Pizza Kayu Api ala Neapolitan di Pizza Bara Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Pizza kayu api dengan topping sos tomato dan keju mozzarella
Dulu, kalau nak makan pizza mesti ke Pizza Hut atau Dominos. Kemudian, di pasar malam pun dah ada orang mula jual pizza. Sekarang, penulis perasan; semakin banyak restoran pizza tempatan dibuka.

Seolah-olah menjadi trending, kebanyakan restoran pizza yang baru dibuka akan menggunakan dapur kayu api atau gas yang diperbuat daripada tong besi atau bata — brick oven — yang dapat mengekalkan suhu yang lebih tinggi berbanding ketuhar konveksyen, sehingga 537°C.

Pizza pepperoni cara napoli
Walaupun penulis sukakan pizza cara New York macam yang disediakan di Dominos — mempunyai kerak yang nipis dengan topping yang banyak dan pelbagai — penulis juga sukakan pizza cara Neapolitan yang lebih ringkas.

PIZZA KAYU API DI PIZZA BARA, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Menu di Pizza Bara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Contohnya pizza Neapolitan yang penulis cuba di restoran Pizza Bara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Lokasinya cuma 1 kilometer dari Summit Bukit Mertajam, bersebelahan dengan Sekolah Menengah Islam Al-Masriyah.


Alamat: 373A, Jln Abdul Kadir, Tanah Liat, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Waktu: Isnin - Ahad (6pm - 10:30pm).

Kedudukan restorannya ke dalam sedikit — bukannya betul-betul di tepi jalan — jadi ada sedikit ruang untuk letakkan kenderaan. Ruang makannya pula, daripada bilangan meja yang ada; boleh muatkan dalam 40 orang pelanggan.

Dapur kayu api yang digunakan untuk membakar pizza
Kalau dilihat pada keadaan restoran, dapur dan kerusi meja yang digunakan, perkataan yang lebih tepat adalah warung. Dapur kayu apinya — ada dua unit — pun tak besar, cuma boleh muatkan satu pizza.

Melainkan terlalu ramai pelanggan, tak perlu tunggu lama untuk dapatkan pesanan sebab pizza boleh dimasak dalam masa 1 ke 2 minit je menggunakan dapur kayu api. Kiranya, dalam masa 5 minit boleh siapkan sekurang-kurangnya dua keping pizza.

PIZZA MARGHERITA DAN BEEF PEPPERONI

Pizza margherita dan pepperoni daging
Dua pizza yang penulis cuba ialah margherita dan pepperoni. Kedua-duanya menggunakan bahan asas yang sama, sos tomato, mozzarella, daun selasih dan zaitun. Untuk pizza pepperoni daging, ada tambahan cili benggala, bawang dan pepperoni daging.

Sos tomato diperbuat daripada tomato yang dilenyek, jadi masih ada ketulan-ketulan tomato. Keju mozzarella pula diperbuat sendiri daripada susu kerbau, kurang masin berbanding mozzarella yang diproses.

Pizza bersama sos tabasco yang boleh digunakan pada pizza
Kalau nak cuba pizza yang ringkas, cuba margherita. Kalau nakkan yang lebih banyak topping, boleh pesan pepperoni. Kepingan pepperoni dagingnya banyak, puas hati. Tapi penulis lebih suka kalau bawang dan capsicumnya juga banyak.

Rasa pizzanya sedikit masam daripada sos tomato dan sedikit masin daripada pepperoni. Untuk rasa yang sedikit pedas dan berasid boleh tambahkan sos Tabasco.

LEOPARD SPOT PADA PIZZA NEAPOLITAN

Tompok-tompok hangit pada kerak pizza margherita
Bentuknya yang tak simetri; kerak luarnya yang menggelembung, mempunyai leopard spot — tompok-tompok hangit pada kerak — rangup ketika panas dan lembut apabila sejuk; menggunakan bahan berkualiti; dan kejunya yang tak memenuhi keseluruhan pizza, memang ciri-ciri pizza Neapolitan.

Untuk kualiti yang penulis dapat, harga RM20 untuk pizza margherita dan RM23 untuk pizza pepperoni memang berbaloi. Sekeping pizza dipotong kepada 8 potongan, jadi bolehlah dimakan sehingga 4 orang.

Pizza Harga
Beef Shabu-shabu RM25
Beef Pepperoni RM23
Spicy Tuna RM22
Spicy Chicken Pepperoni RM20
Margherita RM20
Kaya Cheese RM18
Harga pizza di Pizza Bara, Bukit Mertajam.

Tambah pula, sewaktu penulis ke sini air sirap limau disediakan secara percuma — bertambah-tambah jimat. Tak pastilah kalau datang pada waktu lain airnya masih percuma atau tak.

Kalau korang nak cuba pizza neapolitan di sini — atau mana-mana restoran lain yang turut menyediakan pizza kayu api — penulis syorkan untuk mula dengan pizza margherita. Kalau pizza margheritanya sedap, besar kemungkinan pizza lain yang menggunakan bahan asas yang sama akan sedap juga.

Untuk maklumat lanjut, boleh ke saluran TikTok Pizza Bara.

Post a Comment

To Top