ASB dan Bumiputera: Kepentingan Simpanan dan Pelaburan Dalam Menghadapi Kecemasan dan Inflasi

Literasi kewangan atau seni memahami kepenggunaan wang adalah satu kemahiran wajib yang seharusnya diperkenalkan dan diketengahkan seawal usia yang membenarkan seseorang memegang wang dan dipertanggungjawabkan dengan wang — seawal mula bersekolah.

Inilah apa yang penulis rasa penting untuk diketengahkan setelah selesai membaca tiga buku terbitan Write & Brave yang dibeli daripada Patriot Publishing ketika promosi secara kombo pada harga tak sampai RM100, dan satu lagi buku terbitan Iman Publication yang dipinjamkan kepada penulis.

Keempat-empat buku tersebut ialah The Psychology of Money oleh Morgan Housel yang diterjemahkan oleh Kauthar Rozmal, Enam Angka Menjelang Disember oleh Azraei Muhamad, Labur Santai oleh Kauthar Rozmal dan Adib Yazid, dan Bergaji & Pokai oleh Suraya Zainudin.

Walaupun ada beberapa kesalahan kecil pada ejaan dan perkiraan, serta terjemahan yang — pada penulis — sedikit kekok dibaca kerana masih mengekalkan gaya bahasa inggeris, ada beberapa perkara penting yang penulis rasa perlu diberikan lebih penekanan.

Ada dua perkara penting dalam dunia kewangan, iaitu simpanan dan pelaburan — kedua-duanya memerlukan disiplin. Musuh bagi simpanan ialah inflasi, manakala rakan bagi pelaburan pula ialah masa.

SUSUT NILAI MATA WANG

Akibat daripada inflasi, wang akan mengalami susut nilai. Suatu masa dahulu dengan RM1 kita boleh beli 5 pek Super Ring, tapi sekarang cuma boleh beli 2 pek — nilai RM1 masa sekarang bersamaan 40 sen masa dulu.

Untuk membeli bilangan pek yang sama sekarang kita memerlukan sebanyak RM2.50 — tambahan sebanyak RM1.50 daripada RM1. Walaupun secara purata kadar inflasi tahunan terekod ialah 2.21% untuk 20 tahun yang lepas, inflasi yang dirasakan adalah jauh lebih tinggi.

\[FV=PV\left(1+\frac{i_{\text{ret}}}{n}\right)^{nt}\]
Formula 1: Nilai Masa Wang dan Faedah Kompaun

\(FV=\) jumlah pada masa hadapan.
\(PV=\) jumlah pada masa sekarang.
\(t=\) tempoh masa.
\(i_{\text{ret}}=\) kadar faedah atau pulangan tahunan.
\(n=\) bilangan pengkompaunan dalam masa setahun.


Dalam kes Super Ring tadi, dalam 20 tahun harga 5 pek daripada RM1 naik kepada RM2.50. Jadi, kadar inflasi tahunan harga Super Ring ialah 4.68% — dua kali lebih tinggi berbanding 2.21%.

Mengikut Rule of 72 atau Peraturan 72, kadar inflasi tahunan sebanyak 2.21% bermakna harga barang dianggarkan mengalami kenaikan sekali ganda (contohnya daripada RM1 menjadi RM2) selepas 32 tahun 6 bulan.

\[t\approx\frac{72}{i}\]
Formula 2: Peraturan 72

\(t=\) tempoh masa yang diambil sesuatu jumlah untuk meningkat sekali ganda.
\(i=\) kadar pertumbuhan tahunan.


Namun, realitinya berbeza. Dalam 20 tahun yang lepas, harga burger naik daripada RM1.50 kepada RM3.00, harga roti canai naik daripada 60 sen kepada RM1.20, dan harga nasi lemak bungkus pula naik daripada 50 sen kepada RM1.

Malah banyak lagi perkhidmatan dan barangan lain telah mengalami kenaikan harga sama atau melebihi sekali ganda. Jadi kalau pendapatan kita sepanjang 20 tahun yang lepas tak naik sekali ganda, ini bermakna kuasa membeli kita semakin berkurangan.

Untuk mengekalkan kuasa membeli, pendapatan kita seharusnya naik seiring atau melebihi kadar inflasi pada setiap tahun.

KENAPA PERLU MENYIMPAN?

Baki wang yang kita ada selepas ditolak segala perbelanjaan daripada pendapatan, nak simpan atau labur? Bergantung pada objektif dan keperluan, tapi sebolehnya ialah menyimpan sebelum melabur.

Simpanan mempunyai tahap kecairan yang tinggi, bermakna ia sangat mudah ditukarkan kepada tunai. Simpanan boleh dilakukan di bawah bantal ataupun di bank menerusi akaun simpanan atau akaun simpanan tetap.

Tahap kecairan yang tinggi adalah penting kalau kita memerlukan tunai dalam keadaan kecemasan seperti kemalangan, baik pulih kenderaan, merawat haiwan peliharaan yang sakit, menghadapi bencana alam, gaji tertunggak, dan hilang pekerjaan.

Apa bezanya menyimpan di bawah bantal, akaun simpanan, dan akaun simpanan tetap atau fixed deposit? Simpanan di bank mempunyai kadar faedah atau keuntungan yang dapat mengurangkan kesan inflasi terhadap simpanan.

Kalau simpan RM1000 di bawah bantal, selepas setahun masih RM1000. Kalau simpan di akaun simpanan dengan kadar faedah atau keuntungan sebanyak 0.25% p.a. — per annum atau setiap tahun — selepas setahun akan jadi RM1002.50.

Akaun simpanan tetap pula selalunya memberikan pulangan yang lebih tinggi, dengan syarat simpanan tak boleh dikeluarkan sehingga tempoh matang — lebih lama tempoh matang selalunya lebih banyak pulangan.

Contohnya, kalau kita menyimpan dalam akaun simpanan tetap yang memberikan kadar keuntungan sebanyak 2.8% p.a. untuk simpanan selama setahun. RM1000 yang disimpan akan menjadi RM1028 selepas setahun.

Cumanya, kita akan dikenakan penalti kalau wang dikeluarkan daripada akaun simpanan tetap sebelum tempoh matang — sama ada pulangan dikurangkan ataupun tak ada langsung.

KENAPA PERLU MELABUR?

Apabila simpanan kita sudah mencecah tiga ke enam kali perbelanjaan bulanan — atau lebih baik lagi tiga ke enam kali pendapatan bulanan semasa, bolehlah mula berfikir dengan lebih serius tentang pelaburan.

Tujuan utama pelaburan dilakukan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Berbanding simpanan, pelaburan adalah sesuatu yang lebih luas dan kompleks, dan memerlukan persediaan yang lebih daripada segi kewangan dan emosi.

Dalam dunia pelaburan, risiko dan ganjaran berjalan seiring kerana pelaburan berisiko tinggi akan memberikan peluang ganjaran yang tinggi. Kata kuncinya ialah peluang, kerana ganjaran bukanlah satu jaminan.

Peraturan emasnya ialah "jangan laburkan wang yang kita tak sanggup hilangkan", supaya kita tak mudah panik apabila pelaburan tak jadi seperti yang dirancang dan terpaksa keluarkan pelaburan dalam keadaan rugi atas sebab-sebab kecemasan.

Namun, ada juga jenis, instrumen atau alat pelaburan berisiko rendah di mana peraturan emas tadi tak terpakai. Contoh paling mudah ialah KWSP/EPF dan unit amanah seperti ASB atau Amanah Saham Bumiputera.

Keuntungan pelaburan ASB adalah berbentuk dividen yang akan dilaburkan semula ke dalam ASB secara automatik. Dividen tersebut menyebabkan bilangan unit ASB yang kita ada bertambah setiap tahun.

Keunikan ASB berbanding alat pelaburan lain terletak pada harga sahamnya yang ditetapkan — dan tak akan berubah — pada harga RM1 seunit. Bermaksud, harga setiap unit saham yang kita ada tak akan berkurang — 0% risiko.

Rendah risiko pelaburan, rendah jugalah pulangannya. Pulangan pelaburan ASB sepanjang 10 tahun yang lepas adalah antara 4.25% ke 8.70% setahun, tetapi lebih tinggi berbanding pulangan yang diberikan akaun simpanan tetap.

PULANGAN SEBELUM DAN SELEPAS INFLASI

Walaupun pulangan yang kita dapat cumalah 4.25% atau 1.75% selepas zakat bagi yang cukup nisab, kalau dibiarkan tak diusik pelaburan RM1000 yang kita lakukan — mengandaikan pulangan minima 1.75% setiap tahun — akan bernilai sekurang-kurangnya RM1682.80 selepas 30 tahun.

\[i_{\text{inf}}=\left(\frac{CPI_{x+n}}{CPI_x}\right)^{\frac{1}{n}}-1\]
Formula 3: Kadar Purata Inflasi

\(i_{\text{inf}}=\) Kadar purata inflasi tahunan.
\(n=\) bilangan tahun.
\(CPI_{x+n}=\) Indeks harga pengguna pada bulan yang sama selepas \(n\) tahun.
\(CPI_x=\) Indeks harga pengguna pada tahun permulaan.


Macam mana kalau 40 tahun? Selepas 40 tahun, pelaburan RM1000 tadi akan menjadi sekurang-kurangnya RM2001.60 — kenaikan sekali ganda. Tapi ingat, objektif utama pelaburan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Keuntungan di sini bermaksud pulangan melebihi kadar inflasi. Untung ke kalau kita dapat pulangan sebanyak 1.75% tetapi kadar inflasi sekitar 2%?

Daripada RM1000 menjadi RM2001.60, nampak macam banyak kenaikan sekali ganda tu. Tapi, agak-agak barang yang berharga RM1000 sekarang akan dijual pada harga berapa pada 40 tahun akan datang?

\[i_{\text{fin}}=\frac{1+i_{\text{ret}}}{1+i_{\text{inf}}}-1\]
Formula 4: Pulangan Selepas Diselaraskan Dengan Inflasi

\(i_{\text{fin}}=\) Pulangan sebenar selepas inflasi.
\(i_{\text{ret}}=\) Kadar pulangan tahunan.
\(i_{\text{inf}}=\) Kadar inflasi tahunan.


Ini senario kes terburuk berdasarkan data 10 tahun yang lepas. Tak jadi kaya malah semakin miskin, tapi lebih baik daripada tak melabur langsung. Realitinya adalah — sekurang-kurangnya untuk 10 tahun yang lepas — lebih baik. Jom kita tengok peratusan pulangan ASB berdasarkan dividen dan bonus sepanjang 10 tahun yang lepas:

Tahun Pulangan Inflasi Pulangan Selepas Inflasi
2023 5.25 1.32 3.88
2022 4.60 3.78 0.79
2021 5.00 3.23 1.71
2020 4.25 -1.39 5.72
2019 5.50 0.99 4.46
2018 7.00 0.17 6.82
2017 8.25 3.51 4.58
2016 7.25 1.74 5.41
2015 7.75 2.68 4.93
2014 8.50 2.66 5.66
Kiraan inflasi menggunakan indeks harga pengguna pada bulan Disember setiap tahun.

Pulangan selepas diselaraskan dengan inflasi adalah lebih rendah kecuali pada tahun dengan inflasi negatif. Inilah pulangan sebenar pelaburan kita, kiraan yang sama juga boleh digunakan untuk alat pelaburan lain. Pulangan adalah lebih rendah selepas dizakat, untuk kiraan zakat terkini boleh rujuk lembaga zakat masing-masing.

Untuk Zakat Selangor, menggunakan kiraan terkini; zakat yang dikenakan ialah 2.5% bagi keseluruhan pegangan, dividen dan bonus ASB selepas daripada tahun 2021 — pulangan ASB selepas dizakat dan diselaraskan dengan inflasi pada tahun 2023, 2022 dan 2021 masing-masing ialah 1.42%, -1.61% dan -0.71%.

Inflasi tahunan atau bulanan boleh disemak di laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia. Indeks harga pengguna akan dikemas kini dan diterbitkan pada setiap bulan. Untuk indeks harga pengguna di penghujung tahun atau secara purata sepanjang tahun sejak 1980 boleh ke laman sesawang Tabung Kewangan Antarabangsa.

PELABURAN ASB SEBAGAI CARA MENYIMPAN

Walaupun potensi pulangannya tak setinggi alat pelaburan lain seperti saham dan hartanah, bagi penulis ASB ialah pelaburan berisiko rendah yang sangat sesuai untuk mereka yang bergelar bumiputera dan baru belajar untuk melabur.

Pelaburan ASB boleh digunakan sebagai satu kaedah untuk kita menyimpan — dalam masa yang sama melindungi simpanan kita daripada inflasi — kerana sifatnya yang sifar risiko. Beberapa peratus daripada simpanan yang dilakukan setiap bulan boleh dilaburkan ke dalam ASB.

Cuma tahap kecairan pelaburan ASB adalah lebih rendah berbanding simpanan. Transaksi dan pengeluaran tunai menggunakan akaun simpanan adalah lebih mudah. Pelaburan ASB pula perlu dikeluarkan sebelum boleh digunakan, itupun cuma boleh dilakukan pada hari bekerja.

Jadi pelaburan ASB lebih sesuai dijadikan tempat simpanan untuk perkara-perkara bukan kecemasan dan tak memerlukan tunai secara segera, contohnya simpanan untuk bayaran muka membeli kereta atau rumah, perkahwinan, persaraan atau pendidikan.

BOLEH KE MENJADI KAYA DENGAN PELABURAN?

ASB tak akan menjadikan kita kaya, tapi sekurang-kurangnya kita terlindung daripada inflasi. Nak kaya dengan melabur, bukan di ASB. Bermodalkan RM10,000, dalam tempoh 30 tahun pulangan purata tahunan pelaburan kita perlu melebihi 15%.

Dengan pulangan tahunan sebanyak 15%, RM10,000 tadi akan menjadi RM662,117.72 selepas 30 tahun. Tapi kalau masa yang kita ada cuma 20 tahun, pelaburan tadi cuma akan naik sehingga RM163.665.37 — ingat, masa ialah rakan kepada pelaburan.

Kenapa 15%? Kalau pulangan kita hanyalah 10% pada setiap tahun, RM10,000 yang dilaburkan akan menjadi RM174,494.02 selepas 30 tahun — nak beli rumah pun tak lepas. Kalau 20 tahun? Cuma RM67,275 — bolehlah beli sebiji kereta.

Jadi, kalau nak kaya dengan pelaburan kita perlukan lebih banyak modal atau masa. Disebabkan masa yang terbuang tak boleh dibeli semula, kita mungkin tak ada pilihan lain selain mengumpulkan modal yang lebih banyak.

Tapi, kalau kita dah ada simpanan atau modal pelaburan yang banyak sehingga mencecah enam angka bukankah kita dah dikira kaya? Ironinya, untuk menjadi kaya dengan pelaburan, kita perlu terlebih dahulu menjadi kaya.

Pelaburan bukanlah skim cepat kaya. Kalau kita melabur hari ni untuk dapatkan pulangan purata sebanyak gaji minima atau RM1,500 sebulan pada tahun depan, kita memerlukan modal sebanyak RM120,000 dengan kadar pulangan pelaburan sebanyak 15%.

Ringkasnya, nak menjadi kaya dengan pelaburan memerlukan masa dan tumpuan yang lama. Melainkan kita melabur — atau lebih tepat lagi berdagang — di pasaran saham dengan pulangan sebanyak 10% ke 15% sebulan. Bagi penulis, tak realistik melainkan dengan bantuan seperti hutang atau leverage yang menjadikan risiko pelaburan kita meningkat berkali ganda.

Risiko yang macam mana? Andaikan kita mempunyai modal sebanyak RM10,000 tetapi hendak melabur sebanyak RM100,000, kita perlu meminjam sebanyak RM90,000. Disebabkan duit yang kita ada cumalah RM10,000 itulah kerugian maksimum yang kita boleh tanggung.

Harga pasaran saham, contohnya; adalah tidak menentu, penurunan sebanyak 1% bagi pelaburan RM100,000 ialah RM1,000 — bersamaan dengan 10% daripada modal asal kita. Maksudnya, risiko kita dah meningkat 10 kali ganda.

Jadi sebelum memulakan sebarang pelaburan, pastikan objektif kita jelas, dan jangkaan kita lebih realistik dan mampu dicapai. Jangan disebabkan oleh sikap tamak kita kehilangan semua yang kita dah usahakan.

Kalau rasa nak berhutang sangat mungkin boleh pertimbangkan untuk ambil pinjaman atau pembiayaan ASB.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top