Set Bawal Goreng dan Sambal di Abang Bawal Lejen Bagan Jermal, Tanjung Tokong, Pulau Pinang
Penulis lebih sukakan ayam dan daging berbanding ikan, tapi kalau ada ikan yang penulis makan salah satunya — selain daripada ikan keli, siakap, kerapu dan jenahak — ialah ikan bawal.
Tapi, mestilah ikan bawal yang masih panas. Kalau boleh, biar bahagian luarnya sedikit garing dan tulang di bahagian sirip atas dan bawahnya sedikit rangup. Lagipun, isi ikan bawal yang dah sejuk lebih keras.
ABANG BAWAL LEJEN BAGAN JERMAL
Untuk makan set nasi bersama ikan bawal, penulis ke restoran Abang Bawal Lejen Bagan Jermal di Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Terletak bersebelahan dengan Balai Bomba Bagan Jermal.
Alamat: Jln Tanjong Tokong, 10470 Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Waktu: Selasa - Ahad (4:30pm - 12:00am).
Waktu: Selasa - Ahad (4:30pm - 12:00am).
Di Pulau Pinang ada dua Bagan Jermal, satu terletak di Butterworth dan satu lagi di kawasan antara Georgetown, Pulau Tikus dan Tanjung Tokong. Namun, restoran ni terletak di Jalan Tanjung Tokong, bukannya Jalan Bagan Jermal.
Nasi dan ikan bawal dijual secara set, boleh pilih antara ikan bawal goreng, kari, sambal ataupun kicap. Setiap set akan dihidangkan bersama gulai kari, ulam, sambal belacan dan sambal kicap.
Semangkuk kari datang bersama dengan sebatang bendi, dan ulam yang penulis dapat hanyalah kobis dan timun. Sambal kicap pula dicampurkan dengan potongan bawang dan cili padi.
SET BAWAL GORENG DAN SAMBAL
Saiz kedua-dua ikan bawal — goreng dan sambal — yang penulis cuba boleh tahan besar. Cuma saiz kedua-duanya tak sama, ikan bawal sambal nampak lebih besar berbanding ikan bawal goreng.
Selesai ambil gambar penulis terus makan sementara ikannya masih panas. Kedua-dua ikan dimasak dengan elok, isinya tak keras dan tulang siripnya masih rangup — walaupun dah diletakkan sambal.
Gulai karinya pun cukup rasa dan tak ceroi. Sambal kicapnya tak berapa pedas, kalau nak rasa lebih pedas boleh makan dengan sambal belacan. Cuma tak tahulah kenapa set sambal tak datang bersama ulam sama macam set goreng.
Mungkin sebab ikan bawal sambal dah dihiaskan dengan cili padi dan bawang sebagai ganti kepada ulam. Sambalnya ditambahkan juga dengan sedikit kicap, jadi rasanya pedas-pedas manis.
Menu | Harga |
---|---|
Set Bawal Goreng | RM13.00 |
Set Bawal Kari | Rm15.00 |
Set Bawal Sambal | RM15.00 |
Set Bawal kicap | RM17.00 |
Telur Mata | RM1.50 |
Telur Dadar | RM2.00 |
Nasi Putih | RM2.00 |
Nasi Lemak | RM2.20 |
Dari segi portion, memang cukup untuk seorang makan — mengenyangkan. Untuk kanak-kanak boleh dimakan dua orang, boleh pesan satu set dan tambah sepinggan nasi putih atau sebungkus nasi lemak.
AYAM, SIAKAP, UDANG, SOTONG DAN BELITUNG
Selain daripada bawal, ada juga set nasi bersama ayam goreng berempah, kunyit, sambal dan kicap. Bagi yang suka makanan laut boleh cuba set siakap, sotong, udang atau siput sedut.
Dari segi harga, sesuailah dengan bahagian yang penulis dapat. Memang kebiasaannya harga ikan lebih mahal berbanding ayam. Cuma bukanlah harga yang penulis boleh bayar untuk makan selalu melainkan berkongsi dua.
Walaubagaimanapun, penulis tetap syorkan korang cuba makan di sini sebab rasa kari dan ikannya memang sedap. Takkan nak makan nasi kandar setiap hari di Pulau Pinang kan?
Post a Comment