Chicken Chop dan Nasi Goreng Kencur di Laman Kopi, Jalan Bukit Cherakah
Siapa sangka, kedai kopi artisan yang dulunya cuma ada di bandar dan kawasan perumahan elite sekarang dah ada di kawasan kampung, tengah bendang dan berhadapan ladang kelapa sawit.
Logiknya, apa-apa yang bermula dan trending di bandar akan ada yang bawa ke kampung juga. Jadi tak peliklah kalau di sebuah tempat yang jalannya agak gelap pun ada kedai menjual salted caramel latte.
Ada satu jalan yang penulis gelarkan sebagai jalan rollercoaster sebab laluannya yang lurus tetapi berbukit — Jalan Bukit Cherakah. Dikenali juga sebagai Dragon's Back oleh sebahagian penunggang basikal.
MEDAN SELERA LAMAN KOPI
Tetapi, di jalan yang sedikit gelap pada waktu malam dan berada di tengah-tengah antara kawasan kampung dan ladang kelapa sawit ni ada juga sebuah tempat makan atau medan selera yang dikenali sebagai Laman Kopi.
Untuk sebuah tempat makan yang terletak di sebuah kawasan yang, bagi penulis; sedikit terpencil, ramai juga orang yang datang makan dan minum di sini. Dari meja makannya pun dah boleh bau aroma biji kopi yang sedang dikisar.
Alamat: Jalan Bukit Cherakah, Meru, 41050 Klang, Selangor.
Waktu: Selasa - Ahad (6pm - 12am).
Waktu: Selasa - Ahad (6pm - 12am).
Selain daripada kopi, antara tarikan lain yang ada disini ialah Chicken Chop dan Nasi Goreng Kencur. Penulis perasan, dari pemerhatian penulis selepas dua kali datang ke sini; kedua-dua menu ni antara yang banyak dipesan.
NASI GORENG KENCUR
Pertama kali penulis tengok orang jual nasi goreng kencur, apa tu kencur? Kencur dan cekur adalah dua tumbuhan yang sama dalam keluarga halia. Penulis pernah dengar kecur, tapi belum pernah dengar kencur.
Nasi goreng dimasak bersama ubi kencur, buatkan rasanya sedikit berherba dan berhalia. Nak macam rasa lada hitam pun ada, sedikit pedas. Nasinya sedap, tapi rasa ubi kencur yang seakan-akan ubat dari kedai perubatan cina mungkin tak kena dengan citarasa ramai orang.
Walaubagaimanapun, ada khasiatnya ubi kencur ni. Menurut Kementerian Kesehatan Republik Indonesia, antara khasiat ubi kencur ialah mengurangkan sakit gigi, menurunkan demam, dan meredakan sakit perut.
CHICKEN CHOP
Kali terakhir penulis ke sini, memang ramai yang pesan chicken chop. Penulis boleh faham kenapa selepas penulis sendiri cuba chicken chop di sini — saiz, tepung dan sos.
Walaupun kurang gemar dengan jenis kentang goreng yang digunakan, penulis memang sukakan rasa tepung ayam dan sos yang digunakan. Sos yang digunakan rasa macam kuah yang diletakkan pada kentang putar KFC.
Saiz ayamnya pun besar dan tebal, memang puas hati. Cuma nak sentuh tentang kentang goreng tadi, penulis syorkan untuk guna kentang goreng yang lebih tebal — kentang yang nipis lebih mudah kering dan keras apabila sejuk.
LATTE
Walaupun dah malam, rasa macam tak kena kalau datang ke Laman Kopi tapi tak pesan kopi. Sebagai orang yang sukakan kopi susu, penulis lebih cenderung untuk pesan latte berbanding americano.
Latte artnya bukanlah yang terbaik, tapi nampak usahanya. Baunya wangi — tak ada bau nescafe 3-in-1 — dan rasanya tak terlalu pahit, berbeza dengan kopi saigon yang menggunakan biji kopi robusta.
Kepada yang minum kopi tanpa gula, di sini gula akan disediakan secara berasingan untuk setiap pesanan kopi panas kecuali untuk kopi yang ada perkataan "caramel".
MATCHA FRAPPE
Selain kopi, di sini ada juga mocktail dan frappe. Antara matcha, mocha dan chocolate — tiga perisa frappe yang penulis pernah cuba — penulis paling sukakan matcha.
Rasa matcha tak terlalu kuat, jadi rasanya lebih manis berbanding pahit — hampir tak ada rasa pahit daripada matcha. Persembahannya menarik, boleh nampak garisan-garisan hijau matcha pada cawannya yang besar.
CHAR KUETIAU, SATE DAN LAIN-LAIN.
Agak keberatan sebenarnya nak cuba char kuetiau atau char kue teow. Dari pengalaman penuls, sangat-sangat susah nak jumpa char kuetiau basah yang sedap luar dari Pulau Pinang.
Yang penulis cuba ni, bolehlah makan. Ada dua ekor udang, telur pun dimasak elok pada kuah dan tak bergumpal, cuma kicap yang digunakan boleh diperbaiki lagi. Tetap tak boleh lawan char kuetiau basah di sekitar pekan Bukit Mertajam.
Sate ayam di sini sedap juga, rasanya lebih berkunyit. Bukannya manis macam di kedai Satay Pak Wan di Saujana Utama atau Sate Famili di meru. Kuahnya pun sedap juga, cuma bawang tu kalau boleh janganlah dipotong terlalu kecil.
Ada lagi makanan lain di sini, antaranya mi rebus, sup kambing, burger ayam crispy, nachos dan shawarma. Cuma, di sini tak ada nasi ayam dan mi sizzling — dua makanan yang penulis suka makan di medan selera.
Kalau datang ke sini wajib cuba kopi. Untuk makan pula penulis syorkan untuk cuba chicken chop dan nasi goreng kencur — boleh cuba cuma tak jamin akan suka rasa ubi kencur.
Post a Comment