Bazaar Ramadhan Fasa 2 Puncak Alam.

Perkara yang paling sinonim dengan bulan Ramadhan di Malaysia ni agak-agaknya apa ye? Selain daripada sahur dan solat sunat tarawih, yang paling ditunggu-tunggu sudah tentulah bazaar Ramadhan, sebabnya di bazaar Ramadhan ni lah kita akan jumpa bermacam juadah yang kemungkinannya kita sukar dapat pada bulan-bulan lain, contohnya air katira dan kuih badak berendam.

Siapa yang pernah singgah di Bandar Puncak Alam pada bulan Ramadhan mesti pernah singgah di bazaar Fasa 2 Puncak Alam ni. Nak kata yang terpanjang, penulis tak berapa pasti sebabnya penulis sendiri belum sempat singgah di bazaar lain yang terletak di Fasa 3 Puncak Alam.

Mercun Pop Pop
Penulis tak berseorangan, malah ditemankan oleh adik kecil penulis. Miskin jugalah penulis bila bawak adik penulis ni jalan-jalan. Benda pertama yang dibelinya mercun bawang atau pop-pop. 

Bila kita ke bazaar Ramadhan, tujuan utama kita mestilah untuk beli juadah buat berbuka puasa. Di bazaar ini terdapat pelbagai jenis juadah, sampaikan penulis sendiri rambang mata apa yang nak dibeli. Agak-agak apa yang penulis beli akhirnya ye?

Kepak Ayam
Pertama sekali, penulis dapatkan kepak ayam madu. Memang terliur kalau ditenung kepak ayam madu ni. Penulis agak keberatan asalnya nak beli kepak ayam madu ni, sebabnya kepak ayam madu ni kita boleh dapat walaupun daripada pasar malam. Tetapi adik penulis cukup suka kepak ayam ni, jadi turutkan jugalah, boleh penulis merasa seketul buat berbuka nanti.

Kepak Ayam
Kalau ikutkan hati penulis banyak yang nak dibeli, tapi tujuan sebenar penulis ke bazaar ni bukanlah untuk beli makanan, tapi untuk ambil gambar-gambar di bazaar ini sahaja.

Cucur Udang
Walau bagaimanapun, sewaktu hendak pulang ke rumah, penulis tertarik dengan sebuah gerai yang menjual cucur udang. Harga sedikit mahal, RM3.70 satu set yang mengandungi 3 cucur, tetapi bagi penulis agak berbaloi kerana cucur udang ini disertakan dengan kuah kacang, bukannya sos. Kebiasaannya cucur udang di Selangor ni akan dijual bersama sos, tidak seperti di utara yang mana cucur udang biasanya dijual bersama kuah kacang.

Cucur Udang
Apa yang penting ketika di bazaar Ramadhan adalah bersederhana dalam berbelanja. Maklumlah sewaktu di bazaar dalam keadaan berpuasa ini memang sangat menguji nafsu selera kita. Tetapi kita kena ingat, kita ada 30 hari untuk kita rancang menu-menu berbuka kita, jadi tidak perlulah kita beli semuanya dalam satu hari. Penulis yakin, walaupun pada bulan puasa ini kita sepatutnya kurang berbelanja, tetapi apa yang jadi besar kemungkinan adalah yang sebaliknya, lebih banyak pembaziran daripada penjimatan. Oleh itu beringat-ingatlah ketika berbelanja, baik di bulan Ramadhan, mahupun bulan-bulan yang lain.

Post a Comment

To Top