Transaksi DuitNow QR Kini Dikenakan Caj MDR: Kadar dan Kesannya Kepada Peniaga

Caj MDR untuk transaksi DuitNow QR
Tak lama selepas tularnya isu berkenaan caj transaksi yang bakal dikenakan bermula 1 November 2023 untuk transaksi melibatkan DuitNow QR dan kad kredit, PayNet melalui kenyataannya bertarikh 28 September 2023 telah menjelaskan beberapa perkara.

Pertama sekali, caj tersebut akan dikenakan bermula 1 Oktober 2023, bukannya 1 November 2023 seperti yang tular sebelum ni. Maksudnya, pada waktu blog ni ditulis caj tersebut sudah mula dikenakan.

Dua Jenis Transaksi DuitNow QR

Antara perkara yang dijelaskan lagi ialah berkenaan caj transaksi yang dikenakan untuk DuitNow QR (DNQR). Transaksi ni terbahagi kepada dua, pertamanya melibatkan transaksi antara pelanggan dan peniaga. Keduanya, melibatkan antara dua pengguna QR.

Untuk transaksi jenis pertama atau customer-to-merchant, caj MDR atau Merchant Discount Rate akan dikenakan kepada peniaga berdasarkan peratusan yang akan ditetapkan daripada jumlah transaksi.

Untuk transaksi jenis kedua atau peer-to-peer pula, caj transaksi yang berbeza akan dikenakan sebanyak RM0.50 atau 50 sen hanya untuk transaksi melebihi nilai RM5000 — kurang daripada 0.01%.

Kadar Caj MDR Untuk Transaksi DuitNow QR

Caj MDR yang akan dikenakan untuk transaksi antara pelanggan dan peniaga adalah seperti yang ditetapkan oleh bank. Buat masa ni, caj yang dikenakan ialah 0.25% untuk transaksi DNQR menggunakan akaun simpanan, dan 0.5% bagi yang melibatkan kad kredit.

Namun, ada beberapa bank yang akan terus mengecualikan, mengetepikan atau menyerap caj MDR sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan seperti Public Bank, CIMB, Maybank, Bank Islam dan AmBank.

Untuk maklumat lebih lanjut dan lebih tepat tentang caj MDR yang bakal dikenakan kepada peniaga dan pengguna DuitNow QR, boleh semak dengan bank masing-masing.

Kesan Caj MDR Kepada Peniaga dan Pelanggan

Berita ni sepatutnya tak memberi kesan kepada pembayaran menggunakan kad debit, sebab caj MDR untuk pembayaran tanpa tunai menggunakan terminal telah pun dikenakan kepada peniaga sejak dulu.

Walaupun caj sebanyak 0.25% jauh lebih rendah berbanding caj dan cukai perkhidmatan, tak dinafikan ia akan memberi kesan kepada peniaga kecil dengan margin keuntungan yang rendah.

Sebagai contoh, kalau kita membeli karipap berharga RM2 menggunakan DNQR peniaga akan dikenakan caj sebanyak 0.5 sen. Kalau untung daripada jualan ialah 20 sen, maknanya caj tersebut bersamaan 2.5% daripada keuntungan.

Bagi penulis, caj yang dikenakan tidaklah terlalu tinggi sehinggakan peniaga perlu menaikkan harga makanan secara mendadak. Kalau peniaga hendak meletakkan caj kepada peniaga sekalipun, cuma perlu naikkan harga jualan antara 0.25% dan 0.26% untuk kekalkan margin keuntungan sebelum ni.

Cumanya, kalau caj MDR yang dikenakan kepada peniaga dikatakan kecil, logik yang sama boleh digunakan kepada bank untuk menyerap caj tersebut khususnya untuk peniaga mikro atau kecil yang memenuhi beberapa kriteria yang boleh ditetapkan.

Penulis harap caj MDR yang dikenakan tak membuatkan ramai peniaga berhenti menggunakan DuitNow QR sebab manfaat dan kemudahan yang peniaga dapat daripada servis tersebut bukanlah sekadar, malah melebihi; sebuah kaedah transaksi.

azizinet00 | Hari3aku

Gambar utama diambil dan disunting dari DuitNow QR.

Post a Comment

To Top