Aiskrim Sea Salt × Valrhona Chocolate dan Bubble Waffle Bersama Aiskrim Taro Pistachio di Urban Artisan

Aiskrim soft serve menggunakan kon Urban Artisan
Hujung tahun di Malaysia memang sinonim dengan hujan, namun ada masanya cuaca akan panas juga. Di Malaysia, musim hujan tk bermakna tak ada panas, dan musim panas tak bermakna tak ada hujan.

Ketika sejuk mesti kita nak makan sesuatu yang panas macam sup atau bubur. Berlawanan pula keadaannya apabila panas, mesti kita nakkan sesuatu yang sejuk seperti ais kacang, cendol atau aiskrim.

Bercakap tentang aiskrim, ada sebuah kedai yang penulis dah lama nak pergi, pertama sebab pilihan perisa aiskrimnya yang melangkaui vanila dan coklat, dan kedua sebab gabungan warna aiskrimnya yang memikat.

URBAN ARTISAN CAFE

Laluan masuk ke Urban Artisan
Urban Artisan Cafe, mungkin ramai dah pernah dengar dan pergi ke kedai aiskrim yang terletak di Georgetown ni — di Google Maps ada lebih daripada 1300 penilai dengan penilaian purata melebihi 4 bintang.

Mencari parkir di Georgetown sangatlah mencabar, mujur ada sebuah tapak parkir persendirian 150 meter dari kafe Urban Artisan. Bayaran parkir cuma RM5 sekali masuk, tak pasti kalau harga berubah mengikut hari dan waktu.


Alamat: 122-C, Jalan Burma, George Town, 10050 George Town, Pulau Pinang.
Waktu: Isnin - Ahad (1pm - 9pm).

Sebelum datang ke sini korang kena jelas bahawa Urban Artisan Cafe bukanlah pemegang sijil halal, tapi ada dinyatakan yang aiskrim di sini adalah tanpa alkohol dan tanpa lemak khinzir. Menurut KL Foodie pula, ia dikategorikan sebagai muslim friendly.

Pelanggan di kaunter pesanan aiskrim
Di sini, perisa dan gabungan perisa aiskrim yang disediakan secara "soft serve" menggunakan kon atau cawan berubah-ubah mengikut minggu. Kalau nak tahu perisa apa yang ada, boleh ke laman Instagram urbanartisan_official sebelum ke sini.

SEA SALT × VALRHONA CHOCOLATE

Aiskrim gabungan perisa sea salt dan coklat Valrhona
Cumanya, waktu penulis ke sini tak ada pula sebarang kemaskini untuk perisa pada minggu tu. Perisa yang disediakan waktu tu adalah gabungan Sea Salt bersama Valrhona Chocolate, dan juga Matcha Green Tea bersama Pure Lychee.

Malangnya, dua perisa yang penulis nak cuba — sea salt dan matcha green tea — tak dapat digabungkan. Jadi penulis pun pesanlah gabungan yang pertama tadi, perisa garam laut dan coklat Valrhona — sebuah jenama coklat dari Perancis.

Bahagian aisrkim berperisa garam laut
Aiskrim dengan gabungan warna biru coklat ni mempunyai rasa yang masin dan berlemak, dengan rasa susu — bukan vanila — yang lebih kuat berbanding aiskrim yang penulis beli di stesen minyak dan kedai runcit.

Rasa aiskrimnya, secara keseluruhan; tak terlalu manis. Rasa aiskrim garam lautnya pula jauh lebih baik berbanding Sea Salt McFlurry yang penulis cuba beberapa tahun lepas.

PANDAN BUBBLE WAFFLE WITH TARO ICE CREAM AND PISTACHIO

Wafel pandan bersama aiskrim keladi dan taburan pistachio
Ada juga aiskrim yang disediakan bersama waffle, jadi penulis pun ambil kesempatan untuk cuba. Tambah pula, dah lama — mungkin juga tak pernah — penulis makan wafel telur gaya Hong Kong atau bubble waffle.

Cumanya, kalau boleh penulis taknaklah rasa yang terlalu manis jadi penulis tolak ketepi menu yang gunakan banyak sos coklat atau karamel, ataupun biskut seperti oreo dan lotus biscoff.

End up, penulis pesan salah satu daripada dua menu bubble waffle baharu di Urban Artisan — Taro Ice Cream and Pistachio — walaupun rupanya tak semegah menu lain yang diletakkan kitkat dan kinder bueno.

Ruang makan di Urban Artisan
Keladi dan pistachio, semestinya pilihan yang lebih sihat bukan? Belum pernah dengar orang kata kitkat lebih sihat berbanding pistachio. Tambah pula, wafelnya berperisa pandan — satu-satunya menu dengan wafel pandan buat masa ni.

Berdasarkan kepadatan aiskrim yang penulis ukur melalui rintangan yang dirasakan ketika mencedok aiskrim menggunakan sudu, aiskrim yang digunakan pada wafel berbeza dengan aiskrim soft serve tadi.

Wafel bersama aiskrim
Nostalgia betul, dulu selalu beli aiskrim kon berperisa keladi — waktu tu cuma 50 sen — dari pakcik motosikal yang lalu di depan rumah atau menunggu di depan sekolah.

Cuma rasa keladi di sini lebih kuat, hampir tenggelam rasa pistachio dan krim putar. Bagi penulis, bahagian paling best pada aiskrim ni ialah wafelnya yang rangup di bahagian luar — dalamnya pula lembut.

Rasa telur pada wafel lebih kuat berbanding wafel yang penulis biasa beli dari kedai yang menjual jagung cawan seperti Leomag dan Daily Fresh. Selepas dua tiga suap, penulis perasan rasanya seperti kaya ball.

HARGA AISKRIM ARTISANAL

Aiskrim dalam tub
Harga aiskrim soft serve di sini lebih kurang harga aiskrim artisanal di tempat lain seperti aiskrim satu cedok di Inside Scoop atau aiskrim signature klasik di Sangkaya.

Atas nama eksplorasi gastronomi, penulis tak kisah keluarkan RM34.80 untuk kedua-dua aiskrim hidangan lembut dan wafel gelembung. Tapi tak bolehlah selalu, sekali-sekala tu oklah.

Ruang atas hanya untuk pekerja
Tak banyak tempat yang penulis dapat pergi kalau ke sini, tak macam di Chowrasta. Ada banyak kedai di sepanjang Jalan Nagor atau Dataran Nagore, tapi cuma kedai burger The BRGR je yang penulis tahu berstatus muslim friendly.

Buat masa ni, Urban Artisan cuma ada dua cawangan — satu lagi di dalam kedai The BRGR cawangan Temasya Glenmarie, Shah Alam. Penulis syak pemilik Urban Artisan dan The BRGR ialah syarikat yang sama.

Satu lagi, dalam perjalanan ke pasaraya Giant — 150 meter dari Urban Artisan — ada nampak sebuah kedai baju terpakai Fujiyama Jeans & Tokyo No. 18. Kepada yang sukakan barang-barang vintaj dan klasik, penulis syorkan sangat untuk singgah ke sini.

azizinet00 | Hari3aku

Post a Comment

To Top