Persediaan Menghadapi Pilihan Raya Umum PRU

Mari Mengundi

Image by rawpixel.com on Freepik

Selepas pembubaran parlimen, kita akan menghadapi pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari — pada tarikh yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya. Bermula daripada pembubaran parlimen, sehinggalah hari pengundian, kepada penubuhan semula kerajaan dan persidangan semula parlimen, memakan masa dalam 120 hari.

Penulis bukanlah seorang yang arif berkenaan politik. Tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia, penulis juga bertanggungjawab untuk membuat pilihan bagi menjamin kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta terus berkekalan. Membuat pilihan itu satu perkara, satu perkara lagi adalah untuk memastikan proses pemilihan atau undian itu sendiri berjalan dengan lancar.

Perkara Yang Perlu Tahu Untuk Menghadapi Pilihan Raya.

1. Semak Daftar Pemilih

MySPR Semak
Sebelum keluar mengundi, pastikan telah semak status kita sama ada layak mengundi ataupun tidak di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Bagi yang belum tu, boleh mula lawat pautan https://mysprsemak.spr.gov.my untuk mulakan semakan.

Semakan Daftar Pemilih
Daripada semakan yang kita buat, kita akan dapat semua maklumat yang kita perlukan untuk hari pilihan raya nanti. Pastikan butir peribadi kita adalah tepat, dan pastikan juga kita pergi ke pusat mengundi dan saluran yang betul pada hari pilihan raya nanti.

Dari laman web MySPR yang sama juga kita boleh semak calon pilihan raya kawasan kita mengundi, dan dapatkan keputusan pilihan raya.

2. Teliti 7 Langkah Pengundian yang Telah Dikeluarkan oleh SPR pada poster 7 langkah.

Pada PRU yang lepas iaitu PRU13, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) telah mengeluarkan 7 panduan pengundian bagi memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar. Diharapkan infografik daripada SPR ini dapat membantu mereka yang baru pertama kali hendak mengundi.

Berikut merupakan panduan yang telah diberikan oleh SPR pada poster 7 langkah:
  1. Sila masuk apabila dibenarkan oleh polis yang mengawal di pintu masuk.
  2. Serahkan MyKad/Dokumen Pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Tunjukkan tangan untuk periksa dan pastikan tiada calitan dakwat kekal pada jari.
  3. Bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Letakkan tangan di atas pad dakwat kekal untuk calitan jari dan tunggu nama anda dipanggil.
  4. Selepas jari ditandakan dengan dakwat kekal dan sebelum kertas undi dikeluarkan, Kerani Pengundian Pertama akan membuat tanda pada nombor dan nama anda dalam buku daftar pemilih. Dapatkan kertas undi daripada Kerani Pengundian Ketiga.
  5. Maju ke petak undo dan tandakan X pada ruang calon dalam kertas undi anda. Pilih satu calon saja.
  6. Masukkan kertas undi di dalam peti undi masing-masing untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
  7. Keluar segera dari Tempat Mengundi.

Pastikan berpakaian kemas dan pakaian tersebut tidak mempunyai apa-apa simbol parti atau apa-apa sahaja yang jelas berunsurkan kepartian.

3. Pastikan Undi Tidak Rosak

Sila pastikan undi kita tidak rosak, atau kita cuma akan habiskan masa untuk suatu perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Oleh yang demikian, amatlah penting sebagai rakyat Malaysia untuk mengambil berat tentang perkara yang boleh merosakkan undi. Bagi mengelakkan undi kita menjadi undi rosak atau undi ragu, pastikan:
  1. Kertas undi tidak ada apa-apa tanda selain daripada pangkah undi. Pastikan dakwat kekal telah kering dan tidak meninggalkan apa-apa kesan pada kertas undi. 
  2. Pangkah undi hendaklah dilakukan hanya dengan menggunakan X dan pastikan hanya ada satu tanda X pada kertas undi.
  3. Tanda X berikut hendaklah mengisi sekurangnya 75% daripada ruang yang disediakan dan tidak terkeluar daripada ruang tersebut.
  4. Pangkah undi hanya pada ruang yang disediakan.
  5. Tidak mengundi lebih daripada satu calon.

Undilah dengan bijak, undilah dengan teliti. Tunaikan kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dengan penuh berhemah.
Berikut merupakan video berkenaan dengan proses pengundian.

Sumber daripada laman youtube Harian Metro.
Untuk persoalan-persoalan lain mengenai PRU boleh layari laman web soalan lazim SPR. Entri blog kali ini merupakan peringatan bagi penulis, dan diharapkan dapat menjadi panduan bagi yang lain juga. Kepada semua rakyat malaysia, Selamat Mengundi.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top