Sotong dan Udang Celup Tepung di Suhaimie Celup Tepung, Pantai Penarik

Sotong, udang dan ikan celup tepung bersama satar dan keropok lekor
Rasa macam ada yang tak kena kalau datang ke Terengganu tapi tak makan empat makanan ni: keropok lekor, nasi dagang, satar dan celup tepung. Selalunya penulis akan ke Pantai Penarik untuk makan celup tepung.

Di sepanjang jalan Penarik ada banyak restoran dan warung celup tepung, tapi cuma beberapa je yang penulis pernah cuba antaranya Beachboxx Station, Warung Mokngoh dan Suhaimie Celup Tepung.

Keropok lekor dan sotong celup tepung
Walaupun ada beberapa warung celup tepung yang nampak lebih baru macam Beachboxx Station, Ombak Pantai dan MR Celup Tepung Station, sekali sekala rasa terpanggil juga nak makan semula di warung lama seperti Suhaimie Celup Tepung.

SUHAIMIE CELUP TEPUNG, PENARIK

Warung Suhaimie Celup Tepung
Nak pergi ke Suhaimie Celup Tepung senang je, warungnya berdekatan je dengan Caltex Bukit Calok, Penarik — dalam 50 meter. Kalau datang dari arah Kampung Penarik di sebelah utara, akan jumpa dulu ketiga-tiga kedai baru yang penulis senaraikan tadi.

Macam yang tertulis pada logonya yang menampilkan seekor udang menunjukkan isyarat thumbs up, warung bertemakan warna merah dan kuning ni menyediakan celup tepung sejak dari tahun 2002.


Alamat: Jalan Penarik, Kampung Rhu Sepuluh, 21010 Permaisuri, Terengganu.
Waktu: Isnin - Ahad (9am - 7pm).

Pilihan yang ada waktu penulis ke sini tak banyak, untuk celup tepung ada ikan, udang dan sotong. Selain tu, ada juga bihun goreng, mi goreng, keropok lekor, satar ikan, cekodok dan bebola ketam — tak pasti ketam celup tepung ada atau tak.

Udang dan ikan celup tepung
Bagi penulis, apa yang ada dah cukup. Sebab penulis samakan celup tepung dengan snek, senang dimakan dan buatkan kita ralit. Masalah dengan ketam celup tepung yang tak menggunakan ketam lembut, renyah nak makan dan kulitnya — bahagian yang bersalut tepung — tak dimakan.

MAKAN CELUP TEPUNG TAPI TAK MAKAN TEPUNG?

Udang celup tepung
Apa guna makan celup tepung tapi tepungnya tak dimakan? Apa beza dengan ketam yang digoreng tanpa tepung? Sekurang-kurangnya kulit udang masih boleh dimakan, cuma ada yang pilih untuk tak makan.

Celup tepung yang sedap mesti gunakan tepung dan sos yang sedap. Di sini, tepungnya diperasakan jadi rasanya sedikit masin — tak tawar. Sosnya pula manis dan sedikit masam macam sos pencecah keropok lekor.

Cekodok atau cucur di warung celup tepung
Rasa celup tepung di sini ringkas — nothing fancy — tetapi rangup dan sedap, cuma untuk orang yang kurang sensitif dengan rasa masin mungkin akan rasa sedikit tawar.

MAKANAN DIHIDANG PANAS

Ikan celup tepung
Seingat penulis, kesemua celup tepung dan keropok lekor dihidang dalam keadaan panas — mungkin setiap pesanan akan dipanaskan semula. Celup tepung juga dihidang bersama gorengan tepung rangup yang boleh diratah.

Ikan celup tepung yang penulis cuba menggunakan ikan kembung, bukannya selayang atau sardin macam yang penulis pernah makan sebelum ni di Kuantan. Saiznya tak terlalu besar tapi isinya tebal.

Sotong celup tepung
Antara tiga pilihan celup tepung tadi, penulis paling sukakan sotong diikuti dengan ikan dan udang. Tak terhad kepada warung ni je, di mana-mana warung atau restoran celup tepung pun penulis lebih sukakan sotong.

Keropok lekor yang penulis dapat tak digoreng dengan tepung, jadi tak ada bezalah dengan keropok lekor yang digoreng di rumah. Penulis lebih sukakan keropok lekor yang penulis makan di Nasi Dagang Atas Tol.

Satar, bihun dan mi goreng
Satar pula, bukanlah yang terbaik di Terengganu — penulis pernah makan yang lebih sedap di sekitar Kemaman. Tetapi, lebih sedap daripada satar yang penulis makan di Selangor.

PIAN MANGO SHAKE

Pian mango shake
Dari segi rasa, berpuas hati. Tambah pula selepas makan dapat minum air mango shake yang dibeli daripada gerai bersebelahan — Pian Mango Shake. Cuma tak ada sesuatu yang unik berbanding warung celup tepung lain.

Tak tahulah apa perancangan warung Suhaimie Celup Tepung untuk bersaing dengan warung-warung baru. Daripada ulasan yang ada di Google Maps, penulis nampak beberapa aduan tentang servis. Warung celup tepung yang lebih baru juga mendapat lebih banyak perhatian dan ulasan.

Ombak di Pantai Penarik ketika musim tengkujuh
Selain celup tepung, boleh juga datang ke sini untuk makan nasi ayam berempah dan nasi goreng. Harga masih boleh dikira berpatutan, tapi boleh berubah mengikut musim. Penulis datang pada hari minggu waktu musim tengkujuh, angin agak kuat dan pelanggan pun tak ramai.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top