Ingat Lagi Saluran YouTube Pertama Yang Kita Masih Langgan? Semak Sejarah Aktiviti di YouTube Dengan Google My Activity

Logo YouTube berlatarbelakangkan halaman utama
Dah banyak yang berubah sejak YouTube dilancarkan pada tahun 2005 dulu, waktu tu memang jarang sangat nak jumpa pencipta kandungan atau vlogger yang keluarkan video kurang daripada 3 minit.

Di YouTube, kebanyakan video berdurasi tak kurang daripada 5 minit. Content creator atau pencipta kandungan cari makan dengan cara hasilkan video yang panjang, selalunya lebih daripada 10 minit.

Sekarang, dah ramai yang suka tengok video pendek — antara 1 ke 2 minit — seperti yang dipopularkan oleh Vine, Snapchat dan TikTok. Untuk bersaing dengan TikTok, YouTube Short dilancarkan pada tahun 2020.

YouTube akan berusia 19 tahun pada 14 Februari 2024 nanti, jadi tak peliklah kalau pengguna YouTube sekarang dah berusia antara 25 ke 35 tahun. Ada yang masih ingat ke kenapa dan bila korang mula gunakan YouTube?

CARA MELIHAT SEJARAH AKTIVITI DI YOUTUBE MENGGUNAKAN GOOGLE MY ACTIVITY

Halaman utama laman seswanga My Google Activity
Kalau masih gunakan akaun yang sama daripada dulu, ada cara untuk go down memory lane atau tengok aktiviti kita di YouTube — apa dan bila kita comment, like dan subscribe video atau saluran di YouTube.

Maklumat tersebut boleh diakses di laman My Google Activity. Pastikan kita mengakses laman tadi menggunakan akaun yang betul, boleh semak di bahagian penjuru kanan sebelah atas.

Di halaman utama My Google Activity, secara lalainya — kalau tak pernah ubah sebarang tetapan berkenaan sejarah aktiviti — kebanyakan aktiviti boleh dilihat di sini. Apa yang kita cari di Google, apa yang kita terjemah di Google Translate, tempat yang kita tengok di Google Maps, semuanya ada.

Cumanya, untuk tengok aktiviti di YouTube ada beberapa langkah tambahan yang perlu dibuat. Cari dan tekan "Activity Control" pada menu di sebelah kiri, kemudian tekan "Manage Activity" pada bahagian YouTube History.

Di bahagian ni kita akan nampak apa yang kita cari dan tengok di YouTube menggunakan akaun yang kita pilih awal tadi. Tapi, kalau nak semak ketiga-tiga perkara yang penulis senaraikan tadi boleh tekan "Interaction" pada menu di sebelah kiri.

Dari sini korang pilihlah maklumat apa yang korang nak tengok, contohnya kalau nak tengok saluran apa yang korang langgan atau subscribe sekali dengan tarikh langganan atau subscription boleh tekan "Channel Subscription".

MENGENANG KALI PERTAMA MENGGUNAKAN YOUTUBE

Sejarah langganan saluran YouTube
Menggunakan cara ni, penulis dapat tahu saluran YouTube pertama penulis langgan ialah Khan Academy pada hari Ahad 8 November 2009 pukul 10:35 pagi. Waktu tu, pembelajaran secara dalam talian di Malaysia adalah sesuatu yang baru.

Belum ramai yang mampu langgan Streamyx pada tahun 2009. Telco prepaid seperti Hotlink, XPax dan Digi pula masih menyediakan perkhidmatan internet pada harga 1 sen setiap 1 kilobyte — lebih murah gunakan SMS berbanding MySpace, Friendster dan Facebook.

Sebelum Unifi diperkenalkan pada tahun 2010, masih ramai yang ke kafe siber untuk lakukan carian di Yahoo Search, bersembang di Yahoo Messenger, mengemaskini profil MySpace, muat turun lagu secara haram di Limewire dan bermain permainan dalam talian seperti Ragnarok dan Counter Strike.

Kelajuan jalur lebar yang mampu milik pun kurang daripada 1 Mbps, lebih perlahan berbanding plan internet tanpa had berkelajuan rendah yang ditawarkan telco sekarang — kecuali selepas capai kuota dihadkan FUP dan kelajuan internet diturunkan kepada 512 kbps.

Dulu, orang perlu bayar RM66 sebulan hanya untuk dapatkan internet berkelajuan 512 kbps. Sebab tu lah masih ramai yang ke kafe siber untuk dapatkan internet berkelajuan tinggi, waktu tu harga langganan Streamyx 4 Mbps ialah RM160.

Kalau nak dibandingkan sekarang dengan waktu pertama kali penulis gunakan YouTube, internet sekarang jauh lebih baik. Korang pula macam mana? Apa saluran YouTube pertama yang korang langgan?

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top