Kesatria Papan Kekunci

Photo by Glenn Carstens-Peters on Unsplash
Setelah aku tempuh satu bulan pertama cuti semester untuk tahun ini, aku boleh katakan bahawa cuti aku kali ini bukanlah cuti yang produktif. Makan, tidur, makan, tidur bak kata orang. Tidak dapat dinafikan makan dan tidur itu perkara yang aku kerap lakukan tetapi cuti aku walaupun tidak produktif bukanlah sekadar makan dan tidur sahaja. Bak kata pepatah omputeh, there is more to live than eat and sleep. Contohnya seperti menghabiskan masa dengan laman muka buku (ataupun buku muka), merosakkan satu-satunya smartphone yang aku ada dengan cara membaling ke lantai sewaktu aku tertekan, dan juga menonton anime. Tetap, cuti aku bukan cuti yang produktif juga. Diwaktu rakan-rakan aku sedang bertolak ke tempat kerja, aku mula untuk mencari anime-anime yang aku boleh mula untuk tonton. Pada waktu rakan-rakan aku sedang bekerja, aku sudah hampir habiskan 10 episod. Boleh jadi waktu rakan-rakan aku pulang ke rumah, aku sudah habiskan 25 episod anime. Bosan, hidup aku merupakan satu sarang kebosanan.

Mungkin tidak adil untuk aku persalahkan takdir dan hidup sebagai punca aku bosan. Mungkin aku boleh mula persoalkan "Does it really true that my very existence is the cause of all boredom?” ataupun terus untuk menuduh. Terlalu mudah untuk aku salahkan takdir dan kewujudan. Ya, benar, terlalu mudah. Kerana dengan meletakkan kesalahan ke atas yang selain aku, aku tidak perlukan kepada usaha untuk aku berubah. Aku juga lebih suka melihat yang selain aku untuk berubah kerana itu lebih mudah untuk aku sebagai seorang yang lebih suka untuk merasa hasil daripada perubahan orang lain. Adakah kerana aku mengambil kira diri aku cukup sempurna? Ataupun aku terlepas pandang? Ataupun kerana aku lebih rajin untuk menuduh padahal malas untuk menerima hakikat bahawa aku juga melakukan kesilapan?

Sumber daripada motifake.com
Selepas berapa lama menulis, aku mula lupa apa sebenarnya yang aku hendak sampaikan. Ya, lemahnya aku sebagai seorang manusia, sering lupa. Tetapi begitu bongkak dan sombongnya aku dalam meletakkan kesalahan ke atas yang selain aku seolah-olah aku tidak akan pernah tersilap sedikit pun. Aku tahu juga, bukan aku seorang sahaja yang menunjukkan sikap seperti ini, aku tidak keseorangan, mungkin engkau juga sama. Kita sama, kita sama-sama manusia yang lebih suka menuduh berbanding mengubah. Kita kata dengan yakin bahawa dengan menuduh kita mampu mengubah, tetapi kelakuan kita sendiri tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan. Kita sendiri tidak mampu meninggalkan sikap-sikap kita yang membawa mudharat kepada diri kita, dan boleh jadi sedikit demi sedikit menghakis perikemanusiaan kita. Kita sendiri tidak mampu meninggalkan gaya hidup moden, tidak mampu melepaskan secawan Starbucks dan satu set ayam KFC, tidak mampu meninggalkan rutin berkaraoke bersama kawan-kawan, rutin menonton wayang pada hujung minggu dan banyak lagi yang banyaknya kita lebih rela pertahankan daripada diubah.

Engkau juga rakan aku, sepertimana aku, layak atas peringatan. Tidak salah menuduh, tetapi harus berpada-pada, jaga bahasa, jaga sikap. Boleh jadi yang dituduh itu bukan seperti apa yang kita gambarkan. Boleh jadi dia berusaha lebih gigih untuk mengubah keadaan, padahal kita lebih banyak luangkan masa berhadapan dengan laman sosial sebagai kesatria papan kekunci. Walaupun tuduhan kita benar, adilkah kita? Jawapan aku, yang adil itu hanya sebahagian kecil daripada kita, bukan aku, bukan engkau.
If you want change, don’t tell, don’t ask, be the change
p.s. Apa yang membosankan aku, tidak semestinya membosankan engkau juga. I enjoy watching anime, but I don’t enjoy the fact that I am watching anime because I don’t have anything else to do.

Post a Comment

To Top