat sate kambing dengan harga yang lebih murah di luar, tetapi penulis tetap hendak mencuba, untuk lihat apa yang lebihnya sate di Wak Radol atau Uncle Bard ini.

Mi Bandung Muar di Restoran Sate Uncle Bard (Wak Radol)
Mi Bandung Muar di sini bagi penulis sedap juga, ada rasa udang kepal atau geragau pada kuah, ini pendapat peribadi penulis sebagai seorang yang bukan penggemar Mi. Tetapi, sejujurnya penulis pernah makan Mi Bandung Muar yang lebih sedap di JM Bariani House di Tesco Puncak Alam.

Sate Ayam dan Daging
Sekarang, untuk hidangan utama kita, sate ayam, daging dan kambing. Dari pemerhatian penulis, saiz sate agak kecil untuk harga yang dibayar, penulis anggarkan harga sate ayam dan daging ialah 90 sen (lihat penjelasan penulis di bawah), penulis boleh dapat sate yang lebih besar di tempat lain dengan harga yang sama.

Tetapi, perkara yang lebih penting yang buatkan penulis hendak cuba sate di restoran ini adalah rasa, bagaimana pula dengan rasa?

- Redbull tidak berkenaan
Bagi penulis, sate daging dan kambing di restoran ini memang sedap, lebih sedap berbanding sate ayam yang disediakan agak kering. Kuah kacang pula cukup likat dan dipenuhi kacang, nasi impit juga dimasak elok, tidak lembik dan yang paling penting bawang disediakan.

Sate daging dan kambing yang disediakan sungguh lembut, lebih lembut berbanding sate ayam, dan rasanya juga lebih manis. Jadi kepada sesiapa yang gemarkan sate daging mesti cuba sate di sini.

Ini analisa penulis tentang harga setiap makanan di sini (penulis lupa nak minta menu), 8 (sate kambing) + 9 (sate ayam) + 13.5 (sate daging) + 2 (nasi impit) + 5.7 (mi bandung muar) + 1.5 (sirap ais) + 0.5 (ais batu) = 40.2. Anggaran penulis ini tidak tepat, tapi dari penilaian penulis, harga secucuk sate ayam dan daging ialah 90 sen.

Kedudukan Sate Wak Radol aka Uncle Bard
Selepas penulis ambil kira dari pelbagai sudut, daripada 5 bintang, penulis beri 3.8 bintang. Pada hemat penulis, satenya agak sedap, tetapi belum cukup untuk buatkan ia menjadi outstanding atau lebih menyerlah berbanding sate di tempat lain. Yang terbaik di Kuantan? Sudah tentu bukan. Antara yang terbaik? Mungkin juga.

Kalau nak dibandingkan dengan Sate Zul, ada lebih banyak pilihan sate di Sate Zul. Tetapi dari segi rasa, penulis sendiri tidak pasti sebab sudah lama tidak ke Sate Zul. Kepada penduduk Kuantan, di mana lagi ye boleh dapat sate yang sedap?

Post a Comment

To Top