Warung Dalam Kenangan: Scallop Masak Lemak dan Pelbagai Makanan Laut Lain di Kuala Terengganu
Ada sebab kenapa orang jarang bercuti di Kelantan atau Terengganu ketika musim tengkujuh, lebih-lebih lagi pada Disember setiap tahun. Yang seronoknya bercuti pada waktu ni, tak ramai. Yang tak seronoknya, hujan atau banjir.
Tiga hari penulis di Kuala Terengganu, rasa macam ada di Cameron Highlands — ada hari sampai ke petang tak nampak matahari. Hampir setiap masa hujan — kalau tak lebat, renyai, jadi seeloknya sediakan baju hujan atau raincoat.
Kadang-kadang, angin sangat kuat sampaikan payung boleh terbang kalau tak pegang dengan betul. Waktu-waktu macam ni, orang akan elakkan ke sungai atau pesisir pantai — risiko kepala air dan ombak besar.
Jadi waktu penulis ke Pantai Batu Buruk baru ni, tujuan utama bukanlah untuk tengok laut tapi untuk makan di sebuah restoran yang terletak bersebalahan je dengan pantai, Warung Dalam Kenangan.
WARUNG DALAM KENANGAN, KUALA TERENGGANU
Apa yang ada di Warung Dalam Kenangan? Pilihan lauk di sini memang banyak, ada yang digoreng, dibakar dan ada juga yang dimasak bersama kuah lemak, sambal dan buttermilk. Istimewanya, sebahagian besar lauk di sini ialah makanan laut seperti sotong, udang, ketam dan ikan.
Alamat: Jalan Pantai Batu Buruk, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu.
Waktu: Selasa - Khamis (11am - 11pm).
Waktu: Selasa - Khamis (11am - 11pm).
Bukan tu je, jenis-jenis siput yang ada di sini pun banyak. Selalunya penulis akan nampak restoran makanan laut jual kerang dan siput macam retak seribu atau lala, belitung, kepah, kupang, buluh, tiram dan lokan. Tapi di sini ada juga kekapis atau scallop, siput gasing, kemudi dan sikad-sikad.
Lebih menarik lagi, kadang-kadang di Warung Dalam Kenangan ada promosi ketam nipah percuma bergantung pada syarat yang ditetapkan pada waktu tu — contohnya pembelian lauk tertentu atau pembelian melebihi harga atau berat tertentu.
BERMACAM JENIS SIPUT
Secara peribadi, penulis lebih sukakan lala, scallop dan belitung berbanding kerang dan siput-siput lain yang penulis senaraikan tadi. Tapi penulis tak cuba lala dan belitung sebab dah biasa makan.
Yang penulis cuba ialah ketam nipah, kerang, siput sikad-sikad dan scallop. Agak susah sebenarnya nak makan siput sikad-sikad, sebab isinya perlu dikorek menggunakan objek yang panjang macam pencungkil gigi.
SCALLOP SEBAGAI SATU DELICACY
Untuk kerang, penulis lebih suka yang dibakar dan isinya dimakan bersama sos thai seperti nam jim yang sedikit masam. Cara makan ketam pula agak teknikal dan sedikit renyah. Jadi secara keseluruhan penulis lebih sukakan scallop.
Kalau datang ke sini, wajib cuba scallop. Rasa isi scallop sangat berbeza dengan kerang, lebih kurang sama macam lala cuma otot aduktornya — bahagian putih yang menghubungkan isi dengan cengkerang — lebih besar dan tebal. Di barat, scallop adalah satu delicacy — otot aduktornya dimasak bersama mentega dan dihidang bersama lemon.
BOLEH DIMAKAN BERSAMA NASI ATAU DIRATAH
Kesemua lauk tadi — dimasak lemak dan telur masin — boleh diratah atau dimakan dengan nasi. Rasa kuah masak lemaknya sedap dan berlemak tapi tak pedas, berbeza dengan di Negeri Sembilan.
Penulis cuma mampu ratah, sebab masih kenyang makan keropok lekor dan nasi dagang di restoran Nasi Dagang Atas Tol. Tambah pula, kena simpan perut untuk makan steak tomahawk di TC Steak House pada waktu malam hari yang sama.
Secara keseluruhannya sedap. Cuma ketam nipah percuma yang penulis dapat hanya direbus dan isinya sedikit kecut — mungkin ketam nipah yang tak habis dijual hari-hari sebelum. Elok juga diberikan percuma daripada dibiarkan rosak dan dibuang, bolehlah makan dengan kuah lemak tadi.
Waktu tengah hari lauk dihidang secara bufet macam di kedai nasi campur. Pada waktu malam pula, restoran beropasi seperti restoran makanan laut atau ikan bakar, boleh pilih ikan mentah dan pesan masakan panas macam nasi goreng dan tomyam.
Disebabkan musim hujan, restoran tak berapa ramai walaupun datang pada hari Ahad. Luar daripada musim hujan mesti lebih ramai, tapi jangan risau sebab ada banyak lagi tempat duduk di bahagian luar restoran.
Di sini ada juga udang dan sotong celup tepung, tapi dua menu ni penulis akan makan di warung Suhaimie Celup Tepung, Pantai Penarik esoknya.
Post a Comment