Dua Jenis Teguran, Teguran Kita Yang Mana Satu?
-via Pexels by Pixabay
Dah cukup lama penulis perasan ramai yang menggunakan saluran media sosial untuk membuat teguran dengan cara memviralkan ataupun menularkan salah laku yang hendak ditegur. Penulis sendiri tidak pasti sejak bila sebenarnya trend menegur dengan cara memviralkan salah laku ini bermula.
Penulis hendak kongsikan pemerhatian penulis tentang dua jenis teguran yang seringkali kita dapat lihat di dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter. Pertamanya teguran yang membawa benci terhadap perkara yang ditular, yang kedua ialah teguran yang membawa benci terhadap orang yang ditular.
Agak-agak teguran kita jenis yang mana? Cuba kita ingat semula perkara-perkara yang telah diviralkan di laman sosial, adakah semua teguran itu betul-betul membawa hasil kepada masyarakat? Memang niat seorang manusia yang membuat teguran itu sebenarnya untuk memberi kesedaran bahawa perkara yang dilakukan itu adalah salah. Tetapi terkadang ada silap pada gayanya sehinggakan ia membawa benci terhadap si pelaku melebihi bencinya pada perlakuan yang salah itu.
-via Pexels by Kaique Rocha
Apa yang penulis lihat, setiap kali ada yang menegur di laman sosial, ada ramai juga yang akan menunjukkan kebencian terhadap si pelaku berbanding kelakuannya. Apakah lidah kita sudah menjadi berat daripada mendoakan perubahan yang lebih baik?
Apa yang perlu dipastikan sewaktu menegur adalah identiti si pelaku tidak didedahkan, contohnya dengan tidak mendedahkan fizikal seperti muka, dan tidak mendedahkan no plat kereta pelaku. Sebenarnya ada beza pada cara menegur, bergantung pada kepada siapa teguran itu ditujukan. Kepada manusia lain caranya berbanding kepada syarikat. Kepada pemimpin yang dikenali semua yang jelas tugas dan perbuatannya, lain caranya berbanding kepada individu yang belum tentu ada peluang untuk memberi penjelasan atas perbuatan dia, mempertahankan diri dia dan membersihkan nama dia.
-via Pixabay by qimono
Hakikatnya kehidupan ini suatu yang kompleks, tidak semua berlaku seperti apa yang kita sangka. Kita telah berlaku zalim terhadap orang yang kita tegur jika kita telah membawa satu gambaran yang bukan sebenarnya tentang dia dan apa yang berlaku. Terlalu ramai yang akan tahu, setiap manusia membawa pendapat dan pemahaman masing2, apakah kita hendak bertanggungjawab atas setiap sangkaan dan tuduhan yang orang lain buat terhadap pelaku? Padahal kita tahu daripada setiap sangkaan itu ada diantaranya umpatan dan ada diantaranya fitnah.
Sebagai orang yang pertama sekali melihat salah laku, adalah menjadi tanggungjawab dia untuk menegur si pelaku, bukan menyerahkan tanggungjawab itu kepada media sosial. Adapun kalau hendak membawa kesedaran menggunakan saluran media sosial, pastikan teguran kita tertuju pada perbuatan salah laku tersebut dan bukannya pada si pelaku.
Kita bukan bodoh, tetapi ada masa kita tidak begitu bijak. Memang kadang kita sukakan suatu yang agresif, menampakkan keberanian, menonjol, kita kata berani kerana benar, kita kata yang salah kita kena lawan. Tetapi apabila sudah mula hilang toleransi, belas kasihan dan pertimbangan, apakah kita masih lagi manusia?
Post a Comment