Mi Goreng Daging Dengan Sambal Sotong di Warung Mee Bilal Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang

Mi goreng menggunakan mi segera di warung Mee Bilal
Kalau ke Pulau Pinang, akan jumpa banyak gerai yang menyediakan mi goreng mamak. Antara dua yang penulis suka ialah mi goreng daging dan sotong — rasa kedua-duanya sedikit berbeza.

Tapi jangan ingat cuma mamak je pandai goreng mi macam ni, orang melayu pun pandai — lebih lagi mi goreng daging. Boleh cuba di Mee Kuah Pak Sharif dan Pak Man Mee Kuah Ketam To'kun.

WARUNG MEE BILAL POKOK SENA

Menu warung Mee Bilal Pokok Sena
Tapi bukan dua kedai tadi yang penulis nak kongsikan, tapi sebuah warung di tepi Jalan Pokok Sena, Kepala Batas — warung Mee Bilal. Penulis baru sedar kewujudan warung ni dalam beberapa tahun yang lepas.


Alamat: Jalan Utama Pokok Sena, Kampung Banggul, 13220 Kepala Batas, Pulau Pinang.
Waktu: Sabtu - Khamis (12pm - 6:30pm).

Jangan tersilap, Pokok Sena yang penulis sebutkan ni terletak di Kepala Batas, di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Bukannya daerah Pokok Sena di negeri Kedah.

Kalau datang ke Pulau Pinang dari arah Kedah melalui Pokok Sena, akan nampak warung Mee Bilal di sebelah kiri. Cuma 200 meter je dari Petronas Pokok Sena, dari sini dah boleh mula perlahankan kereta.

ANTARA MI, KUETIAU, DAN MI SEGERA

Kuetiau goreng bersama telur mata dan sambal sotong
Di sini ada pilihan antara mi, kuetiau, bihun dan mi segera. Semua jenis mi goreng, walaupun untuk pesanan biasa; akan ada daging. Kalau special, akan ada telur mata dan sambal sotong.

Cuma, kali terakhir ke sini penulis hanya pesan mi segera dan kuetiau goreng sebab sebelum ni dah pernah cuba mi goreng. Walaupun bahan yang digunakan sama, tekstur antara mi, kuetiau dan mi segera adalah berbeza.

Rasa tak terlalu masin, sedikit manis, sotong dan daging tak liat, cucur yang digunakan pun sedap. Saiz hidangan pula besar, boleh dimakan sehingga dua orang untuk satu pesanan.

LEBIH SUKAKAN MI GORENG

Mi segera goreng
Antara kuetiau dan mi segera, penulis lebih sukakan kuetiau walaupun teksturnya lebih lembik. Antara kuetiau dan mi pula, untuk masakan macam ni lebih sukakan mi. Ada rasa yang penulis kurang gemar dari mi segera.

Selain mi goreng, ada juga pasembor dan mi rebus. Ikutkan pengalaman, kalau kuah mi rebusnya sedap mi gorengnya pun akan sedap juga — sama macam di dua buah warung penulis kongsikan tadi.

Segelas teh ais
Kalau datang lagi selepas ni ke warung Mee Bilal penulis akan pesan mi goreng je. Harga mi goreng bermula daripada RM6 untuk biasa sehingga RM9 untuk special. Jangan lupa, yang biasa pun ada daging.

Bagi penulis, harganya berbaloi sebab ada daging dan cucur. Lagipun, harga minumannya cuma antara RM1.50 ke RM3, air suam dan ais kosong pula boleh minum secara percuma.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top